Wednesday, December 21, 2011

Selamat Tinggal Prof Aziz Bari!


Muhammad Kamil Abdul Munim, UIAM   
 
Saya terkenang akan peristiwa ketika peghujung semester yang lalu, saya dan rakan-rakan sibuk untuk mendaftar subjek bagi semester ini. Saya dan beberapa rakan beruntung kerana berjaya mendaftar subjek Undang-Undang Perlembagaan atau Constitutional Law bersama Prof Aziz Bari (gambar). Beberapa rakan yang lain tidak berjaya disebabkan oleh timetable clash dan kuota yang sudah penuh.

Sosok ini jarang dilihat berlegar di sekitar fakulti. Hanya nama sahaja yang kerap didengari. Menjadi anak didik beliau adalah satu peluang yang dinantikan.

Sosok ini sangat cool. Masuk ke kelas lenggang kangkung tetapi tidak kangkung. Hanya sehelai kertas dan marker pen ditangan. Tidak ada attendance list. Apa yang menarik ialah pelajar berbondong bondong hadir ke bilik kuliyah walaupun kuliyah bermula jam 8 pagi. Beliau mampu menarik pelajar untuk ke bilik kuliyah tanpa menjadikan rekod kehadiran sebagai ugutan.
Beliau memiliki aura tersendiri.

Selepas isu rampasan kuasa di negeri Perak, nama beliau sekali lagi menjadi perbualan masyarakat dalam isu JAIS di Selangor.
Peranan sebagai ahli akademik dinafikan kerana memberikan pandangan akademik yang telus dan benar. Dosa kali ini cukup besar. Aziz Bari perlu dikekang.

Dosa-dosa ini direka khas untuk kepentingan pihak tertentu yang menganggap diri mereka ma’sum sehingga tidak boleh ditegur. Mujur mereka hidup di akhir zaman. Kalau di zaman sebelum kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, keangkuhan dan ketakabburan mereka ini akan dibayar cash oleh yang Maha Takabbur. Kisah Fir’aun, Haman, Namrud, Qarun dipandang enteng ataupun tidak pernah ambil tahu. Kasihan dengan kejahilan mereka.

Prof Aziz Bari letak jawatan

Kini Prof Aziz Bari hanya menunggu akan berakhirnya semester ini untuk ‘angkat kaki’ dari UIA. Hasrat ini dinyatakan oleh beliau sendiri. Bukan kerana diarah untuk berbuat demikian tetapi atas dasar ‘belas kasihan’ terhadap pihak pengurusan UIA yang saban hari semacam didesak oleh campur tangan luar. Khabar anginnya pihak istana juga datang ‘melawat’ UIA.

Beliau dilihat sebagai bebanan ataupun liability kepada pentadbiran UIA. Ada juga ibu bapa yang datang mengadu kepada pihak kuliyah atas alasan anak mereka tidak faham tentang apa yang diajar oleh Prof Aziz Bari ketika dalam kuliyah (selama 22 tahun beliau mengajar ini kali pertama laporan sebegini dibuat).

Tindakan ini seakan desakan yang dilakukan secara tidak langsung atau impliedly supaya beliau ‘berambus’ segera dari UIA. Tiada alasan untuk memecat beliau. Justeru modus operandi yang berbeza mesti diguna pakai. Kesan daripada itu, sedikit sebanyak kebebasan beliau sebagai ahli akademik disekat. Oleh itu, meninggalkan UIA mungkin jalan terbaik.

Sehingga kini ramai pelajar yang tertanya tanya dimanakah kenyataan beliau yang telah mencalar imej universiti. Persepsi pelajar ialah di sana mungkin ada campur tangan politik. Persepsi pelajar ialah mungin rektor patut berundur. Persepsi pelajar ialah universiti bukan lagi universiti. Pihak pentadbiran dilihat seolah olah bersekongkol dalam usaha untuk mengekang beliau. Kadang kadang dilihat flip flop dan play safe dalam memberi kenyataan.

Universiti sebagai wadah atau medan percambahan dan pertempuran ilmu kini seolah-olah telah menjadi medan untuk memuja dan mengampu. Persepsi pelajar ialah kenapa rektor perlu takut? Jika beliau dianiayai oleh tangan ghaib ribuan pelajar UIA akan bersama beliau atas dasar kebenaran.

Hasrat untuk memperbaiki kedudukan institusi pengajian tinggi di negara ini dan juga hasrat untuk mencapai status seperti Oxford dan Harvard yang sering dilaungkan itu hanyalah idea bodoh dan retorik semata-mata andai kata sistem dan amalan yang dibudayakan ini masih dikekalkan demi manjaga kepentingan bapak-bapak yang sedang berkuasa.

Kesannya, akibat hujah tidak dapat dibalas dengan hujah, Prof Aziz Bari menjadi mangsa. Kehilangan beliau adalah satu kerugian yang amat besar kepada universiti. Selamat maju jaya saya ucapkan kepada Prof Aziz. Saya berbangga menjadi batch terakhir beliau. Sumbangan dan jasa beliau akan terus dikenang. Semangat itu tidak pernah luntur dan akan dibawa bersama. Berjayalah di medan tempur yang lain dengan satu tujuan iaitu untuk merencana perubahan menyeluruh dan bersekutu.
In Aziz Bari We Trust!

No comments:

Post a Comment