Tuesday, March 27, 2012

Amalan rohani bantu lonjak prestasi akademik


Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

BH 2012/03/27

Solat sunat hajat pendekatan terbaik tenangkan jiwa tertekan hadapi peperiksaan

KITA baru saja mengetahui keputusan Peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2011 yang menunjukkan prestasi terbaik dalam tempoh lima tahun. Seperti lazimnya dalam sehari dua selepas keputusan diumumkan, pelbagai media memaparkan berita dan laporan mengenai calon yang berjaya dengan cemerlang.

Dalam banyak laporan, tentu sekali hati kita terpanggil menghayati satu kisah kejayaan pelajar terbaik Terengganu, Fatin Hamimi Abdullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Nurul Ittifaq yang dikira wajar kita renungi bersama dan lanjutkan kupasannya. Pelajar ini memperoleh semua 11 A+ dalam peperiksaan.

Melalui amalan solat termasuklah solat sunat, kita mendidik nafsu anak supaya taat kepada Tuhan dan menyedarkan mereka bahawa hanya kepada Allah saja tempat mereka memohon pertolongan.

Menurut pelajar cemerlang itu, resipi kejayaannya dihasilkan melalui usaha gigih, menunaikan solat hajat selama 40 hari berturut-turut sebelum peperiksaan bermula dan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan pemahaman terhadap pelajaran. Inilah resipi kejayaan beliau yang boleh dicontohi.

Apa yang menariknya di sini ialah kekuatan dalaman beliau terhasil menerusi amalan solat hajat.
Inilah yang dikatakan amalan kerohanian akan membuahkan natijah positif ke atas diri seseorang.

Allah SWT sendiri meminta kita selalu bermunajat kepada-Nya untuk memohon sesuatu hajat. Jadi, kaedah solat hajat dan berdoa menjadi dua pendekatan terbaik mententeramkan hati anak kita ketika belajar.

Solat hajat adalah salah satu kaedah terbaik diamalkan dalam usaha memohon pertolongan Allah dan sebagai ibu bapa, kita seharusnya mendidik dan membimbing anak cara yang betul menunaikannya. Kita sedia mengetahui, menerusi amalan solat, jiwa anak lebih tenteram, malah membangkitkan semangat dalaman yang kuat untuk belajar.

Allah SWT sendiri meminta kita sebagai hamba-Nya menjadikan solat hajat sebagai penolong dalam menghadapi kehidupan dunia ini. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu.” (Surah al-Baqarah ayat 153)

Melalui solat hajat, bermakna kita didik anak mengikut sunnah Rasulullah SAW kerana ketika menghadapi sesuatu masalah atau kerumitan, Baginda akan mendirikan solat.

Melalui amalan solat termasuklah solat sunat, kita mendidik nafsu anak supaya taat kepada Tuhan dan menyedarkan mereka bahawa hanya kepada Allah saja tempat mereka memohon pertolongan.

Selain solat sunat hajat, amalan menunaikan solat tahajud juga sangat sesuai kita galakkan kepada anak lakukannya. Khususnya terhadap anak yang berada pada usia remaja. Rasulullah SAW memberitahu bahawa solat terbaik selepas solat fardu ialah solat tahajud kerana di dalamnya terkandung banyak fadilat.

Kata Rasulullah SAW bermaksud: “Solat tahajud dapat menghapuskan dosa, mendatangkan ketenangan dan menghindarkan penyakit.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Dalam mengkaji manfaat solat tahajud kepada manusia, seorang pengkaji Dr Mohammad Salleh ada mencatatkan dalam bukunya bertajuk Terapi Solat Tahajud bahawa solat tahajud boleh digunakan sebagai alternatif bagi memperbaiki gerak balas emosional positif, mampu meningkatkan dan membaiki daya ketahanan imunologi tubuh badan seseorang pengamalnya.

Justeru, untuk anak remaja kita yang sedang belajar dan bakal menghadapi peperiksaan, sangat sesuailah kita asuh mereka mendirikan solat sunat tahajud. Ini kerana ia satu pendekatan kerohanian yang akan memberikan kedamaian jiwa dan sekali gus menyemarakkan semangat positif kepada mereka untuk tekun dalam pembelajaran.

Resipi kedua dalam menguatkan potensi diri anak ketika menghadapi pelajaran ialah melalui amalan berdoa. Imam Bukhari berpesan, “Berdoalah apa saja kepada Allah, kerana ia kekuatan orang mukmin. Selain itu, doa adalah hadiah istimewa daripada Allah kepada umat Muhammad.”

Amalan berdoa akan meninggalkan kesan psikologi yang kuat dalam diri seseorang anak kerana mereka menjadi bertambah yakin dan bersemangat tinggi untuk berhadapan dengan apa saja kesulitan ketika aktiviti pembelajaran dijalankan.

Banyak testimoni berkaitan manfaat doa yang dijalankan, namun kebanyakannya tertumpu kepada kaitan doa dengan penyembuhan sesuatu penyakit.

Menghadapi pelajaran sama juga halnya menghadapi sesuatu penyakit kerana jiwa tertekan dan dalaman menjadi kurang stabil dengan pelbagai fikiran yang negatif. Maka, melalui berdoa boleh memadamkan emosi negatif itu sehingga menimbulkan kekuatan dalam jiwa yang positif.

Jiwa yang disirami bacaan doa kepada Allah sebenarnya tertanam sikap tawakal yang luhur. Inilah sebenarnya faktor menjadi tunjang ke arah emosi positif ketika melakukan apa saja pekerjaan.

Umat Islam dan hamba Allah seharusnya lebih yakin bahawa melalui amalan doa akan memberikan keberhasilan dalam mencapai tujuan hidup. Ingatlah kita akan peringatan Allah ini: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran.”
(Surah al-Baqarah ayat 186)

No comments:

Post a Comment