Saturday, March 17, 2012

Mensyukuri nikmat menambah lagi rezeki


Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sekiranya kamu mensyukuri nikmat yang ada, nescaya Aku (Allah) menambah nikmat bagimu.”

Ini kerana Allah menciptakan nikmat dan memberikannya kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Walaupun seluruh kata pujian dan kesyukuran kita lafazkan untuk memuji-Nya, pasti tidak setanding apa yang Allah kurniakan kepada kita.

Dalam soal rezeki manusia selalunya berasa bimbang nikmat yang belum mereka miliki, namun sepatutnya perlu risaukan nikmat sedia ada dan belum disyukuri.
 
Memikirkan bagaimana untuk mensyukuri itu sebenarnya menambahkan lagi rezeki. Lumrah hidup ini sebenarnya tidak boleh bersendirian. 

Kita memerlukan bantuan orang lain. Contohnya, pelajar memerlukan guru untuk mendapatkan ilmu. Begitu juga untuk mendapatkan pakaian kita perlu penjahit, penenun dan penanam kapas. Bagi mendapatkan khidmat nasihat kesihatan, kita memerlukan doktor atau pegawai kesihatan.
Oleh itu, cuba kita renungkan kebaikan orang di sekeliling yang banyak berjasa kepada kita. Jika hendak jadi orang yang bersyukur maka perlu membalas kebaikan orang lain.

Anak yang sering mengingati jasa ibu bapa pasti timbul keinginan untuk berbudi kembali serta menghormati kedua-dua insan yang mereka sayangi itu.

Kebaikan itulah pembuka dan kunci kepada nikmat lain daripada yang Maha Kuasa. Maka orang paling beruntung adalah orang yang hatinya dipenuhi rasa syukur.

Lihat saja nikmat pancaindera yang ada pada kita.Bayangkan, jika kita kehilangan nikmat melihat (mata), ketika itu barulah kita menghargai apa yang dikurniakan selama ini. Jika jatuh ditimpa penyakit, ketika itu baru teringat alangkah besarnya nikmat ketika sihat. Cuma kita kurang menyedarinya dan tidak mensyukurinya.

Nikmat yang besar sebenarnya bermula daripada nikmat yang kecil. Oleh itu, jangan risau dengan nikmat yang belum kita miliki, sebaliknya risaukan nikmat yang kita sudah ada tetapi belum disyukuri.

Fikirkan bagaimana kita mensyukuri apa yang kita nikmati. Rasa kesyukuran mengundang nikmat berikutnya. Kadangkala ada manusia apabila mendapat kenikmatan berbentuk kedudukan atau harta, mereka berasa bangga dan mempamerkannya di sana sini.

Mungkin kerana terlupa semua itu pemberian Allah. Bagaimana kita mahu menjadi orang yang bersyukur? Orang yang bersyukur adalah apabila dapat kesenangan, kejayaan atau kenikmatan, pertamanya dia berfikir semua itu kurniaan Allah, lalu menggunakan segala kenikmatan itu pada jalan benar supaya mendapat keberkatannya.

Dijaganya nikmat mata untuk melihat yang baik-baik saja, nikmat telinga untuk mendengar yang bermanfaat, nikmat tangan untuk mengambil haknya saja, nikmat kaki pula untuk melangkah ke jalan kebaikan.

Jauhilah daripada menyalah guna nikmat yang ada dan gunakan semuanya untuk mendapat keberkatan serta menambah pahala.

Selain bersyukur pada Allah, kita perlu mengucapkan syukur kepada manusia yang menjadi jalan kita mendapat nikmat. Contohnya, anak perlu berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapanya kerana anak yang tahu bersyukur pasti membalas budi, membuatkan hidup mendapat keberkatan.

Begitu juga kehidupan suami isteri, mereka perlulah sama-sama memikirkan kebaikan suami atau isteri, jangan hanya melihat kekurangan masing-masing.

Sebenarnya, dengan mengenang kebaikan seseorang itulah satu cara kita mensyukuri nikmat Allah. Cara mensyukuri nikmat Allah juga adalah memperlihatkan nikmat yang sudah dikurniakan kepada kita, tetapi perlu berhati-hati supaya terhindar daripada niat untuk mendapat pujian.

Betulkan niat kerana kita yakin semua nikmat yang kita terima datang daripada Allah dan hanya Allah yang patut mendapat pujian.

Jika kita yakin semua yang kita miliki adalah milik Allah nescaya hati kita berasa tenang, tidak sombong, sentiasa bersyukur selalu serta tidak berdengki dengan nikmat yang dikurniakan kepada orang lain.

Fahami doa minta Allah tunjukkan jalan lurus

Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

DOA kadang-kadang minta lain tapi buat lain malah ada juga bertentangan dengan apa yang kita minta tapi kita sebut ‘aamiin’.

Bila imam baca doa kita di belakang main sebut saja, aamiin tapi tak tahu dan tak faham apa yang imam baca. Doa sebenarnya permintaan, kalau kita meminta sesuatu kita mesti faham, barulah masuk ke hati dan sedar apa yang kita minta.

Bila faham semasa berdoa sangat menolong kita mencarinya selepas berdoa dalam kehidupan seharian. Kalau main minta atau main angkat tangan saja sedangkan tak faham apa-apa boleh dianggap bermain-main dengan doa.

Sudah puluhan tahun kita meminta perkara sama tapi tak dapat-dapat. Sebenarnya bukan Allah tak perkenankan tapi kita sendiri yang hanya pandai minta tetapi tak pandai cari.

Minta tapi tak cari sama seperti berangan-angan. Antara yang kita mesti minta setiap hari sebanyak 17 kali sehari semalam ialah ‘ihdinassiratal mustaqim’ ataupun maksudnya ‘ tunjukilah kami jalan yang lurus.’

Besarnya doa ini, kita diwajibkan membacanya setiap kali di dalam sembahyang sebanyak 17 kali sehari. Doa ini tidak didahulukan melainkan selepas kita memuji Allah dahulu bahawa segala pujian itu meliputi pada-Nya dan Dia adalah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Besarnya juga doa ini ia tidak didahulukan melainkan kita berikrar mengaku sebenar-benarnya hanya Allah, Tuhan yang kita sembah dan tempat kita meminta pertolongan.

Setiap hari minta ‘jalan yang lurus’. Tahukah kita apa jalan yang lurus itu? kalau tak tahu kena belajarlah sebab jalan yang lurus itu sangat penting.

Sesetengah remaja hanya tahu jalan betul, jumpa jalan betul terus merempit. Orang Palestin mati di jalan Allah kita mati jalan raya.

Kalau kita perhatikan sebaik sahaja kita meminta jalan yang lurus, ‘ihdinassiratal mustaqim’ Allah mentafsirkan jalan lurus itu Tuhan terangkan jalan yang Allah sudah berikan nikmat-Nya kepada orang-orang yang terdahulu.

Siapakah orang-orang ini? Mereka adalah rasul, nabi, sahabat-sahabat dan aulia’. Mereka kekasih Allah, Tuhan yang menganugerahkan nikmat besar kepada mereka.

Nikmat pula ialah nikmat iman, Islam dan ihsan. Hanya dengan jalan iman, Islam dan ihsan, barulah kita dapat mengikut jalan yang lurus, jalan yang sama dilalui oleh kekasih Allah iaitu rasul, nabi dan wali Allah.

Mereka melalui jalan itu dan Allah tunjukkan jalannya. Maka yang kita minta itu adalah untuk mengikut jalan seperti mereka supaya kita benar-benar sampai kepada Allah.

Jalan yang lurus itulah yang akan sampai kepada Allah. Selain itu, ada juga jalan tetapi tidak sampai kepada Allah. Allah terangkan lagi dalam surah Al-Fatihah, minta dijauhkan kita daripada dua jalan yang tidak sampai kepada Allah iaitu jalan orang yang Allah murkai dan jalan orang-orang yang sesat.

Jalan orang yang Allah murkai adalah jalan orang-orang yang tidak percaya Tuhan seperti Namrud dan Firaun.

Mereka menolak Allah dan mereka adalah orang yang mendapat laknat Allah.

Jalan orang yang sesat pula ialah seperti Yahudi dan Nasrani (kristian). Walaupun mereka percaya Tuhan, tetapi jalan yang mereka lalui bertentangan dengan kehendak Tuhan.

Justeru, mereka tidak akan sampai kepada Tuhan. Orang yang boleh sampai kepada Tuhan adalah orang yang mengikuti jalan lurus. Jalan itu ditempuh oleh rasul, nabi, sahabat, tabiin dan wali Allah sebelum ini. Maka, kita mengharapkan belas kasihan supaya Allah tunjukkan kita jalan yang sampai kepada-Nya.

Dinyatakan tadi jalan itu adalah iman, Islam dan ihsan. Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Tuhan kepada kita jika kita mendapatkannya. Namun, ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita.

Barulah kita mendapat jalan yang lurus.

Kalau sekadar slogan atau cakap-cakap saja, itu dikira belum dapat lagi.
 
Cubalah muhasabah diri kita sejauh mana kita bersungguh-sungguh ketika berkomunikasi dengan Allah. Paling kurang ayat al-Fatihah yang kita baca seharian, antara faham, kehendak dan realiti biarlah selari seiring dan sejalan.

Fahamilah, hayatilah, amalkanlah serta perjuangkanlah!

Prasangka buruk makan diri

Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

HATI manusia tidak dapat dikawal untuk mereka fikir, kata dan tuduh apa saja. Itu semua di luar jangkaan kita. Ilmu dan kehendak mereka itu kemudian akan menghasilkan tindakan dan pelbagai tindak-tanduk.

Jika baik hati mereka, maka baiklah cakap mereka, baiklah layanan dan sangkaan mereka. Tetapi jika hati kotor, apa lagi tindakan akan diterjemahkan segala hitam yang bersarang di hati itu.

Sebenarnya yang mengukur baik dan buruk seseorang bukannya manusia kerana mereka tidak mempunyai kuasa melakukannya. Yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita ialah Allah. Dialah yang menilai kebaikan kita, memberi rezeki serta memberi kehidupan kepada kita.
Manusia memang suka bersangka-sangka. Apa lagi sangkaan yang buruk. Hati, akal dan mata selalunya tidak seiring.
Mata melihat, otak memproses manakala hati mentafsir. Contohnya, jika hati yang berbaur dosa dan dengki akan mentafsir kecantikan seseorang, dia akan kata perempuan itu memakai susuk.

Demikian juga apabila bercakap banyak dikata hendak tunjuk pandai. Apabila diam tidak bercakap pula dikatanya sombong. Memang manusia punya hak untuk bersangka. Jika yang baik punya sangka empunya diri yang untung. Hati tenang, minda damai, jiwa harmoni, disenangi dan mudah mendapat kawan.

Jika sangkaan itu buruk, jiwa pastinya akan sengsara. Banyak fikir mengenai orang, darah pun naik. Pendek kata semua tidak kena.

Sebab semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir, sedangkan diri sendiri tidak difikirkan. Tabiat bersangka buruk terkena pada semua golongan tidak kira orang tua dengan cara dan kepakarannya manakala orang muda dengan kehangatannya.

Jika kita hendak layan semua sangka buruk orang dan semua hati kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita.

Lihatlah kisah dan sejarah Luqman al-Hakim dengan anaknya yang menaiki seekor keldai. Dalam perjalanan orang kata: “Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian keldai tu.” Selepas itu, Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik dari bawah. Orang kata juga: “Ada ke patut bapa biarkan anaknya menarik dari bawah.”

Kemudian mereka bertukar posisi lain pula, anak naik keldai manakala Luqman pula yang tarik dari bawah.  Orang mengata juga, anak macam itu buat ayahnya macam hamba. Justeru, cara terbaik ialah merawat kembali penyakit buruk sangka.

Berubahlah dengan memperbaiki diri sendiri. Membaiki diri bersungguh-sungguh dengan membersihkan hati daripada sifat keji (mazmumah) kepada sifat terpuji (mahmudah).

Perhatikan juga siapa kawan di sekeliling kita. Adakah kawan kita itu mendorong ke arah kebaikan atau keburukan?

Jika kita dapat menewaskan nafsu jahat dalam diri sendiri, nescaya kemenangan hidup pasti berpihak kepada diri kita. Proses berubah jadi baik mungkin tidak semudah disangka, namun sekiranya hati dan akal sudah bertekad dan ada kesungguhan, Allah pasti permudahkan jalannya.

Ruang untuk perbaiki diri sentiasa ada dan terbuka. Justeru, tepuk dada tanya diri. Mahu berubah atau tidak?


Beberapa cadangan diutarakan, antaranya:
·  Berbaik sangka dengan semua orang. Tafsirkan segala yang kita lihat secara positif.
·  Tanamkan rasa takut pada kemurkaan dan azab Allah apabila anda berprasangka buruk.
·  Sucikan hati dengan banyakkan berzikir.
·  Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.
·  Luangkan masa untuk banyak melakukan muhasabah diri.

No comments:

Post a Comment