Monday, July 15, 2013

Rawatan Ketagihan Dadah

Oleh Haji Lokman Abd Hamid


ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji. Saya Izzati, ibu tunggal, mempunyai seorang anak lelaki berumur 20 tahun mengalami masalah ketagihan dadah.Anak saya terjebak dalam penagihan dadah jenis syabu lebih kurang dua tahun lepas. Saya sudah banyak berikhtiar cara perubatan moden dan tradisional, namun belum jumpa penyelesaian.
Saya mohon jika pihak Pusat Rawatan Islam Al Hidayah dapat membantu memberikan ayat al-Quran yang boleh memulihkan anak saya dari masalah ketagihan najis dadah ini.

Jawapan

Waalaikumsalam. Di sini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada pembaca Mingguan Malaysia.

Bersama-samalah kita merebut ganjaran gandaan pahala di bulan Ramadhan. Semoga kita sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang-Nya.

Saya ingin memohon maaf kepada pembaca yang mengirimkan e-mel tetapi masih belum sempat dibalas. Saya akan cuba membalas e-mel pertanyaan yang dihantar. Insya-Allah.

Terima kasih Puan Izzati atas soalan diberikan. Masalah penyalahgunaan dadah adalah gejala sosial yang sukar dibendung.

Dadah diistilahkan sebagai bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dari segi rohani (mental), jasmani (fizikal) dan emosi serta tingkah laku pengguna.
Antara jenis dadah yang dikenalpasti ialah heroin, morfin, ganja, kokain, kanabis, dan dadah sintetik seperti syabu atau Amphetamine Type Stimulant (ATS).

Statistik Mengikut statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), secara purata seramai 620 penagih baru dan 360 penagih berulang dikesan setiap bulan.

Jika dibandingkan statistik penagihan mengikut umur bagi bulan Januari hingga Mac 2013, golongan belia paling ramai terdedah (77 peratus) berbanding dewasa (23 peratus).
Dalam kes anak Puan Izzati, pengambilan dadah jenis 'ice', dikenali sebagai syabu atau 'meth' (singkatan nama saintifik Methamphetamine) popular di kalangan belia.
Senario di Malaysia menunjukkan peratusan penyalahgunaan dadah jenis sintetik menunjukkan peningkatan.

Hukum dan larangan pengambilan dadah jelas haram berdasarkan dalil yang dikiaskan kepada arak. Dalam al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman bersandarkan keterangan nas (al-Quran dan Hadis) kerana ia termasuk dalam pengertian umum benda memabukkan, menghilangkan akal dan mempunyai alasan hukum sama.
Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan……" (Surah Al-Baqarah : 195)

Tindakbalas Kesan keseronokan akibat syabu menyebabkan individu mengambil dadah berterusan. Ini dipercayai akibat rangsangan terhadap 'Dopamine' iaitu penghantar neuron ke otak yang bersifat perangsang. Syabu perlu diambil berterusan bagi merangsang 'Dopamine'. Syabu tidak perlu diambil setiap hari berbanding heroin dan morfin.

Jika penagih berhenti mengambil syabu, kadar 'Dopamine' dalam otak berkurangan hingga mencetuskan pelbagai masalah kesihatan dan mental. Penagih syabu yang ingin meninggalkan ketagihan tidak ada jalan singkat dan mudah.

Pengaruh Syabu l Mental dan emosi

Kesannya mungkin gila akibat halusinasi dan delusi hingga mampu membunuh diri, gelisah, cepat marah, gementar, bingung, fikiran terganggu dan ganas. Prasangka buruk, mendengar bisikan, sentiasa ketakutan seperti ada orang mengejar dan mengintip. Pada dos tinggi menaikkan suhu badan kepada tahap berbahaya, mengakibatkan sawan dan maut.

Fizikal
Pengguna tidak tidur selama tiga hingga 15 hari, hilang selera makan, berat badan turun, berpeluh, pucat, abaikan kesihatan, berparut, luka di badan, kudis akibat menggaru untuk menghapus bayangan serangga, kurang daya tahan penyakit.

Pengalaman Ini kisah benar mengenai pesakit bernama Farid (bukan nama sebenar) berusia 27 tahun. Dia telah dibekalkan pengetahuan dan ilmu agama cukup, hingga menjejakkan kaki ke universiti dan bergelar graduan.

Kehancuran hidup Farid bermula apabila dia belajar menghisap rokok semasa di pusat pengajian tinggi bertujuan menghilangkan tekanan belajar.

Mulanya, Farid teragak-agak untuk mengambil estacy, tetapi dengan pujukan kawan pil ini hanya memberi mood berparti.
Keinginan berhibur membuatkan Farid dan kawannya mencari jalan bergembira dengan mengadakan house party lebih privacy dan di sini beliau mula mengenali dadah syabu.

Ketika ini dia menyesal kerana terpaksa berperang dengan ketagihan. Selama lima tahun menagih dan Farid menipu ibubapa untuk mendapatkan duit.

Lama-kelamaan tembelang Farid pecah. Semua rakan dan sanak saudara menjauhinya. Dia dibuang kerja. Farid kemudian tinggal bersama-sama ibunya yang terpaksa menghadapi sikap Farid yang menipu dan mencuri dan boleh dikatakan semua orang membencinya.

Akhirnya, ibunya ke pusat rawatan kami di Setiawangsa untuk rawatan tanpa Farid. Ibunya yakin janji Allah bahawa penawar segala penyakit adalah al-Quran. Atas doa seorang ibu, pada bulan ke lima, Farid datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah dengan rela hati untuk memulihkan diri dengan penuh keazaman ingin bertaubat dan berhenti menagih.

Firman Allah: "Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Az-Zumar: 53)

Menurut ibu Farid, sewaktu mengamalkan surah amalan, sikap Farid mula berubah dari agresif kepada lebih tenang hingga terfikir untuk berubat dan memulihkan dirinya.
Alhamdulillah, Farid sudah 80 peratus pulih, dia bersungguh-sungguh bertaubat tidak akan mengulangi kesilapan lampaunya.

Firman Allah: "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al Baqarah: 222)

Farid telah memulakan kehidupan baru. Dia mula bekerja dan masih datang ke pusat rawatan dan beramal dengan surah al-Quran yang diberi.

Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu" (Surah At Tahrim: 8).

Ini adalah perintah tegas dari Allah dalam Al Quran kepada manusia untuk melakukan taubat nasuha.

Antara surah surah amalan:-
Surah At Taubah (Ayat 28 hingga ayat 36)
Surah At Taubah (Ayat 60 hingga ayat 70)
Surah Hijr (Ayat 66 hingga ayat 99)
Surah Al Hajj (Ayat 40 hingga ayat 55)

Sebaiknya puan bawa anak ke Pusat Rawatan kami bagi menjalani sesi rawatan dan kaunseling. Saya dan perawat lain bersedia memberikan kerjasama. InsyaAllah, kita bersama-sama berusaha dan bertawakal agar ketagihan anak puan dapat di atasi.

Cara rawatan di sini hanya bergantung 100 peratus kepada ayat al-Quran bersesuaian kepada pesakit dan penyakit yang dialami.

No comments:

Post a Comment