PAMIT SEORANG DAIE
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Dia seorang pendakwah yang versatil. Kuliah dan tazkirahnya
bersepadu antara ilmu, kisah, madah dan gurauan yang berhikmah. Mendengar
kata-katanya membuat kita berfikir, ketawa dan menangis. Paling saya ingat,
kuliahnya tentang mati. Saya tidak pernah jemu walaupun telah
mendengarnya berkali-kali. Peristiwa yang paling saya ingati ialah apabila kami
sama-sama mengendalikan satu program latihan di Janda Baik, Pahang.
“Ustaz, tolong sambung ceramah saya.
Tangan saya menggeletar, fikiran saya melayang, hati berdebar-debar,” ujarnya
sebaik memberi salam dan menerpa ke bilik penginapan saya yang hanya
bersebelahan dewan kuliah.
Saya yang
sedang tidur terjaga dan terus menyambung kuliahnya. Seingat saya tentang ‘Bahaya Dosa’. Sejak itu dia sering uzur. Ajakan saya
untuk dia dan keluarga menetap di KL ditolak dengan baik. Dia memilih untuk
tinggal di kampung halamannya, satu daerah terpencil di negeri Pahang. Saya
memahami tindakannya. Sebagai anak yang sangat taat, dia memilih untuk tinggal
berdekatan dengan ibu-bapanya.
Sejak itu
dia sekali-skala sahaja bersama saya menjalankan program latihan. Kebanyakan
masanya dihabiskan berdakwah di Pahang. Paling saya terhibur apabila mendengar
kuliahnya dalam radio Malaysia Pahang. Intonasi suara, lenggang lenggok
bahasanya serta butiran fakta ceramah semakin meningkat. Dalam hati, saya
bangga punya sahabat sepertinya.
Namun,
suatu yang saya tidak pernah lupa, dia akan mengirim ikan patin masak tempoyak
setiap kali berkesempatan. Sungguh lazat ditambah dengan sambal kering hitam
belimbing. Semua masakan cara kampung. Bukan sedikit, kadangkala sampai penuh
bekaS besar yang dikirimnya.
“Ustaz
Rujhan, buat susah-susah sahaja, “ begitu kata saya apabila menelefonnya semula
sebaik kirimannya sampai.
“Ana tahu,
ustaz dan isteri ustaz tentu suka…” jawabnya pendek.
Beberapa
bulan berlalu… kami sibuk dengan tugas masing-masing. Tugas kami menyebabkan
jarang-jarang kami berada di rumah. Apatah lagi sahabat, isteri dan anak-anak
sendiri pun sering berenggang. Dia sering bergerak sendirian. Secara solo dia
berdakwah ke sana ke mari. Pergi sebelum Subuh, pulang jauh-jauh malam.
Paling
saya inginkan dia menjadi seorang penulis. Dia punya bakat yang besar. Hafalannya
mantap. Cuma, mungkin kerana kekangan masa dan tenaga, dia terpaksa memilih
untuk berceramah berbanding menulis.
“Dah ada
rangkanya. Banyak sudah poin-poin penting, “katanya.
“Apa lagi…
tulislah. Jangan tunggu masa lapang ustaz, lapangkan masa,” nasihat saya
sebagai seorang abang.
Tiba-tiba
saya mendengar dia diserang ‘serangan jantung’ kali pertama. Saya terkejut. Rupa-rupanya
rasa gementar, tangan yang menggeletar tahun-tahun yang lalu itu mungkin
simptom awal pada serangan jantung. Ah, sayang sungguh, saya tidak sempat
meluang masa untuk kembara menziarahinya kerana saya sendiri mengalami sakit
akibat koyaknya otok dua belah bahu, kiri dan kanan. Saya tidak dapat
memandu kerana otot leher selalu diserang ‘frozen shoulder’. Ayah pula
sakit-sakit ditambah kerja menulis dan mengendalikan latihan.
“Dia
diserang strok kali pertama di bulan Ramadan ketika membaca Al Quran,” begitu
yang saya dengar daripada rakan-rakan yang berulang menziarahi. Saya terkilan.
Terasa ‘berhutang’ kepadanya. Saya tidak mahu menelefonnya, saya ingin
menziarahnya. Bila? Nantilah… bisik hati memberi alasan. Kali kedua dia
diserang strok, waktu itu saya sedang bersedia untuk membuat pembedahan
(ditangguhkan sementara hingga kini atas sebab-sebab teknikal). Namun kali ini
saya bertuah…
“Ustaz,
apa khabar… rindu sangat dengan ustaz,” ujarnya beberapa lama selepas ‘kebah’
daripada serangan strok yang kedua.
“Ya Allah,
ana pun rindu,” ujar saya. Mudah-mudahan
rindu kami kerana Allah.
“Ana nak
bersama ustaz semula. Sudah rindu untuk ikut modul dan berkongsi ilmu serta
pengalaman,” katanya.
“Ustaz
datanglah. Ana sering uzur,” balas saya.
Kami
berbual agak lama. Terlalu lama, ulas isteri saya. Kami sama-sama keberatan
untuk menamatkan panggilan. Dia bertanya pelbagai perkara. Berkongsi
bermacam-macam rasa.
“Bagaimana
ustaz membahagikan masa?”
Itulah
antara soalan yang masih saya ingat. Walaupun dia selalu bertanya, tetapi
diam-diam saya akui bahawa sayalah hakikatnya banyak belajar daripadanya. Belajar
bersantai dalam memberi kuliah. Belajar mengadun antara fakta, cerita dan
gurauan dalam batas dakwah dan tarbiah.
Tengah
Jumaat itu, saya di utara. Selepas memberi kuliah secara ‘maraton’ seawal jam 8
pagi sehingga 12.30 tengah hari, saya kembali ke dalam kereta dengan kepala
yang berdenyut-denyut. Bagi meredakannya saya bawa berselawat setelah menelan
ubat.
“Ustaz,
tahu tentang strok?” kata sahabat di sebelah yang membantu saya memandu kereta.
“Tahu
kenapa?” saya menjawab biasa-biasa.
“Ustaz
Rujhan, sahabat ustaz telah meninggal sebentar tadi akibat serangan strok,”
katanya perlahan.
Innalillah
wa inna ilaihi rajiun… saya terkejut. Saya terdiam seketika. Setelah membaca
surah Al-Fatehah saya buka kembali SMS terakhir yang dikirimnya 3 minggu yang
lalu. Menerusi SMS itu memohon maaf dan menyatakan keuzuran kerana belum dapat
bertemu. Jika tidak jadual kuliah dan kursus yang telah siap diatur, mahu
sahaja saya memecut ke Pahang untuk menziarahi jenazahnya. Namun apakan daya,
masih dua program yang perlu diisi di utara dan tiga program lagi menanti di
bahagian tengah dan selatan.
Akhirnya,
setelah kira-kira dua minggu selepas dikebumikan saya di sini… di bawah pohon
rendang di sisi pusaranya yang masih merah dan basah. Bersama-sama beberapa
orang sahabat terapat, saya bertahlil. Walaupun bumi berbahang dipanah mentari,
namun hati menjadi dingin dibelai kenangan-kenangan indah yang mengiringi
pemergiannya.
“Detik
pemergiannya pada penghulu segala hari, hari Jumaat.”
“Jemaah
masjid penuh berganda ketika solat jenazahnya.”
“Allahyarham
masih memberi kuliah Subuh di masjid berhampiran pada hari diserang strok.”
“Ketika
pusaranya digali, tercium bau yang wangi.”
“Sebaik
jenazah dikebumikan, hujan turun dengan lebatnya!”
“Dia
sangat suka bersedekah walaupun ketika susah.”
“Di
akhir-akhir hayatnya dia banyak berzikir, bertahajud dan duha.”
Begitulah
yang saya dengar berita-berita dan kisah yang melingkari detik kematiannya. Orang
yang telah mati akan disebut namanya mengikut amalannya ketika hidup. Sungguh
penceramah yang hebat apabila menyentuh tentang kematian itu pun telah mati… Terbayang
anak isteri yang menangis kesedihan dengan pemergian suami seperti yang sering
dibayangkannya… Terbayang detik-detik dahsyat ‘Sakaratul Maut’ yang sentiasa
diperingatkannya. Kini segala-galanya telah dialaminya sendiri.
“Ustaz
semua, makanlah… sengaja saya masak ikan patin gulai tempoyak pada tengah hari
ini. Ustaz Rujhan dulu selalu menghidangkan ustaz-ustaz masakan ini. Sekarang
saya sebagai isteri nak menyambung amalan arwah suami saya…” kata isterinya
menjemput kami makan. Selepas makan, kami kumpulkan semua anak Allahyarham.
Tazkirah, kata semangat dan kisah-kisah kebaikan ayah mereka kami imbau satu
persatu. Mudah-mudahan anak-anak yatim ini menjadi ‘orang besar’ mengikut jejak
anak-anak yatim yang hebat seperti Rasulullah SAW, Imam Safie, Imam Bukhari,
Imam Hanbali dan lain-lain.
Sungguh
saya benar-benar terharu. Allah Maha Mengetahui hikmah di sebalik kesedihan
ini. Dia yang jarang ada di rumah itu akhirnya telah tiada buat selama-lamanya.
“Ustaz,
tunjuk ajar saya untuk menulis…”
Masih
terngiang-ngiang permintaan terakhirnya. Begitu tawaduknya, pada hal dia telah
pun menulis dengan begitu baik dalam sebuah majalah yang semakin meningkat
edarannya. Apalah ertinya keindahan sebuah tulisan dibandingkan dengan
keindahan sebuah kematian? Saya cemburu, terlalu cemburu… mengenangkan
bagaimana dia melakarkan sebuah kehidupan yang penuh perjuangan. Dia berdakwah,
sehingga Subuh yang terakhir.
Benarlah
seperti yang sering diungkapkan… cara mati seseorang akan ditentukan bagaimana
cara hidupnya. Semoga Allahyarham Ustaz Rujhan bin Hj Razali, anak kepada
seorang Tok Imam, adik kepada seorang murabbi, suami kepada seorang isteri yang
tabah itu… di tempatkan di kalangan para solehin, diampunkan, dikasihani dan
diredai Allah! Amin.
Pergilah
dulu sahabat ku, aku dan kami semua, pasti menyusul mu nanti.
Al Fatehah…
No comments:
Post a Comment