Friday, December 16, 2011

Kalau kita ada James Bond 007

Oleh : ABDUL JALIL ALI
Tarikh : December 15, 2011
Kalaulah kita ada seorang seperti James Bond, pasti banyak masalah dan skandal besar dapat diselesaikan dalam masa yang singkat. Upah sahaja agen 007 itu, dan kita tidak perlu membuang banyak masa, tenaga dan RM untuk menyelesaikan satu-satu kes.

Sejak dulu kita memang suka menubuhkan Jawatankuasa Khas, Jawatankuasa Penyiasat, Suruhanjaya Bebas, Suruhanjaya Diraja dan lain-lain seumpamanya. Kita juga sudah banyak menubuhkan tribunal itu dan tribunal ini.

Pantang berlaku sesuatu yang luar biasa sikit, cepat-cepat kita menubuhkan jawatankuasa untuk bertindak. Tanah runtuh, tubuh jawatankuasa khas. Kapal bocor, tubuh jawatankuasa menyiasat. Stadium rebah, jambatan runtuh, bangunan terbenam, semua kena tubuh jawatankuasa khas.

Kalau ada kes yang lebih berat, seperti isu pengundi hantu, kita mendesak ditubuhkan suruhanjaya bebas atau suruhanjaya diraja. Isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan RM bilion-bilion, kita desak tubuhkan suruhanjaya menyiasat. Skandal mega, songlap saham, tipu duit rakyat, isu tol, isu lembu, semua minta tubuh suruhanjaya khas.

Satu hari nanti, sekiranya dalam mesyuarat parti ada orang yang terkentut luar biasa kuatnya, pasti ada yang cepat-cepat membuat tohmahan bahawa itu ada letupan bom anggota berani mati al-Qaeda, dan minta tubuh suruhanjaya bebas untuk menyiasat.

Sama ada jawatankuasa khas, suruhanjaya bebas, tribunal dan sebagainya, semuanya melibatkan tenaga kerja dan kepakaran. Ada orang-orang tertentu yang akan menjadi Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa. Ada elaun untuk mereka.

Kita suka menubuhkan jawatankuasa dan suruhanjaya itu dan ini, pada hal banyak yang disiasat tidak pun berkesudahan. Mula-mula semua orang sibuk dan bersemangat bercakap untuk masuk TV dan surat khabar. Sebulan dua isu menjadi panas pagi petang siang malam.

Tetapi lama-lama perkara yang panas itu menjadi dingin, beku, dan hilang terus. Tidak ada yang diketahui umum mengenai hasil siasatan. Mesyuarat demi mesyuarat, buka fail, tutup fail, kopi dan teh habis berteko-teko, karipap dan mihun goreng banyak habis, hasil siasatan masih tidak diketahui.

Apabila kes atau tragedi sama berlaku lagi, maka kita pun menjerit semula minta ditubuhkan jawatankuasa dan suruhanjaya untuk menyiasat. Lebih pelik, ada juga siasatan baru sehari dua bermula, sudah keluar kenyataan: “Setakat ini siasatan menunjukkan tidak wujud sebarang penyelewengan.” Belum habis siasat, kes sudah ditutup.

Kalau ada James Bond, mesti siasatan akan dibuat hingga ke akar umbi. Siapa pun – baik orang besar atau orang kenit – tidak akan terlepas, atau sengaja dilepaskan. Sebab agen 007 tidak boleh dipujuk rayu, walaupun oleh gadis manis, juga tidak boleh dirasuah.

Kalau ikut dalam filem, agen 007 tidak takut kepada siapa pun ketika menjalankan siasatan. Malah, dia sedia mempertaruhkan nyawanya untuk menjalankan tugas berbahaya. Sebab ‘Mr Bond’ ada kehebatan sendiri yang orang lain tidak ada.

Dia hebat dalam seni mempertahankan diri, tidak kira tekwando, karate, tomoi, waima silat gayung. Malah, setiap gerakannya lebih pantas dari peluru. Sebab itu dia tidak tertembak walaupun diserang bertubi-tubi dari banyak pistol dan senapang.

Satu lagi kelebihan agen ini ialah dia dilengkapi dengan pelbagai alat dan kelengkapan serba canggih yang orang lain tidak ada. Sebab itu walau dalam apa keadaan cemas sekali pun dia akan menggunakan apa yang ada di tubuhnya untuk menyelamatkan diri.

Ketika nyawanya terancam dia boleh menggunakan jam tangan sebagai senjata. Pen, cermin mata, pemetik api, kasut, tali pinggang, rokok, coklat, semua telah direka khas untuk membolehkannya melepaskan diri dari sebarang ancaman. Begitulah hebatnya.

Kalau ada James Bond di KL, tentu banyak kes rasuah mega, skandal mega, dan penyelewengan RM juta-juta-juta duit rakyat, boleh dibereskan dengan cepat, dan tepat. Malangnya kita tidak ada agen 007.

Setiap kali nonton filem, teringin juga saya menjadi James Bond. Bukan untuk menyiasat, tetapi untuk bermesra dengan gadis-gadis jelita lagi seksi, seperti Jane Seymour (Live and Let Die), Olga Kurylenko (Quantum of Solace), Datuk Michelle Yeoh (Tomorrow Never Dies), dan lain-lain.

Tetapi, saya tidak layak menjadi James Bond, sebab tidak tampan seperti Sean Connery, Roger Moore, Timothy Dalton atau Pierce Brosnan. Mana ada James Bond hidung kemek macam pelepah kelapa!

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

No comments:

Post a Comment