Meraih keberkatan dalam berkempen
SH 19 April 2013
PENGUMUMAN pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri tanggal 3 April yang lalu telah menghentikan seribu satu tanda tanya dan keresahan di hati rakyat. Pengumuman tersebut ibarat tiupan semboyan bahawa “peperangan” akan bermula.
Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini dianggap “peperangan” yang paling mendebarkan. Maka, seluruh jentera parti yang berhasrat untuk bertanding di dalam pilihan raya ini ditingkatkan persiapan dan gerak kerjanya. Masing-masing dengan satu tujuan yang sama. Berlawan untuk menang!
Peperangan memerlukan strategi. Memasuki medan peperangan tanpa strategi ibarat menghulurkan leher kepada musuh untuk dipancung. Begitu juga dengan “peperangan” di dalam medan PRU13 ini. Semua parti pasti mempunyai strategi tersendiri.
Justeru, dalam keghairahan ingin meraih kemenangan, hal yang penting dan tidak boleh diabaikan ialah pastikan juga untuk meraih keberkatan dalam kemenangan.
Keberkatan
Antara faktor yang membuka pintu keberkatan ialah bersikap jujur, amanah dan menyatakan kebenaran. Kempen yang dijalankan dengan jujur, disampaikan pula fakta-fakta yang benar, inilah kempen yang mengundang keberkatan.
Manakala kempen yang diseliputi dengan pendustaan, fitnah, membuka keaiban peribadi, penafian hak, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya merupakan kekotoran yang mencemarkan keberkatan.
Apa ertinya jika kemenangan yang diraih hasil daripada penipuan dan fitnah yang ditaburkan. Apa nilainya sesuatu kemenangan ,tetapi ia sangat jauh dari rahmat dan keberkatan Tuhan.
Kepada semua parti politik yang akan bertanding, elakkan kempen anda dicemari dengan fitnah dan kata-kata dusta.
Fitnah dan dusta merupakan dua elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Islam yang sentiasa menyeru ke arah keharmonian dan keamanan, telah menetapkan dua perkara ini sebagai larangan yang tidak boleh dilakukan.
Sekiranya dua unsur perosak ini dibiarkan berlegar di dalam masyarakat, apatah lagi jika dijadikan amalan dan suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan kepincangan.
Fitnah ialah mengatakan sesuatu atau menyebarkan sesuatu fakta yang tidak benar dan tidak disukai tentang pihak lain.
Secara umumnya, fitnah dan berdusta ini, jika dilihat dari satu sudut merupakan dua sifat yang mempunyai persamaan; iaitu menyatakan sesuatu yang tidak benar. Di dalam hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW ditanya tentang al-ghibah (mengumpat). Maka Rasulullah menjawab: ”Mengumpat itu ialah kamu menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya”.
Sahabat bertanya: “Bagaimana jika perkara itu adalah sesuatu yang benar tentang saudaraku?”.
Baginda menjawab: ”Jika perkara tersebut (yang tidak disukai) ada pada saudaramu, maka kamu telah mengumpatnya, dan jika perkara tersebut tidak ada pada saudaramu, maka kamu telah memfitnahnya (melakukan dusta ke atasnya”. (Hadis hasan sahih, riwayat al-Tirmizi).
Syaikh Muhammad ibn Soleh al-‘Uthaimin di dalam Syarh Riyadh al-Salihin telah membahagikan dusta ini kepada dua bahagian:
Pertama: Dusta terhadap ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Inilah jenayah yang paling besar dan suatu kezaliman. Firman ALLAH SWT (bermaksud): ((Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap ALLAH SWT untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim)) (al-An’am:144).
Pendustaan
Dusta terhadap ALLAH SWT dan Rasul ini berlaku dalam dua keadaan iaitu:
Menyandarkan kepada ALLAH SWT atau kepada Rasulullah SAW sesuatu yang bukan daripada firman-Nya atau pun sabda Baginda SAW. - Pencipta hadis palsu termasuk dalam golongan ini-.
Mentafsirkan sesuatu ayat al-Quran atau hadis Nabi dengan tafsiran yang salah lagi menyimpang daripada apa yang dikehendaki oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya.
Rasulullah SAW memberikan suatu peringatan dan ancaman yang berat terhadap sesiapa yang melakukan pendustaan ke atasnya dengan sabda yang bermaksud: (Sesiapa yang melakukan dusta keatasku siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka).
(Muttafaqun’alaihi). Cukuplah amaran ALLAH SWT dan Rasul-Nya ini sebagai peringatan kepada kita.
Ada juga yang menjadikan hadis-hadis Nabi sebagai hujah untuk membenarkan kata mereka. Perkara ini jika dilihat secara kasar adalah amat baik, malahan sangat dituntut. Tetapi, malangnya mereka mengambil sikap cuai dan lewa dalam menyampaikan hadis-hadis tersebut dengan tidak memastikan terlebih dahulu tahap kesahihannya.
Maka, digunakan hadis-hadis daif dan palsu sebagai hujah dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang dipentingkan adalah pendapat mereka diterima, barangan mereka laris, sokongan terhadap mereka bertambah, kedudukan mereka tidak tergugat, periuk nasi mereka selamat.
Kedua: Dusta terhadap manusia. Dusta terhadap manusia ini juga boleh berlaku dalam dua keadaan. Pertama; seseorang yang berpura-pura menzahirkan dirinya sebagai seorang yang beriman, beramal soleh dan melakukan kebaikan, sedangkan hakikatnya dia adalah kafir yang tidak bersikap sedemikian.
Golongan inilah yang digelar sebagai munafik. ALLAH SWT menyifatkan golongan ini melalui firman-Nya: ((Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada ALLAH SWT dan kepada hari akhirat, padahal mereka sebenarnya tidak beriman)).(Al-Baqarah:8) Kedua, pendustaan terhadap manusia boleh berlaku apabila seseorang itu mengatakan sesuatu yang tidak benar atau menyebarkan sesuatu berita palsu dalam kalangan masyarakat.
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As, Rasulullah SAW menerangkan tentang empat perkara jika terdapat pada seseorang, maka dia tergolong dalam golongan munafik (munafik amalan). Di antara empat sifat tersebut adalah apabila bercakap dia berbohong.
Sesungguhnya perbuatan menyebarkan fitnah dan berita palsu ini merupakan suatu sifat yang terkeji lagi terkutuk. Perbuatan ini merupakan punca berlakunya perselisihan pendapat yang tidak diizinkan, pertelingkahan, terputusnya hubungan silaturahim, malahan boleh membawa kepada pembunuhan.
Tetapi fenomena yang berlaku hari ini, seolah-olah menghalalkan sikap berdusta dan menabur fitnah ini. Fitnah dan dusta ditaburkan kepada masyarakat sama ada melalui percakapan, ceramah, media massa, tulisan dan sebagainya. Ia dilakukan sama ada oleh individu tertentu demi kepentingan peribadi atau oleh kumpulan-kumpulan tertentu demi meraih sokongan dan mendapat kemenangan.
Maka disebarkanlah berita-berita palsu dan fitnah-fitnah yang memburukkan pihak lain. Harapannya supaya kepercayaan terhadap pihak tersebut akan terhakis. Kedudukannya akan tergugat. Dakwahnya tersekat. Perjuangannya akan singkat.
Kempen pilihan raya akan semakin meriah dan bertambah rancak. Berhati-hatilah dalam berbicara, berwaspadalah dalam bertindak. Ini kerana segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan di dunia, sedikit pun tidak akan terlepas daripada pandangan dan perhitungan-Nya. ALLAH SWT berfirman (bermaksud): ((Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau pembuatan yang dilakukan) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)). (Qaaf: 18)
Berkempenlah mengikut landasan syariat kerana yang kita mahukan bukanlah kemenangan dan pangkat, tetapi rahmat dan berkat agar kita selamat di akhirat.
Penulis ialah Perunding Latihan & Motivasi di RK Training & Management dan Pensyarah di International Islamic College
No comments:
Post a Comment