oleh ELVIZA Sinar Harian 3/30/2011 7:48:21 AM |
“Sudah hampir seminggu dia begitu, sejak keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). keluar.” Keluh rakan saya, hambar. Anak perempuan kesayangan merajuk enggan makan atau minum, cuma mahu bersendirian, mengunci diri di bilik dalam isolasi mutlak (mogok sebenarnya). Marahkan diri sendiri, si manis 17, merajuk dengan dunia apabila hampir semua rakan sekelas – di sebuah sekolah berasrama penuh terbaik di Selangor – mendapat 10 atau 11A, sementara dia pula hanya mendapat 8A dan 2B. Aduh, dunia ini kenapa? Anak semuda itu jadi penasaran kerana tidak meraih ‘A’ dalam setiap mata pelajaran yang diambil? 8A itu corot? Kalau suatu hari dia mahu keluar dari bilik, saya akan peluk dia kuat-kuat, seraya memberitahu: “hidup ini bukan setakat mengejar kecemerlangan akademik semata.” Salah siapa sekarang? Sistem pendidikan negara perlu diolah semula. Kalau disamakan dengan kereta, boleh dikatakan sistem pendidikan negara memerlukan total overhaul. Apa yang jelas, sistem itu sekarang terlalu berteraskan pencapaian akademik. Kaut A sebanyak mungkin di kantung – itu sahaja. Ibu bapa juga jadi terikut-ikut, lalu mendorong anak-anak taksub mengejar kecemerlangan akademik. Apa yang kita alpa, kesan sistem pendidikan begini hanya akan melahirkan robot, bukannya insan bersemangat kental, yang dilengkapi pula dengan daya fikir kritikal. Kalau cara ini dikekalkan, kita hanya akan menjana robot-robot bagus akademik dan berdisiplin tinggi seperti negara jiran di selatan tanah air. Pohon maaf, robot-robot ini tidak berjiwa. Bukan saya menafikan peranan akademik dalam sistem pendidikan negara. Anak-anak cemerlang pelajaran, lazimnya akan menjadi seorang yang lebih tinggi keyakinan diri dan sentiasa mahu berlumba-lumba untuk menggapai pencapaian lebih baik. Namun pembangunan insani, bagaimana? Kemahiran hidup, daya berinteraksi sesama manusia secara efektif, kemampuan menangani masalah kehidupan, kesihatan mental dan pembangunan jiwa mereka, bagaimana? Falsafah pendidikan negara – jika tidak terkhilaf pembacaan saya - berhasrat untuk menjadi wahana dalam membentuk individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan fizikal. Sayang sekali, apa yang kita dapat sekarang hanyalah robot-robot yang terganggu emosi apabila slip keputusan tidak tercetak dengan abjad ‘A’ dalam semua mata pelajaran. Tiada keseimbangan sama sekali. Hanya kecemerlangan akademik yang ditekankan, cabang-cabang lain kucar-kacir tanpa pemuliharaan. Dalam mencari keseimbangan insani, pelajar-pelajar kita harus digalakkan berfikir di luar lingkungan bilik darjah dan buku teks. Aktiviti luar kurikulum dan pendedahan dalam bidang seni serta rohaniah juga mesti diwajibkan. Dengan cara ini pelajar kita akan mencapai tahap keyakinan yang lebih bagus, berpengetahuan tinggi dan mempunyai kemahiran luar-akademik seperti lebih berdaya kepimpinan, mampu berfikir secara analitis, berdaya saing dengan sihat, cekap berpidato, mahir linguistik dan cintakan bidang seni pilihan masing-masing. Apabila tanggungjawab dan disiplin bergabung dengan pencapaian akademik, barulah terdidik seorang insan, bukannya robot. Secara peribadi, sistem pendidikan yang saya lalui juga masih boleh diperbaiki. Walaupun cenderung ke arah linguistik dan kesusasteraan, ketika di sekolah menengah, saya diwajibkan untuk menjadi pelajar aliran sains. Sebenarnya ketika zaman saya di MRSM dulu, kesemua pelajar wajib menjadi pelajar aliran sains, tiada tempat untuk sastera atau seni di maktab. Bila jurusan undang-undang dipilih semasa masuk ke menara gading, barulah saya bebas dari subjek seperti kimia, biologi dan matematik tambahan. Lega sungguh rasanya! Mungkin apa boleh disimpulkan di sini, pelajar harus digalakkan mengikut kecenderungan dan minat masing-masing. Apabila mereka sudah minat, lalu ditambah pula dengan galakan dari sistem pendidikan dan ibu-bapa, mereka mampu menjadi cendekiawan hebat dalam bidang tersendiri. Sekali lagi saya tegaskan di sini, saya tidak menafikan kepentingan akademik dalam mencari kecenderungan seseorang pelajar. Tetapi, keputusan peperiksaan tidak boleh dijadikan batu asas dalam mengukur karakter dan kekuatan mental seseorang. Saya punya ramai kawan yang tidak cemerlang akademik, tetapi tetap mempunyai kehidupan pasca persekolahan yang stabil dari sudut ekonomi, rohani dan jasmani. Setiap orang yang punya mimpi, lazimnya juga punya potensi untuk merealisasikan mimpi itu. Kalau mengikut cara ibu-bapa saya mendidik anak, saya tidak pernah dipaksa untuk membaca, apalagi untuk membawa pulang 10A dalam peperiksaan. Walaupun akademik ditekankan, istilah paksaan tidak pernah wujud. Cara itu saya rasa terbaik, kerana sehingga kini saya masih mencintai ilmu dan membaca itu sudah jadi seperti bernafas, makan dan tidur sahaja. Anak-anak kita pelopor masa depan, tersalah didik kelak kita ketinggalan. Mengenang kata-kata pujangga Amerika, Robert Frost, dalam sajak ulung beliau bertajuk, The Road Not Taken: Jalan yang tidak selalu dirintis itu, jika tegar diterokai, pasti lebih banyak pelajaran dan pengalaman yang boleh ditimba. Fikir-fikirkan selalu. • Elviza juga seorang peguam yang mencintai sastera dan seni. Temui beliau di http://twitter.com/elviza |
Sunday, April 3, 2011
Menjana robot atau membentuk insani?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment