Saturday, April 30, 2011

Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah promosi mukjizat kitab suci rawat pelbagai penyakit

60 rangkaian ayat al-Quran jadi penawar kanser
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2011/04/30

 ASHRAF MUSLIM ketika menjalankan rawatan  kepada pesakit di Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah.
ASHRAF MUSLIM ketika menjalankan rawatan kepada pesakit di Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah.


JIKA dulu orang ingat ayat al-Quran hanya untuk rawatan sihir, santau atau gangguan makhluk halus, tetapi kini kalam Allah diamalkan sebagai usaha mengubati penyakit kronik termasuk kanser serta penyakit moden lain.


Usaha mempromosikan mukjizat al-Quran sebagai kaedah merawat penyakit dijayakan pengamal perubatan menggunakan ayat al-Quran yang juga pengasas Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid, beroperasi di Villa Bestari, Sungai Pusu, Gombak.
Bermula dengan ikhtiar merawat ibunya yang menghidap penyakit tua, ilmu dan kebolehan dianugerah Allah itu kini dimanfaatkan dengan memberi perkhidmatan rawatan kepada pesakit yang semakin hari jumlahnya terus bertambah.

Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah mula beroperasi sepenuh masa sejak akhir 2010 kini menerima kehadiran mencapai 200 pesakit sehari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang sebelum disambung semula selepas Isyak dan berlarutan jam 1, jika masih ada yang mengharapkan rawatan.

Bersama rakan kongsi, Ashraf Muslim dan seorang lagi anak muridnya yang komited menghulurkan bantuan, Zulhaidi Ahmad, pesakit yang datang mendapatkan rawatan dibekalkan surah untuk dibaca, diiringi doa serta tawakal kepada Allah.

Itu kaedah rawatan di Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah yang menggalakkan pesakit menulis sendiri surah untuk dibaca, selain terus diingatkan supaya tidak jemu berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah.
Ada juga disediakan air sebagai memenuhi permintaan pesakit yang berasakan perlu dibekalkan air seperti kebiasaan dalam perubatan Islam, kata Lokman.

Memang sukar menafikan kuasa iklan ‘dari mulut ke mulut’ kerana melalui cara itu kemampuan merawat penyakit melalui pengamalan surah al-Quran mula tersebar dan akhirnya terus menjadi bualan ke hari ini.

“Saya menerima anugerah ini ketika berusia 40 tahun selepas menunaikan umrah. Saya amalkan dengan merawat ibu saya, berusia 89 tahun yang sakit tua. Alhamdulillah, kini mencecah usia 98, ibu sihat dan mampu membaca al-Quran.

“Saya tidak pernah berguru, ilmu ini pemberian Allah. Selepas merawat ibu, kawan isteri dan saudara mara datang untuk berubat dan saya cuba merawat mereka di rumah saya di Bukit Antarabangsa. Sebenarnya ketika itu saya pun tidak pasti sama ada cara rawatan itu betul atau tidak.

“Alhamdulillah, selepas melalui proses percubaan rawatan dan penyembuhan secara berterusan, lama-kelamaan ramai yang datang hingga tertubuh klinik pada 1996. Masa itu saya masih bekerja dan hanya membuat rawatan selepas Isyak,” cerita Lokman pada pertemuan di Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah, baru-baru ini.

Penghujung 2010, beliau mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan di Suruhanjaya Sekuriti untuk memberi tumpuan kepada memberi rawatan dan bersama Ashraf, mereka bergabung tenaga menjayakan usaha itu.

Berbekalkan pengalaman 12 tahun dalam bidang perubatan al-Quran atau Quranic Medicine, Lokman kini sudah mengenal pasti 60 rangkaian ayat untuk penyakit kanser termasuk kanser payu dara, kulit dan hati.

Bagaimana beliau tahu ayat yang sesuai untuk sesuatu jenis penyakit, semua berpandukan kepada gerak hati kerana beliau tidak pernah bermimpi apa lagi mendengar bisikan suara. Selalunya, ayat baru diterima setiap kali kembali menunaikan umrah, setiap tahun.

Katanya, tidak dinafikan ada juga pesakit mempersoalkan surah diberi untuk diamalkan kerana apabila dibaca terjemahannya, tiada kaitan secara langsung dengan sakit dideritai pesakit atau situasi dilalui mereka.

“Memang ada. Macam ada yang minta ayat untuk murah rezeki, cari jodoh dan dapat anak, saya suruh baca surah al-Waqiah. Tetapi jika tengok makna surah al-Waqiah tiada kena mengena dengan rezeki atau jodoh tetapi ia mengenai hari kiamat.

“Inilah mukjizat al-Quran. Kita tidak tahu rahsia al-Quran hanya Allah saja yang tahu. Surah Israk, ayat 40 dan 55 untuk sakit jantung tersumbat. Beribu yang saya ubat dengan ayat itu, jantung tersumbat jadi baik.

“Rekod mereka di Institut Jantung Negara (IJN) menunjukkan memang ada saluran jantung tersumbat tetapi sementara menanti pembedahan, mereka datang dan amalkan ayat itu, Alhamdulillah apabila diperiksa semula, saluran yang tersumbat sudah tiada lagi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, masih ada kes walaupun sudah mengamalkan surah diberi tetap perlu melalui pembedahan dan ada pelbagai sebab boleh menjelaskannya selain mengakui hakikat hanya Allah yang berkuasa menyembuhkan.

Kerana itu juga, beliau tidak pernah menghalang pesakit yang datang ke pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah mendapat rawatan di hospital, malah akan menggalakkan jika itu dirasakan perlu demi kebaikan mereka.

“Proses penyembuhan tertakluk pada keredaan Allah, ada datang sekali sudah sembuh, ada datang banyak kali tetapi tidak juga sembuh. Jadi, saya tanya jika ada kesalahan dilakukan pesakit, minta ampun dulu kerana jika pergi hospital tetapi Allah tidak reda, tidak sembuh pun.

“Amalan rawatan menggunakan ayat al-Quran disokong doa dan dosa penghalang kepada doa. Macam mana doa nak dimakbulkan, kena buat banyak solat taubat.
Apabila kita minta ampun, dengan izin Allah kabulkan doa kita,” katanya.

Jangan terkejut jika Lokman memberitahu hanya 30 peratus yang datang ke pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah mendapatkan rawatan berkaitan gangguan, sihir dan santau kerana 40 peratus adalah pesakit kanser dan selebihnya penyakit lain seperti epilepsi, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi serta kronik hepatitis.

Beliau berkata, bagi sakit gangguan seperti sihir atau santau, selepas dibuang mereka akan kembali sihat. Berbeza dengan penyakit kanser, banyak ayat serta surah perlu dibaca untuk menyembuhkan atau memperbaiki organ dalam badan, membunuh sel kanser atau darah tersumbat.

Penampilan dalam program Penawar Syifa’ terbitan Astro Oasis dan segmen Syifa’ dalam Nasi Lemak Kopi O di TV9 membolehkan beliau berkongsi ayat al-Quran untuk rawatan penyakit dengan masyarakat.

Ditanya tidakkah beliau bimbang perkongsian itu nanti mengurangkan jumlah mereka yang datang ke pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah, Lokman sambil tersenyum memberitahu, ayat al-Quran bukan haknya dan menjadi tanggungjawab beliau menyebarkan ayat Allah itu.

“Misi saya memartabatkan ayat al-Quran setanding perubatan moden. Jika orang boleh terima itu, Alhamdulillah. Saya gembira jika perkongsian ini memberi manfaat terutama mereka yang menghidap penyakit dan mencari penawarnya,” katanya.

Tarikh 23 April mencatat sejarah untuk Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah yang dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Turut dikongsi pada majlis gilang gemilang ialah hasrat Lokman untuk mendirikan hospital bercirikan persekitaran Islam.

Hospital berkenaan nanti akan sentiasa berkumandang ayat suci al-Quran dan ada ketikanya, ustaz serta ustazah dijemput membacakan ayat al-Quran. Itu impian dan tiga tahun ditetapkan sebagai tempoh menterjemahkan hasrat menjadi realiti.
  

No comments:

Post a Comment