Friday, March 16, 2012

Kehidupan lebih bernilai jika pandai urus masa

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
bhagama@bharian.com.my  2012/03/16

BIJAK pandai ada menyatakan, masa itu emas. Sejak zaman dulu manusia mengakui bahawa emas adalah sesuatu yang begitu berharga dan bernilai. Memiliki emas sama ada sebagai harta atau barang perhiasan juga membanggakan diri.

Melihat pada mahalnya nilai emas di pasaran dan sukar pula untuk memperolehnya tanpa ikhtiar dan usaha, maka nilaiannya disandarkan kepada masa. Walaupun emas tetap mahalnya, namun jika dibandingkan dengan masa, nilainya sama sekali tidak dapat disamakan dengan harta benda dan wang ringgit, kerana masa tidak boleh ditukar ganti atau boleh dibeli dan dikembali jika ia sudah berlalu.

Hukama’ pula mengibaratkan masa sebagai pedang. Sekiranya kita manusia tidak berusaha untuk mendahuluinya dalam maksud mengejar kepentingan dunia dan akhirat pada setiap masa, maka masa pasti akan mendahului kita, yakni kita akan mengalami kerugian besar kerana membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan perkara bermanfaat.
Masa cukup berharga kepada manusia. Bagi mereka yang mempunyai kerjaya, masa sudah tentu memainkan peranan penting kerana setiap saat yang dilalui, akan ada tugasan dan urusan yang harus diselesaikan mengikut kerjaya masing-masing.

Majikan umpamanya akan menilai keberkesanan tugasan pekerjanya dengan memperuntukkan tempoh dan waktu tertentu untuk mereka menyiapkan sebarang tugasan, apabila ia dapat disiapkan pada masa dan tempoh seperti yang telah ditetapkan, maka pekerja sebeginilah yang benar-benar memahami dan menghayati betapa pentingnya mengikut ketetapan masa.

Islam mengajar manusia cara dan kaedah menjaga dan mengurus masa dengan baik dan berkesan mengikut kehendak syariat. Di antara kaedahnya ialah:

* Membuat perancangan teliti - Setiap pekerjaan sudah pasti akan dilaksanakan mengikut masa tertentu sama ada masa harian, mingguan, bulanan, tahunan dan sebagainya. Justeru itu, penjadualan adalah sesuatu yang mustahak.
Jadual hendaklah disediakan dengan kemas dan rapi bagi mengelakkan berlakunya sebarang pembaziran masa. Tempoh penyiapan masa sesuatu kerja hendaklah ditetapkan tempoh tertentu bagi menentukan proses penyiapannya, untuk mengelakkan ia menjadi kerja tertangguh dan tidak sistematik.

Nabi Allah Ibrahim sendiri umpamanya menyediakan jadual khusus dalam waktu hidupnya seharian sebagaimana berikut:
  • Waktu untuk bermunajat (berzikir) kepada Allah.
  • Waktu untuk bermuhasabah mengenai diri sendiri.
  • Waktu untuk berfikir mengenai ciptaan Allah.
  • Waktu untuk keperluan hidupnya seperti makan dan minum.
* Sentiasa menepati masa – Sebagai umat Islam yang sentiasa inginkan kemajuan diri sendiri, masyarakat, bangsa dan negara, maka hendaklah menjadi orang yang sentiasa menepati masa sebagaimana ditetapkan untuk mengelak daripada timbulnya hal negatif yang lain akibat daripada kecuaian kita mematuhi ketepatan masa. Sebuah kata-kata hikmat menyatakan: ‘Jangan tangguh kerja hari ini sehingga hari esok’.

* Jangan membazir masa – Orang yang benar-benar menghargai masa sentiasa memenuhi masa hidupnya dengan melakukan perkara bermanfaat untuk dirinya dan orang lain dengan mengelakkan diri daripada terbabit dengan pekerjaan makruh, apatah lagi yang haram dan maksiat.

* Menjaga kualiti masa – Kualiti masa bagi seseorang tentunya berbeza-beza mengikut keupayaan, persepsi dan kemampuannya mengisi masa dalam kehidupan seharian. Namun begitu Islam menyusunnya mengikut batas tertentu yang pasti sesuai dan perlu diambil perhatian semua umat muslimin.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: ‘Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa mudamu sebelum tua, masa senangmu sebelum susah dan masa hidupmu sebelum mati.’

* Berlumba-lumba meningkatkan kualiti dan produktiviti. Berdasarkan hadis di atas juga maka manusia amat dituntut untuk menghasilkan sesuatu bermutu apabila sudah nekad melakukan sesuatu tugasan pada masa hidup, senang, sihat dan dalam usia muda dengan tenaga yang masih kuat, maka berusahalah untuk menghasilkan sesuatu natijah atau hasil yang benar-benar mampu untuk dibangga oleh orang lain.

Firman Allah dalam surah al-Maidah bermaksud: ‘Hendaklah kamu berlumba-lumba melakukan kebaikan.’ Rasulullah SAW pula bersabda: ‘Sesungguhnya Allah kasih kepada seseorang di antara kamu apabila bekerja sentiasa meningkatkan mutu kerjayanya.’

* Beristiqamah dalam melakukan kerja – Kekuatan untuk mengekalkan semangat dan usaha untuk beristiqamah apabila diberi tugasan untuk melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri atau dengan arahan dan menganggap apa yang sedang dilakukan itu adalah ibadat kepada Allah Taala. Firman Allah dalam surah al-Syirhi bermaksud: “Maka apabila kamu selesai (daripada sesuatu urusan), kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh (urusan) lain. Dan hanya kepada Tuhan-Mu hendaknya kamu berharap.”

* Martabat manusia dinilai dengan masa – sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik manusia yang panjang umurnya dan baik pula pekerjaannya, manakala sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya tetapi buruk pula amalannya”

No comments:

Post a Comment