Friday, April 5, 2013


Pilihanraya dan harta awam 

Oleh Mohd Asri Zainul Abidin

 4 APRIL — Apabila kita membaca Sirah Nabi s.a.w kita merasa betapa kita umat Islam khususnya kepimpinan negara-negara umat Islam amat jauh dari mengambil teladan dari sirah baginda yang agung. Sekalipun nama Nabi Muhammad s.a.w itu sering digunakan oleh pelbagai pihak termasuk golongan politik, namun realitinya kita lebih banyak menggunakan lebel dari mengambil isinya. Menjelang pilihanraya, tentu pelbagai pihak akan menyebut nama Nabi s.a.w seakan merekalah yang paling dekat dengan ajaran baginda. Ada yang mengaku keturunan Nabi s.a.w untuk menebalkan poket dan mendekatkan diri kepada penguasa. Ada yang mengakui kononnya ‘salafi' bermanhaj salaf konon padahal merekalah yang menyimpang dari maqasid agama yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Ada yang membangkitkan soal perkauman, lalu menyatakan perjuangannya diajar oleh Nabi s.a.w. Golongan politik pula akan menggunakan sesiapa sahaja dan apa sahaja yang boleh menguntung kehendak politik mereka. Jika nama Nabi s.a.w boleh dijual, mereka mungkin akan menjualnya untuk mendapatkan untung politik.
Tidak Pelik
Kita jangan hairan jika orang politik mempunyai pelbagai watak terutama musim pilihanraya ini. Kita mungkin melihat mereka bagaikan wali yang suci dengan penuh tawaduk bersujud di depan khalayak ramai dan media. Kemudian kita juga mungkin mendapati mereka penuh kerakusan kuasa, meratah harta awam, membohongi rakyat jelata, berjanji dusta dan menipu semahunya. Kesemuanya mungkin bagi yang menjadikan kuasa matlamat kehidupan mereka. Tidak kira apa jenama parti sekalipun, jika penyakit gila kuasa bersarang dan menguasai salur darah dan nafas seseorang, dia ketagih kuasa dan mungkin melakukan apa sahaja.
Hudaibiyah
Saya amat kagum dengan kejujuran Nabi s.a.w dalam melaksanakan janji yang menterai dan tidak pernah khianat kepada persetujuan yang dibuat. Perjanjian Hudaibiyah yang dibuat pada tahun keenam hijrah antara bukti yang mengkagumkan. Ramai juga sahabat tidak bersetuju dengan isi perjanjian tersebut yang dimenterai antara Nabi s.a.w dengan kaum Quraish Mekah yang terkenal sejak dari hari awal terus menerus memerangi Islam. Suhail bin ‘Amr mewakili pihak Quraish bagi memeterai perjanjian tersebut. Antara isi perjanjian yang dipersetujui yang ialah sesiapa dalam kalangan Quraish yang pergi kepada pihak Muhammad (kaum muslimin di Madinah) tanpa keizinan keluarganya hendaklah dipulangkan kepada pihak Quraish. Sesiapa dalam kalangan mereka yang bersama Muhammad yang pergi kepada pihak Quraish, tidak dipulangkan kepada pihak Muhammad'. (Isi perjanjian ini disebut dalam pelbagai riwayat dari al-Bukhari, Muslim, Ahmad, al-Baihaqi dll).
Nabi s.a.w telah bersetuju dengan kandungan perjanjian ini. Ditakdirkan semasa perjanjian dimeterai, anak Suhail bin ‘Amr sendiri yang dipanggil Abu Jandal yang menganut Islam datang kepada Nabi s.a.w dalam keadaan dirantai kerana disiksa oleh bapanya. Dia berjaya melarikan diri dari kepungan lalu datang mendapatkan Nabi s.a.w dan kaum muslimin. Kata Suhail kepada Nabi s.a.w: "Wahai Muhammad! Ini perkara pertama yang aku tuntut engkau laksanakan bagi perjanjian ini, engkau hendaklah kembalikan dia kepadaku". Nabi s.a.w cuba memujuk Suhail dengan pelbagai cara agar mengecualikan kes Abu Jandal ini. Namun Suhail tetap berkeras dengan isi perjanjian tersebut. Para sahabat begitu sedih melihat Abu Jandal yang menganut Islam tetapi disiksa dengan begitu dahsyat oleh bapanya. Dia dirantai dan dipukul.
Baginda Nabi s.a.w terpaksa mengembalikan Abu Jandal kepada bapanya disebabkan perjanjian tersebut. Abu Jandal menjerit dengan suara yang kuat menyebut: "Wahai kaum muslimin! Tergamak kamu mengembalikan daku kepada puak syirik yang akan menyiksa daku kerana agamaku?!". Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abu Jandal: "Wahai Abu Jandal! Bersabar dan haraplah pahala. Sesungguhnya Allah akan menjadikan untuk engkau dan mereka yang tertindas bersamamu jalan keluar. Kita telah mengikat perjanjian dengan kaum Quraish. Kita terpaksa patuh dan mereka juga kena patuh. Kita sama sekali tidak mengkhianati mereka". (Riwayat Ahmad dan sebahagiannya dari al-Bukhari dan Ibn Ishaq).

Janji Ditepati
Demikianlah setianya Nabi s.a.w kepada perjanjian. Walaupun para sahabat ramai yang tidak bersetuju dan mencadangkan peperangan, namun bukanlah seorang nabi jika baginda mengkhianati perjanjian. Memamng, jika kaum muslimin memilih perang kemungkinan besar mereka boleh menang, buktinya dua tahun kemudian disebabkan Quraish sendiri yang melanggar perjanjian, Nabi s.a.w pun menawan Mekah pada tahun kelapan hijrah. Namun Nabi s.a.w tidak memilih perang atas strategi politik baginda yang kemudiannya terbukti amat berkesan.
Jika perjanjian dengan musuh Islam dipatuhi oleh Nabi s.a.w tanpa khianat, apatah lagi jika kita berjanji sesama muslim ataupun antara pemerintah dan rakyat. Setiap pihak, terutama yang mengaku muslim, yang sering menggunakan nama Nabi Muhammad s.a.w lebih wajar untuk mematuhi persetujuan yang disepakati.
Setiap parti dalam negara ini sudah ada kerajaan samada pusat ataupun negeri. BN dan PR juga sama. Pada musim piliharaya, mereka tidak boleh menggunakan harta negara ataupun negeri yang menjadi milik semua untuk kepentingan parti mereka. Kereta kerajaan, harta kerajaan dan kemudahan kerajaan tidak boleh digunakan secara khusus untuk kempen kepentingan diri ataupun parti.

Khianat
Mereka tidak boleh datang berkempen diri ataupun parti menggunakan kereta ataupun apa sahaja harta awam. Bukan semua sokong BN ataupun PR. Jika yang pro-BN redha, yang pro-PR mungkin tidak redha. Jika yang pro-PR redha, yang pro-BN mungkin tidak redha. Jika kedua pihak redha meredhai dalam membelasah harta awam, mungkin mereka yang tidak pro BN atau PR tidak redha. Maka, mereka jangan khianat amanah yang diberikan di tangan mereka.
Demikian juga media awam yang dibayar oleh harta kerajaan, hendaklah bebas dari kepentingan mana-mana parti politik. Sekian lama sejak merdeka, pihak penguasa sering ‘merembat' habis-habisan media-media awam ini, termasuk TV Hijrah yang kelihatan ‘agama' yang turut digunakan untuk kempen. Padahal ia dibiayai oleh harta awam yang menjadi milik bersama.
Dalam negara demokrasi yang berjanji satu proses pilihanraya yang adil, janji wajib itu dilaksanakan. Saya akur, telah berlaku usaha pembaikian pengurusan pilihanraya kita untuk membolehkan ia lebih adil. Kita hargai. Namun masih ada ruang yang patut dibaiki. Saya tidak fanatik mana-mana parti. Bukan juga penjilat mana-mana pemimpin kerajaan ataupun pembangkang. Saya juga tidak beriman dengan kejujuran mana-mana parti yang sedia ada itu. Namun setiap rakyat memerlukan maklumat yang saksama untuk dia membuat pilihan.
Media awam patutnya memainkan peranan tersebut. Jika ada media yang dimiliki oleh pihak-pihak tertentu, pihak lain juga patut diberikan lessen memiliki media mereka untuk membolehkan mereka menyiarkan pandangan mereka. Mana-mana pihak yang sanggup membentuk kerajaan yang memberikan hak tersebut, wajar disokong.
Akhirnya, setelah ruang mengenali setiap pihak dibuka secara adil, bermula dari mereka di universiti sehingga atuk dan tok wan di kampong dapat berfikir semampunya apa yang menjadi hasrat mereka sebagai rakyat, mereka pun mengundi. Undian itu mempunyai harga dan maruah diri rakyat. Percayalah, jika ruang sepenuh dibuka pun, tidak semestinya mereka akan menukar kerajaan ataupun memilih pembangkang. Jika mereka menukar pun, itu hak mereka yang diberikan oleh sebuah negara yang adil.
* Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin adalah bekas Mufti Perlis.

No comments:

Post a Comment