”Dan Kami turunkan dari Al Quran (sesuatu yang menjadi penawar) dan rahmat bagi orang yang beriman (Al Isra; 82)
”Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.” (Asy Syu’ara :80.
”Berubatlah kalian wahai hamba Allah sebab sungguh Allah tidak menurunkan (suatu) penyakit kecuali Dia juga menjadikan ubat (penawar) baginya. (Hadis riwayat Abu Daud An Nasai, At Tirmidzi dan Ibnu Majah diriwayatkan dari Usamah bin Syuraik.)
Ada beberapa ahli rombongan kami yang merupakan pesakit kanser ’stage 4”, stroke, gangguan, masalah kesuburan, tekanan, masaalah keluarga dan beberapa jenis penyakit kronik.
Alhamdulillah, bila berada di tanah suci Madinah dan Mekah, keberkatan tanah suci tersebut merupakan sebahagian besar daripada penyembuhan yang Allah sediakan. Tambahan pula tempat suci, doa mudah di makbulkan, ada beberapa tempat yang menjadi rebutan para pengunjung untuk berdoa dan solat hajat seperti di Raudah, depan Makam Rasululllah saw, di hadapan Kaabah, dalam Masjidil Haram, di hadapan pintu Kaabah dan banyak lagi tempat yang mustajab untuk berdoa.
Maanakala air yang terbaik di dunia yang disediakan oleh Allah ada di Madinah dan Mekah iaitu air zam-zam, sesuai dengan satu kisah oleh Ad Daruudqudhni dan Hakim meriwayatkan dari hadis Ibnu Abbas bahawa Rasulullah saw bersabda;
”Air zan-zam bermanfaat sesuai dengan niat orang yang meminumnya. Bila kamu meminumnya (dengan niat) untuk mencari kesembuhan, Allah akan menyembuhkannya. Bila kamu meminumnya (dengan niat) agar kamu kenyang, Allah akan membuatkanmu kenyang . Dan bila engkau minum (dengan niat) untuk menghilangkan dahaga, Allah pun akan menghilangkan dahagamu. Ia adalah hentakan sayap malaikat Jibril dan air minum Nabi Ismail”.
Al Hakim menambah apabila beliau minum air zam-zam beliau berdoa ”Ya Allah sungguh aku memohon kepadamu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang lapang dan kesembuhan daripada segala penyakit”.
Semua keistemewaan ini mampu menjadi penyembuh segala aneka penyakit. Yang pastinya Allahlah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Seperti yang dipesan oleh Tuan Haji Lokman sewaktu malam akhir sebelum kami berangkat balik. Dalam sesi penilaian umrah, beliau menyatakan bahawa kaedah yang beliau gunakan adalah mudah iaitu melalui DOA dan Baca Quran. Pesakit perlu menumpukan seluruh perhatian (fokus) kepada permohonan atau doa kepada Allah swt. Kerana Allah yang memberi penyakit dan Allahlah yang menyembuhkannya. Yang pentingnya pesakit perlu menggantungkan harapan 100% kepada pertolongan Allah, bukan, pertolongan lain.
Apabila bersama ahli rombongan umrah ini, saya rasa terharu dan bersyukur kepada Allah kerana Allah tidak menguji saya seberat pesakit yang bersama dalam rombongan ini. Di sini saya ketemu dengan suami yang begitu prihatin terhadap isteri yang mengidap kanser, penyabar, bertanggungjawab, sanggup menerima leteran dan rengusan sang isteri yang kurang sihat. Terpaksa menolak kerusi roda setiap waktu ke masjid. Begitu juga sewaktu menunaikan umrah. Betapa sabarnya suami yang prihatin. Ada juga anak yang terpaksa berkorban perasaan demi menjaga hati ibu. Anak yang merindui kasih seorang ayah yang prihatin. Semuanya terdapat dalam rombongan kami.
Ini semua saya temui sewaktu sesi rawatan di hotel di Madinah, sempat juga memberi kaunseling keluarga kepada yang sakit serta berkonflik dalam keluarga. Subhanallah. Sambil ketawa Haji Lokman mengajak saya untuk berkerja di Klinik Hidayah Kuala Lumpur untuk mengendalikan keluarga yang perlukan kaunseling keluarga. Saya ketawa, kerana belum bersedia lagi.
Bila menyentuh soal penyakit, boleh jadi penyakit sebagai ujian dan cubaan bagi seseroang. Untuk menguji sejauhmana keyakinan, keredhaan. kesabaran dan kesanggupan dalam menerima hal-hal yang tidak disukainya.
Boleh jadi penyakit itu diturunkan untuk menyucikan diri kita daripada dosa-dosa, sebagaimana disebutkan dalan sebuah atsar ”Sesungguhnya apabila Allah mencintai seorang hamba, Dia pasti mengujinya sampai ia (hamba) menemuiNya tanpa membawa suatu kesalahan.”
Boleh jadi juga penyakit itu sebagai tambahan pahala baginya dan darjatnyanya akan diangkat bila dia bersabar dan redha menerima ujian. Ia akan memperolehi pahala yang tidak terhingga dari sisi Allah.
No comments:
Post a Comment