Sunday, April 7, 2013


Zikrullah Sumber Bahagia

Ustaz Pahrol Mohd. Juoi


Alhamdulillah kita dipilih untuk berada dalam kebaikan. Mudah-mudahan dengan kita selalu mendengar sesuatu yang berkaitan ilmu ini, hati kita akan bercahaya. Perbincangan petang ini akan menyambung perbincangan minggu lepas. Minggu lepas telah kita bincangkan bahawa terdapat 2 cara manusia mencari bahagia – dari luar ke dalam, dan dari dalam ke luar. Manusia yang yakin bahawa bahagia itu datang daripada luar memburu harta, rupa, kuasa dan nama. Kita sudah pun membincangkan dan membuktikan bahawa golongan yang memiliki semua ini pada hakikatnya tidak juga mendapat kebahagiaan kerana ramai daripada mereka yang hidup tertekan dan terlibat dengan dadah, arak, masalah rumah tangga sehinggakan ada yang sanggup membunuh diri.

Sumber bahagia yang kedua pula adalah dari dalam ke luar – iaitu bersumberkan hati. Allah SWT telah menegaskan dalam firman-Nya, “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Inilah jawapan kebahagian yang dicari-cari manusia. Kebahagiaan itu datangnya daripada ketenangan hati. Ketenangan hati itu pula datangnya dengan mengingati Allah, iaitu melalui zikrullah. Ketenangan itu bukan dicari menggunakan akal, tetapi Allah sebagai pencipta yang mengurniakannya melalui kasih sayangnya kepada manusia. Inilah konsepnya, tetapi bagaimana pula dengan realitinya? Bagaimanakah yang dikatakan jika mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang. Katakan kita sedang sedih, adakah dengan mengucapkan 'Subhanallah', hati kita akan tenang? Jika kita sedang marah pula, adakah dengan menyebut 'Ya Laatif, Ya Laatif', kemarahan kita akan reda? Jika kita sedang ketakutan dan resah gelisah pula, adakah dengan mengucapkan 'Hasbunallah wa ni'mal waakil', hati kita akan tenteram?

Sebenarnya, dalam realitinya tidaklah semudah itu untuk dilakukan. Zikrullah itu pembawa ketenangan, namun dengan hanya menyebutnya, nampaknya kita belum lagi mendapat ketenangan. Berbeza dengan apa yang kita tahu daripada sejarah yang pernah berlaku kepada Siti Fatimah, puteri Rasulullah SAW. Oleh kerana merasa terlalu berat melakukan tugasan dalam rumah tangganya seperti terpaksa mengangkut air dari tempat yang jauh sehingga berbekas bahunya, mereka suami isteri bertemu Rasulullah SAW untuk meminta bantuan sekiranya Rasulullah SAW mempunyai pembantu rumah. Cerita ini kita semua pun tahu sebenarnya dan saya cuma ulang di sini. Dipendekkan cerita, Rasulullah tidak mempunyai pembantu dan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik iaitu dengan mengajarkan Fatimah mengucapkan 'Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33x, Allahuakbar 33x', untuk diamalkan sebelum tidur, dan zikir ini juga kemudiannya dikenali sebagai 'Zikir Fatimah'. Esoknya pagi-pagi lagi Fatimah bertemu ayahandanya dan menyatakan dia tidak lagi memerlukan pembantu rumah kerana dia telah merasa keringanan, ketenangan dan kelapangan jiwa untuk melakukan kerja-kerja rumah. Inilah kebenaran perumpamaan yang menyatakan, “Jangan meminta hidup yang senang, tetapi mintalah hati yang tabah.” Hati yang tabah hanya boleh diperolehi melalui zikrullah. Cuba kita padankan kisah benar yang berlaku ini kepada isteri atau ibu yang juga terlalu letih menguruskan rumah tangga yang penuh dengan cabaran hari ini. Macam-macam yang perlu dilakukan. Cuba ajarkan mereka zikir ini sebagai ganti kepada pembantu rumah. Walaupun ucapannya sama, bilangannya, ternyata kesannya jauh berbeza. Mengapa ini terjadi? Kesan zikrullah itu tidak sama kerana hati Ali dan Fatimah jauh berbeza dengan hati kita. Zikir tidak boleh diamalkan sebagai kalimah-kalimah yang bersifat 'surface' atau permukaan semata-mata. Kita mesti menyelam ke dalam kalimah itu dan mengamalkannya dengan lebih holistik iaitu secara multi-dimensi. Dengan cara itu, barulah akan ada kesannya kepada hati kita. Rupa-rupanya zikir ini terdiri daripada tiga iaitu:
·         Zikir Qauli iaitu zikir menggunakan lidah,
·         Zikir Qalbi iaitu zikir di dalam hati, dan
·         Zikir Fi'li iaitu zikir dengan anggota.

Oleh itu mungkin zikir-zikir yang kita amalkan sebelum ini belum memberi kesan kerana kita tidak mendirikan ketiga-tiga komponennya sekaligus. Mungkin lidah kita berzikir tetapi hati kita lalai. Mungkin hati kita mengingati Allah, tetapi anggota kita melakukan yang sebaliknya pula. Kita kena gabungkan kesemua elemen ini, barulah impaknya akan terasa. Contohnya, jika kita sebut 'Subhanallah', ertinya 'Maha Suci Allah'. Jadi kita kena faham betul bahawa Allah itu suci daripada segi zat-Nya, sifat-Nya dan Af al-Nya (perbuatan-Nya) berbanding kita. Namun kita kadang-kadang tak terasa kesucian Allah kerana dilindungi oleh rasa suci diri kita sendiri. Cuba kita lihat sebagai perbandingan, betapa kotornya, hinanya kita sebagai insan. Kita berasal daripada air mani yang hina, dikandung dalam perut ibu, bersebelahan sahaja dengan 'tong najis' ibu. Semasa dilahirkan pun kita keluar melalui saluran najis juga. Kemudian apabila kita membesar, semua anggota badan kita pun mengeluarkan najis. Tak kiralah secantik mana pun rupa seseorang, jika tak mandi seminggu berbau juga. Mata, kuku, kulit, gigi kita semuanya mengeluarkan najis. Jika kita mati pula, kita menjadi bangkai yang paling busuk sekali (maaf terpaksa menyebutnya). Tiada apa-apa pada diri kita ini. Sebab itulah kita tak layak menyembah Allah sebelum mensucikan diri daripada hadas kecil dan hadas besar. Kita kena cuci muka, tangan, rambut dan kaki sebelum menyembah Allah yang Maha Suci. Semoga selepas ini, ketika menyebut 'Subhanallah', mudah-mudahan ia akan meresap ke hati kita dan kita akan lebih terasa bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Suci. Ini barulah dikatakan zikir qalbi.

Mari kita lihat dari segi perbuatan atau sifat Allah pula. Antara sifat Allah yang kita sedia maklum ialah Al-'Afu (Maha Pengampun) dan Al-Ghaffar(Maha Pemaaf). Allah SWT sangat cintakan kemaafan. Oleh sebab itulah kita sangat dianjurkan untuk berdoa meminta kemaafan dan keampunan dari Allah SWT. Mari kita bandingkan dengan sifat kita pula. Cuba kita ambil spesimen seramai 100 orang. Daripada jumlah ini, apabila ada orang bersalah padanya, berapa ramaikah yag bersedia memaafkan. Daripada 100, mungkin cuma 30 orang sanggup memaafkan. Baki lagi 70 mungkin cakap - “I see you di akhirat”. Daripada 30 orang ini pula, berapa ramai yang sanggup melupakan - 'forgive and forget'? Ramai yang sedia memaafkan tetapi sukar melupakan kesalahan yang pernah dilakukan terhadapnya. Katakanlah mungkin ada 5 orang yang sanggup 'forgive and forget'. Daripada 5 yang tinggal ini, berapa ramai yang boleh menyayangi orang yang berbuat salah kepadanya? Mungkin seorang? Mungkin juga tiada soeorang pun yang sanggup menyayangi orang yang pernah melukai kita. Ianya sangat sukar untuk kita lakukan.

Jadi cuba kita lihat betapa sucinya Allah SWT. Jika seseorang itu datang kepadanya dengan dosa dan kesalahan yang menggunung sekalipun, Allah Taala bukan sahaja menjanjikan keampunan bahkan Allah menyayangi orang yang bertaubat atas dosa-dosanya. Dalam suatu hadis yang panjang ada disebut bahawa Allah menyayangi, menyukai dan sangat gembira untuk menerima taubat hamba yang berdosa. Ianya diumpamakan seperti seorang musafir di tengah padang pasir yang kehilangan bekalan dan untanya. Oleh kerana terlalu kecewa musafir itupun mengambil keputusan untuk tidur dengan harapan biarlah mati ketika tidur. Tetapi alangkah gembiranya musafir itu apabila terjaga dan mendapati bekalan dan untanya telah kembali ke pangkuannya. Perasaannya seumpama mati hidup semula. Jika musafir itu terlalu gembira, Allah SWT lebih gembira lagi daripada musafir itu apabila ada hambanya yang bertaubat atas kesilapan lalu. Allah bukan sahaja memaafkan kesalahan orang yang berdosa, bahkan Allah memadamkan daripada catatan dan menyayangi orang yang yang bertaubat itu. Oleh itu bila kita sebut 'Subhanallah', jadikanlah ianya zikir qalbi dimana kita terasa di dalam hati betapa sucinya Allah, betapa penyayangnya Allah.

Seterusnya cuba kita lihat bagaimana Allah memandang hambanya. Kita ini kadang-kadang begitu cepat betul bersangka buruk atau prejudis takkala melihat contohnya sebuah kereta memotong kereta kita atau seseorang yang berpakaian agak 'XO- extraordinary'. Kita mula berdetik di dalam hati mengatakan yang orang itu berlagaklah, kurang beradab dan sebagainya. Walaupun kita tak ucapkan secara zahir, tetapi begitulah hati kita memandang orang sekeliling. Padahal orang itu tiada kena-mengena pun dengan kita. Kita tidak memandang orang dengan kasih-sayang, sebaliknya kita memandang orang dengan prasangka, curiga dan kehinaan. Sebab itulah dalam memberi salam pun kita memilih-milih orang. Walaupun seseorang itu Islam jika dia tidak senyum kepada kita, kita pun tidak mahu beri salam. Padahal Nabi SAW sendiri sudah menyebut bahawa di akhir zaman nanti, manusia hanya memberi salam kepada orang yang mereka kenali sahaja. Sewajarnya kita beri salam kepada semua umat Islam, tak kitalah kita kenal atau tak. Jadi apa yang menghalang kita daripada memberi salam? Itulah persepsi atau pandangan kita terhadap seseorang. Kita suka menghukum orang dari segi lahiriah sahaja. Allah SWT itu Maha Kaya, tetapi Allah tidak prejudis ketika melihat hamba-Nya. Penglihatan Allah dipenuhi kasih sayang, bahkan kasih sayang Allah melebihi kasih sayang seorang ibu yang paling menyayangi anaknya. Allah Maha Berkuasa tetapi Allah tidak zalim sebaliknya Allah penyayang. Allah Maha Kaya tetapi Allah tidak bakhil dan sebaliknya sangat pemurah. Allah Maha Mengetahui, tetapi Allah tidak membuka aib hambanya. Alhamdulillah dosa itu tidak berbau, jika sebaliknya, tentulah tiada siapa yang mahu dekat dengan kita lantarannya terlalu banyaknya dosa yang pernah dilakukan. Oleh itu, apabila menyebut “Subhanallah”, terasalah bahawa Allah itu Maha Suci melalui pandangannya, sifatnya, zatnya dan sebagainya. Ini barulah dinamakan zikir qalbi. Mudah-mudahan zikir sebegini ada kesannya kepada hati kita, sepertimana kesan zikir ini ke atas hati Fatimah dan Ali.

Seterusnya, komponen terakhir – zikir fi'li. Adakah perbuatan kita selaras dengan pengucapan kita? Adakah tindakan kita selaras dengan rasa hati kita? Adakah kita bertindak mengikut syariat yang Allah tetapkan? Orang yang betul-betul merasakan Allah itu Maha Suci, tindakannya juga akan mensucikan Allah, maksudnya dia cuba untuk melaksanakan tuntutan yang wajib dan juga yang sunat ke atasnya. Perkara yang haram pula, bukan sahaja dia meninggalkannya, malah dia mencegah orang lain daripada melakukannya juga. Inilah yang paling penting sebenarnya. Kita jaga hukum-hakam yang Allah tetapkan. Kita menyayangi semua makhluk Allah dan kita juga menjaga hati daripada sifat-sifat mazmumah (tercela). Ini barulah dikatakan zikir fi'li yang merangkumi perlakuan lahiriah dan juga batin atau hati kita. Dengan ketiga-tiga komponen ini, barulah zikir itu bersepadu untuk diamalkan. Semoga dengan pencerahan ini kita menyedari bahawa rupa-rupanya zikir kita selama ini sekadar terapung-apung di permukaan dan tidak menjunam ke dalam hati kita sehingga menimbulkan ketenangan yang sejati. Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Tetapi jika kita sudahpun mengingati Allah, namun hati masih belum berasa tenang, pasti masih ada kekurangan sama ada pada zikir qaulinya, zikir qalbi atau zikir fi'linya. Saya rasa cukup dulu sebagai pencerahan. Mari kita berkongsi bersama pendengar pula.

Senarai soalan & jawapan:

S: Bagaimanakah konsep kemaafan dalam Islam? Katakan ada orang berhutang atau menzalimi kita, dan kita mengambil sikap tidak peduli dengan alasan 'malas nak layan'. Adakah sikap begini dituntut dalam Islam?

J: Pada pendapat saya, tindakan sebegitu tidak berapa tepat. Jika ada orang berhutang dengan kita, kita perlu maklumkan kepada mereka. Orang yang berhutang terlibat dengan dosa jika hutangnya tidak dilangsaikan. Jadi kita meminta hutang itu agar dia terlepas daripada menanggung dosa. Kecualilah kalau dia itu seorang yang susah dan tidak mampu, kita bolehlah menangguhkan atau menghalalkan hutang tersebut. Jika sebaliknya, kita perlu mengingatkannnya. Kita menuntut hutang bukan kerana hutang itu, tetapi kerana sayangkan dia agar dia tidak terlibat dengan dosa. Seterusnya kita juga boleh berdoa memohon hatinya dilembutkan untuk membayar hutang. Dalam kes dizalimi pun begitu juga. Kita bukan saja perlu tolong orang yang dizalimi, namun kita perlu juga tolong orang yang menzalimi. Bagaimana? Dengan memberhentikan kezaliman orang yang menzalimi. Jadi, sifat Islam ialah ambil endah dan ambil peduli. Sikap tidak ambil peduli bukan sifat Islam. Islam menyuruh kita menghalang kemungkaran dengan kuasa, dengan lidah atau paling kurang dengan hati. Orang Islam perlu reaktif dalam mencegah kemungkaran.

S: Seperti yang ustaz sebut bahawa zikir itu ada 3 bahagian. Saya sendiri pun sentiasa mengamalkan zikir, tapi saya masih rasa ada sesuatu kekurangan. Saya juga masih melakukan maksiat-maksiat contohnya seperti mengumpat. Jadi bagaimana nak tahu yang kita telah benar-benar ikhlas mengingati Allah, berzikir pada-Nya, sedangkan saya masih leka membuat kesilapan dan setelah berbuat kesilapan, barulah saya sedar yang saya telah buat silap lagi. Saya cuba untuk sentiasa ingat Allah, dan berzikir tapi masih lagi melakukan kesalahan. Jadi bagaimana nak ikhlaskan diri dalam berzikir, dan mewujudkan perasaan suka dan minat untuk berzikir.

J: Masalah ini kita semua pun menghadapinya. Dalam melakukan solat, berzikir dan mengingati Allah, kita masih terlanjur melakukan maksiat-maksiat dan gagal mengawal hawa nafsu kita. Apa yang penting sekali ialah kita masih ada rasa bersalah. Rasa bersalah itu menunjukkan bahawa hati kita masih hidup. Berbeza dengan orang yang hatinya mati, dia berasa gembira apabila melakukan kesalahan. Tetapi jika kita menyesal setelah melakukan kesalahan dan mungkin tertanya-tanya kenapa walaupun kita dah solat, kenapa kita masih sukar meninggalkan maksiat. Pada ketika ini, jangan berputus asa daripada rahmat Allah. Sekali lagi saya ingatkan, jangan sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah. Kita segeralah bertaubat, biarpun berterusan bertaubat sekalipun kerana masih mengulangi kesilapan yang sama. Jangan sesekali menganggap tak perlu bertaubat kerana dah tahu pasti akan mengulangi kesilapan lagi. Teruskan bertaubat, semoga kita mati dalam melakukan taubat, atau dalam perjalanan menuju taubat yang lain.

Imam Ghazali pernah ditanya, “Bagaimana keadaan aku berzikir tetapi hatiku lalai?”. Jawab Imam Ghazali, “Hendaklah engkau terus berzikir walaupun hatimu lalai. Sekurang-kurangnya lidahmu telah terpelihara daripada melakukan kejahatan.” 

Jadi kita kena teruskan berzikir walaupun hati lalai. Jika kita masih buat silap, berusahalah untuk memuhasabah diri dan bertaubat. Teruslah mengetuk pintu taubat dan pintu keredhaan Allah, InsyaAllah akan terbuka juga suatu hari nanti. Kita perlu terus berbaik sangka pada Allah. Kita juga perlu tambahkan ilmu, kerana ilmu akan memberi jalan untuk kita beramal. Seterusnya cari guru dan jadikan mentor yang dapat membimbing kita dan mengajar cara berzikir yang lebih spesifik, sesuai dengan keadaan dan keperluan kita. Dalam rancangan Mukmin Profesional ini kita cuma membuka gerbang sahaja dalam memberitahu kepentingan zikrullah. Mudah-mudahan para pendengar akan mendalami topik ini dan mencari zikir-zikir yang muktabar untuk diamalkan. Teruskanlah berzikir, bermujahadah, dan bertaubat kepada Allah SWT. Semoga kebaikan kita akan melebihi kejahatan kita suatu hari nanti, kerana kita terus 'berperang'. Tetapi jika kita berhenti berperang, sudah tentu kita akan kalah. Oleh sebab itu, yang penting kita tidak mengalah dan terus bermujahadah, biarpun kadang-kadang kita kalah.

S: Bagaimana memupuk perasaan untuk sentiasa berzikir, biarpun kadang-kadang terlalu sibuk dengan urusan pekerjaan seharian?

J: Soalannya – Terlampau sibuk bekerja sampai tak sempat nak berzikir. Jadi saya nak ubah sedikit - Terlampau sibuk bekerja sampai tak sempat nak makan. Ada ke orang macam tu? Tak. Walau sibuk macam mana sekalipun kita tetap tidak lupa untuk makan. Jadi, jika untuk mengambil makanan fizikal kita peruntukan waktu-waktu khas, mengapa kita tidak boleh lakukan yang serupa untuk mengambil makanan rohani iaitu zikir? Sepertimana badan jadi lemah apabila kita tidak makan, hati juga akan jadi lemah apabila kita tidak zikrullah. Bila hati lemah, kita takkan ada kekuatan untuk menempuh ujian hidup. Kadang-kadang kita bekerja untuk memburu sesuatu sehingga tidak sedar yang benda itu memburu kita kembali. Contohnya, kita bekerja untuk keluarga, tetapi dalam masa yang sama kita mengabaikan keluarga. Ada orang pula bekerja untuk mendapatkan duit tetapi sayangnya tidak sempat pun menikmati duit tersebut. Silapnya adalah kerana kita tak tahu keutamaan dalam kehidupan. Jadi sebenarnya, sebesar-besar zikir ialah solat. Jadi kita mesti utamakan solat dalam apa keadaan sekalipun. Perkara-perkara lain jatuh tempat kedua dan seterusnya. Zikrullah ini perlu difahami dari segi qaulinya, qalbinya dan fi'linya. Zikir itu bukanlah semata-mata kena berada di atas tikar sembahyang atau di sejadah. Sebaliknya ketika kita memandu sekalipun hati kita boleh sentiasa berzikir dan mengingati Allah. Seterusnya adalah penting untuk kita menjadikan kerja kita juga sebagai zikir. Bagaimana? Dengan memastikan pekerjaan yang dilakukan menepati enam syarat ibadah yang kita pernah bincangkan sebelum ini. Antara 2 yang terpenting ialah 2-i: iaitu ikhlas kerana Allah dan iktiba' iaitu mengikut sunnah Rasulullah. Menjadikan kerja sebagai zikir termasuk dalam kriteria zikir fi'li (perbuatan). Oleh itu jika kita betul-betul jadikan kerja kita sebagai ibadah, kerja itu juga boleh menjadi zikir kepada Allah. Contohnya jika kita sebagai guru, doktor, jurutera atau penoreh getah sekalipun, jaga keenam-enam prinsip ini supaya kerja menjadi ibadah. Dengan itu kita tak perlu memisahkan zikir daripada kehidupan kita. Memisahkan zikir daripada kehidupan kita umpama memisahkan ikan daripada air. Ikan sentiasa memerlukan air, manakala hati manusia pula sentiasa memerlukan zikir. Tanpa air, ikan mati. Tanpa zikir, hati akan mati. Jadilah inilah pesan saya agar kita sentiasa berzikir dengan menjadikan kerja sebagai ibadah.

S: Ada setengah pihak mengatakan zikir selepas solat, jika dikuatkan boleh mengganggu jemaah lain yang sedang solat. Jadi saya mohon penjelasan ustaz.

J: Ini merupakan persoalan khilafiah. Ada yang berpendapat zikir itu boleh dilakukan secara berjemaah, dan ada pula yang berpendapat zikir itu di dalam hati dan dilakukan sendiri-sendiri. Jadi mana satu nak ikut? Memandangkan ada khilaf, terpulang untuk mengikut yang mana satu yang dirasakan sesuai. Yang mana satu pun yang dipilih tidak menjadi kesalahan. Yang salah itu apabila kedua-dua kumpulan yang mengamalkan pendapat yang berbeza saling menyalahkan kumpulan yang lain atau jika kedua-duanya tidak berzikir langsung. Dalam hal ini kita ikut contoh ulama-ulama terdahulu. Mereka berjaya memanfaatkan persamaan dan menguruskan perbezaan dengan baik. Jadi jangan kita hari ini berbalah sehingga boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. Sebaliknya masalah yang perlu diberi perhatian ialah majoriti manusia yang tidak berzikir langsung.

(Ya Allah, bantulah aku untuk mengingatMu, bersyukur kepadaMu, dan beribadah dengan baik kepadaMu).” (HR Abu Daud)

S: Saya pernah mengamalkan doa yang Nabi SAW anjurkan iaitu “Allahuma a'inni 'ala zikrika, wa syukrika, wa husni 'iba datik”. Kesannya menjadikan saya lebih mengingati Allah dalam setiap urusan yang saya lakukan. Jadi bagaimana untuk saya istiqamah dalam perkara ini?

J: Saya ada berjumpa dalam satu kitab yang menyatakan memang doa ini merupakan asas untuk membuat satu perhubungan yang baik dengan Allah. Doa ini diberikan Nabi SAW kepada sahabat yang amat dikasihinya iaitu Mu'az bin Jabal. Rasulullah SAW pegang tangan Mu'az sambil berpesan supaya Mu'az tidak sekali-kali lupa mengamalkan doa ini selepas solat. Kita minta dalam doa ini bantuan untuk: yang pertama untuk berzikir mengingati Allah, kedua untuk mensyukuri nikmat Allah, dan ketiga agar diperbaiki ibadah kita kepada Allah. Bila kita minta Allah permudahkan tiga urusan ini, InsyaAllah, ianya memang menjadi mudah. Jika tidak, kita akan merasa berat, lesu dan sukar mengingati Allah. Oleh sebab itu kita minta bantuan Allah agar kita mudah mengingati Allah. Ini memang satu amalan yang terpuji. Bagaimana pula untuk istiqamah? Tiada jalan lain selain daripada selalu berlatih dan bermujahadah. Jadi amalkan doa ini setiap masa, tidak terhad kepada ketika lepas solat sahaja. Orang mukmin itu apabila bersuara, dia berzikir, apabila diam, dia berfikir. Mudah-mudahan kita berterusan mengamalkannya. Pada yang belum hafal, usahakan untuk menghafal. Jika belum berjaya, hafal maknanya terlebih dahulu. Jika kita minta bantuan Allah, InsyaAllah Allah takkan mengecewakan kita.

Kesimpulan:

Saya ingin mengaitkan penerangan minggu ini dengan minggu yang lalu. Sebenarnya tidak salah untuk kita mencari harta, menjadi terkenal, menjaga rupa dan mempunyai kuasa, asalkan semuanya dilakukan berlandaskan zikrullah iaitu mengingati Allah. Apabila mengingati Allah, jika kaya, kita takkan sombong dan jika kita rupawan pula kita tidak angkuh. Contohilah Nabi Sulaiman yang kaya tetapi masih patuh pada Allah. Begitu juga dengan Nabi Yusuf yang rupawan, tetapi tetap mengingati Allah. Dan yang paling popular, dimana tidak pernah berlalu satu minit pun tanpa orang menyebut namanya, iaitu Nabi Muhammad SAW. 

Kepopularan atau keternamaannya tidak menghilangkan sifat kehambaan yang sentiasa mengharap kepada Allah. Hanya dengan mengingati Allah, kita boleh menjadi orang kaya, orang berkuasa, orag rupawan dan orang popular yang bahagia.
 kasihnabi   
Mukmin Profesional 14.05.2012

No comments:

Post a Comment