Bermula hari
ini, Umno akan berpecah
Aspan Alias,
|
16 Apr 2013
|
BN telah
mengumumkan yang 49 peratus dari calon-calon Dewan Undangan Negeri adalah muka
baru dan 30 peratus dari calon Parlimen merupakan calon-calon gantian untuk
memantapkan prestasi parti itu dalam PRU yang akan datang. Beberapa Menteri
Kabinet BN juga telah digugurkan, di antaranya ialah Rais Yatim dan Nor
Mohammed Yakcop. Mohamad Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi akan
bertanding di kawasan Dun di Johor untuk menjadi Menteri Besar jika BN
memenangi pilihanraya kali ini.
Tidak
payah kita sebut siapa yang digugurkan dan siapa yang beralih kawasan dari
Dewan Undangan Negeri atau Parlimen yang diumumkan oleh Pengerusi BN semalam.
Isu yang saya hendak komen hari ini ialah tentang kebanggaan Najib menurunkan
calon-calon yang berkelayakan akademik yang tinggi serta berpelajaran. Najib
telah menurunkan calon-calon yang berpelajaran tinggi, setidak-tidaknya
pemegang Diploma dan ke atas.
Pemilihan
calon yang berpelajaran tinggi itu adalah wajar kerana tindakan itu sejajar
dengan keadaan semasa dalam mana rata-rata rakyat telah berpelajaran. Tetapi
yang dihadapi oleh UMNO sekarang ini bukannya masalah taraf akademik
calon-calonnya. Dari dahulu sememangnya calon-calon dalam UMNO itu adalah
dikalangan orang yang pandai-pandai belaka. Ada yang berpendidikan sehingga Doktor
Falsafah, ada yang Doktor perubatan, ada akauntan dan berbagai-bagai lagi dari
bidang professional dan separa professional yang hebat-hebat diletakkan sebagai
calon.
Tetapi
apabila mereka yang pandai-pandai ini menyertai UMNO, mereka dipengaruhi oleh
budaya yang songsang dan buruk seperti rasuah dan berbagai-bagai lagi kesalahan
undang-undang dan moral yang dilakukan oleh pimpinan BN. Keadaan itu bertambah
meruncing dari masa ke semasa dan sekarang budaya buruk itu sudah tidak
terkawal lagi. Pendeknya berpelajaran tinggi itu tidak dapat memperbaiki akhlak
kepimpinan mereka setelah menyertai UMNO walau setinggi mana sekali pun taraf
pelajaran mereka.
Mereka
itu mungkin berpelajaran, tetapi kurang pendidikan. Seseorang yang berpelajaran
tidak semestinya seorang yang berpendidikan. Seseorang yang berpendidikan baik
itu akan mencakupi nilai moral yang selari dengan pelajarannya yang tinggi itu.
Saya selalu berkata sebaik mana pun seseorang itu, apabila menyertai UMNO dan
mendapat kedudukan, mereka akan lupa yang diri mereka telah belajar di menara
gading tetapi sikap mereka seolah-olah seperti orang yang tidak pernah melalui
pendidikan yang betul.
Apabila
menyertai UMNO mereka akan menganggap yang buruk itu sebagai baik dan baik itu
sebagai buruk, seolah-olah mereka ini adalah pembawa dalil hari hendak kiamat.
Pendeknya mereka yang berpelajaran tinggi tidak mampu untuk menjadi seorang
pemimpin yang terdidik.
UMNO
sentiasa gagal untuk mengenengahkan mereka yang terdidik sejak tiga dekad yang
lalu. Dalam UMNO ada yang berkelulusan bidang kejuruteraan sehingga PhD tetapi
kita nampak dengan jelas kelulusan tinggi itu tidak mampu untuk menjadi orang
yang mampu berfikir. Mendapatkan sarjana muda, atau sarjana serta doktor falsafah
itu hanyalah untuk mengesahkan mereka telah lulus mata pelajaran dan modul yang
mereka pilih di menara gading itu. Tetapi matlamat sebenar kita masuk
universiti itu ialah untuk belajar dan mendidik kita untuk berfikir dengan baik
dan tahu membezakan yang mana satu yang bermoral dan yang sebaliknya.
Tetapi
apabila bergiat dalam UMNO kemampuan mereka untuk berfikir semakin tumpul
kerana budaya yang tidak membolehkan sesiapa bersuara dan memberikan pandangan
yang bernas. Maka jadilah mereka perasuah dan penyalahguna kuasa yang besar
apabila mendapat kuasa mandat rakyat itu untuk bersama membina budaya membina
kepentingan dan kekayaan peribadi dan keluarga mereka. Sepatutnya jika
seseorang itu telah berjaya untuk berfikir mereka tidak akan tergamak melakukan
rasuah dan kerja-kerja hina yang lain itu.
Maksudnya
jika kita berjaya untuk berfikir, maka gejala buruk akan terhindar dari diri
mereka. Pemimpin yang benar-benar terdidik tidak akan sanggup melakukan rasuah
kerana mereka akan merasakan malu yang amat sangat hasil dari didikan dan
berfikir secara orang yang berpendidikan tinggi.
Saya
ingin mengulangi yang berpelajaran itu tidak semestinya yang terdidik. Jika
kita hanya berpelajaran belum tentu kita akan melakukan kerja yang baik-baik. Hanya
yang terdidik sahaja yang boleh diberikan keyakinan, bukan kepada yang hanya
berpelajaran. Senarai calon-calon yang dikatakan sebagai barisan yang
berpelajaran itu tidak akan membawa apa-apa perubahan selagi budaya rasuah dan
mementingkan keuntungan peribadi itu tidak dihapuskan dalam UMNO. Keadaan
dalam UMNO itu akan tetap sama. Jika UMNO masih diberikan mandat ia tetap
seperti biasa yang kita alami sekarang ini. Salah laku itu akan tetap berlaku,
hanya yang menjadi pelakunya itu orang yang berlainan sahaja.
Selalunya
yang terdidik itu akan mempunyai nilai etika, bermoral tinggi dan lebih lagi
ada agamanya dan meng’addin’kan
agamanya dalam pentadbiran dan politik mereka. Yang terdidik itu selalunya akan
melakukan segala-galanya dengan beriktikad untuk melakukan fardhu kifayahnya
sekali kerana dengan fardhu kifayah itulah yang akan membuka jalan ke arah
keredhaan Tuhan dalam semua tindak-tanduk kita.
Pemimpin
yang terdidik dengan didikan yang benar, mereka akan ada sifat malunya untuk
melakukan kerja rasuah dan sebagainya. Merasa malu pada diri sendiri itulah
yang mampu membendung kita dari melakukan kerja terkutuk seperti rasuah,
membunuh serta dosa dan noda yang lain.
Walau
apa pun, UMNO akan berpecah dan kita akan saksikan bersama-sama semua yang akan
berlaku dalam UMNO itu. Tamat sahaja pengumuman calon nanti, kita akan lihat
perpecahan itu berlaku dengan cepat dan deras di mana-mana.
Malahan
ia telah pun berlaku di beberapa tempat di Selangor dan di Perak di mana
ahli-ahli UMNO telah berkumpul dan berarak menentang calon yang ditonjolkan
oleh pucuk pimpinan parti.
Benar, bermula hari ini UMNO akan
berpecah. Dr Mahathir bolehlah saksikan apa yang beliau telah wariskan kepada
pimpinan-pimpnan selepas beliau. Segala-galanya bermula dari kerja beliau
memecah dan memerintah rakyat semasa mentadbir negara dahulu.
Sekarang
beliau boleh saksikan puas-puas. Kehendaknya telah tercapai sepenuhnya. Dr
Mahathir boleh tidur lena sekarang. -http://aspanaliasnet.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment