Hitung Kesyukuran, Bukan Kesukaran
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Apabila berada dalam majlis ilmu, bermakna
kita ada iltizam untuk menambah ilmu. Selagi kita terus menuntut ilmu, segala
kesalahan-kesalahan kecil yang kita lakukan akan dimaafkan kerana kita dianggap
seperti budak yang masih dalam proses pembelajaran. Meminjam analogi seorang ustaz
– katakan sebuah kereta di hadapan kita masih belum bergerak walaupun lampu
isyarat sudah bertukar hijau, tentu kita rasa nak marah. Tapi apabila ternampak
'sticker' L di kereta tersebut, kita pun tak jadi nak marah. Begitulah juga
dengan kita, jika kita berterusan menuntut ilmu, kita mengharapkan
kesalahan-kesalahan yang kita lakukan kerana kekurangan ilmu Allah ampunkan. Jadi mari sama-sama gantung L pada diri kita, semoga kita terus ingin cari
ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Rasa tidak berilmu ialah rasa orang
yang berilmu. Hanya orang yang berterusan menimba ilmu boleh mencapai
kesempurnaan berilmu.
Fokus hari ini
ialah syarat ibadah yang terakhir. Syarat ibadah ada enam, yang dipecahkan
daripada dua syarat utama untuk menjadikan sesuatu pekerjaan itu ibadah iaitu
niat mesti kerana Allah, dan kaedah mesti menepati sunnah. Syarat yang enam ialah:
· niat yang betul
· sah disisi syariat
· pelaksanaan yang betul
· buat yang terbaik
· tak meninggalkan ibadah yang asas
· kesannya baik
Jadi fokus hari ialah – Kesan yang baik. Enam
syarat perlu dijadikan kayu ukur sebelum, semasa dan selepas kita melakukan
sesuatu pekerjaan. Contoh, sebelum buat, tanya diri apa niat melakuan pekerjaan
ini? Periksa juga hukum pekerjaan yang dilakukan – halal, harus, haram? Semasa
buat, mesti gunakan kaedah yang terbaik. Seterusnya tanya diri adakah telah
memberi yang terbaik? Mengapa? Tujuan ibadah adalah sebagai persembahan kepada
Allah, jadi kerana Allah yang terbaik, tentulah Allah hanya inginkan yang
terbaik sahaja. Jadi kita tak boleh buat sambil lewa. Seterusnya walau sesibuk
mana sekalipun, jangan lupa tanggungjawab pada Allah → jaga solat, cari ilmu
fardhu ain dan lain-lain. Selepas buat kerja, periksa apakah kesannya baik atau
buruk?
Selepas sesuatu pekerjaan diselesaikan, ada 2
hasil yang boleh didapati. Pertama daripada segi keuntungan material, kedua
kesan pada hati dan rohani kita. Kedua-dua kesan perlu baik. Bagaimana pula
kita membelanjakan hasil yang diperolehi? Adakah ke arah kebaikan atau
kemungkaran? Jika gaji disalurkan ke arah kemaksiatan, hilanglah kesemua lima syarat kerja sebagai
ibadah yang disebutkan tadi. Pendapatan yang diperoleh juga perlu dizakatkan,
kerana zakat mensucikan pendapatan tersebut. Semasa kerja ada kalanya kita
terleka, mungkin tertidur, dan sebagainya. Jadi dengan zakat dapatlah
mensucikan kekurangan-kekurangan yang tak disengajakan.
Jika rezeki diperoleh dengan cara yang baik,
ianya akan mudah juga dibelanjakan ke jalan yang baik. Namun jika kita berasa
sukar untuk buat kebaikan seperti sedekah dengan rezeki yang diperolehi, itu
mungkin tandanya ada perkara tak elok dalam cara mendapatkan rezeki tersebut.
Seperti jenaka pergaduhan antara wang RM1 dan RM50 yang ramai maklum, RM1 masuk
keluar masjid atau surau saja, RM50 pula pergi 'shopping complex', tengok
wayang dan sebagainya. Satu lagi analogi yang mudah: lebah biasanya hinggap di
bunga-bunga yang cantik, kemudian balik ke sarang dan menghasilkan madu, yang
mempunyai pelbagai kebaikan juga. Itulah perumpamaan orang beriman, dia mencari
rezeki di tempat yang baik, dan daripada rezeki yang baik itu akan dibelanjakan
ke arah kebaikan juga. Ini jelas menjadi teladan pada kita semua agar menilai
semula cara kita bekerja dan bagaimana kita membelanjakan rezeki yang diterima.
Perhatikan wang dalam dompet kita? Mudah atau susah nak keluarkan wang tersebut
untuk kebaikan. Adakah pendapatan kita mudah dibelanjakan untuk keseronokan
sahaja?
Seterusnya mari lihat kesan rezeki ke atas
hati pula. Adakah dengan rezeki yang diperolehi menjadikan kita seorang yang
bersyukur? Syukur ada tiga bahagian: syukur pada...
1.perkataan: sebut Alhamdulillah.
2.hati: bila mendapat sesuatu kejayaan, kita
sedar itu adalah kurniaan Allah, bukan dari usaha kita semata. Ilmu, tenaga,
pancaindera kita semunya milik Allah. Oleh itu segala pujian atas sesuatu
kejayaan perlu kita pulangkan kepada Allah. Begitulah sikap Nabi Sulaiman
apabila dipuji atas kelebihan harta dan kepandaiannya. Jangan kita bersikap
seperti Qarun yang mengaku diberi harta kerana hasil kebijaksanaannya sendiri.
3.perbuatan: menggunakan nikmat yang Allah beri
selaras tujuan nikmat itu dikurniakan atau juga dikenali 'law of gratitude'.
Contoh: bakat yang Allah berikan digunakan untuk tujuan kebaikan, bukan
kemaksiatan. Sebagai contoh - jika kita diberikan ilmu, gunakan ilmu untuk
mengajar, jika diberikan harta, bantu orang yang susah. Secara analoginya, jika
A pinjamkan kereta pada B, kemudian B bawa kereta dan langgar A pula, memang
tak patut sungguh. Begitulah hakikatnya jika kita menggunakan nikmat yang Allah
beri untuk melawan dan melanggar perintah-Nya. Inilah yang dinamakan orang yang
zalim.
Jadilah hamba yang sentiasa bersyukur dengan
kurniaan Allah. Jangan kita tamak. Ada
satu kisah seorang raja ingin memberikan tanah kepada seorang lelaki. Sejauh
mana dia berjalan itulah tanah yang akan menjadi miliknya dengan syarat dia
pulang sebelum senja. Namun oleh kerana ketamakannya, lelaki tersebut tak
balik-balik. Bila tamak, seseorang akan mengalami kesibukan yang tak ada
hentinya, keletihan yang tak ada penghujungnya. Oleh itu jadilah orang yang
bersyukur, kerana Allah sudah berjanji bahawa jika bersyukur, Allah pasti
tambah nikmat. Kalau rezeki kita masih belum bertambah juga, mungkin kita belum
bersyukur lagi kerana siapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, tidak
akan bersyukur dengan yang banyak. Ada
juga ungkapan orang bijaksana: “Siapa yang tak sabar dengan yang sedikit, dia
sukar syukur dengan yang banyak.” Oleh itu, hitunglah kesyukuranmu, bukan
kesukaranmu dalan hidup ini. Lihat apa yang ada, biarpun sedikit, jangan lihat
apa yang tak ada.
Soalan & jawapan:
S: Orang Islam tak bersyukur dengan keislaman
yang dimiliki dan tidak berdakwah. Ini juga mengundang kufur
datang dalam bentuk murtad. Mohon pandangan ustaz.
J: Orang Islam yang
tak bersyukur bukan sekadar tak berdakwah, namun yang lebih parah ialah apabila
dia tak jaga keislamannya. Bila kita tak jaga keislaman kita, ada kemungkinan
Allah akan cabut keislaman kita. Analoginya jika kita hadiahkan anak kita
basikal, namun basikal itu tak dihargainya dan tak dijaganya dengan baik. Kita
tengok pun geram dan akhirnya kita ambil balik basikal itu dan menyimpan dan
menguncinya. Begitulah kalau kita tak menghargai Islam yang kita memiliki.
Orang Islam sepatutnya bersifat seperti air mutlak – suci dan mensucikan.
Apabila nikmat Islam betul-betul sampai kepada kita, secara semulajadi kita
akan terasa untuk menyampaikannya pada orang lain, kerana bila kita rasa
seronok dengan sesuatu, kita akan suka berkongsi. Sama seperti jika kita jumpa
kedai makan yang sedap, kita akan segera mempromosikannya pada rakan-rakan dan
keluarga, sehingga kadang-kadang sanggup keluar belanja sendiri agar orang lain
dapat rasa nikmat makan di kedai yang sedap tadi. Tetapi kenapa kita sukar
nak berdakwah? Kerana kita sendiri tak merasa kemanisan Islam itu.
Al-Shahid Hassan Al-Banna berkata: “Kemanisan Islam itu hanya dapat dirasa oleh
orang yang menegakkan Islam dalam diri mereka.” Oleh itu bila kita cuba
menegakkan Islam, pastinya bertemu kesukaran dan ujian, namun daripada situlah
iman kita akan digilap. Islam hari ini telah digelapkan oleh orang Islam
sendiri. Dia masuk sepenuhnya pun tidak, keluar sepenuhnya pun tidak. Dia
berada di muka pintu dan menyebabkan gangguan orang yang nak masuk ke dalam
Islam. Dia cuma mengamalkan Islam separuh dan meninggalkan separuh. Oleh itu
mari sama-sama seru diri kita untuk menegakkan Islam dan menyeru orang lain
bersama kita.
S: Jika kita dapat
musibah, boleh ke katakan ia juga datang daripada Allah?
J: Memang Allah
sebut dalam Al-Quran bahawa Allah turunkan musibah sesuai dengan kemampuan
kita. Walaupun musibah membawa kesakitan, kegagalan dan sebagainya, ia tetap
membawa hikmah yang tersendiri. Musibah boleh mengingatkan kita pada Allah,
sedangkan nikmat boleh buat kita lupa pada Allah. Abu Zar Al-Ghifari pernah
ditanya Rasulullah SAW tentang apa yang disukainya. Dia menjawab: “Lapar, sakit
dan mati”. Pelikkan jawapannya? Kenapa begitu? Jawabnya lagi: “Bila lapar,
hatiku lembut, bila sakit, dosaku diampunkan dan bila mati, aku akan bertemu
dengan Allah.” Inilah orang beriman, dia melihat yang tersirat dalam setiap
yang berlaku. Ini juga dikenali sebagai konsep 'reframing' di Barat. Contoh:
jika kita diberhentikan kerja, sebenarnya itu adalah peluang kita mendapat
pekerjaan yang baru. Ketika gagal, kita tak anggapnya sebagai kegagalan tapi
sebagai cabaran. Kita ubah cara melihat sesuatu agar dapat melihat yang
tersirat. Oleh itu jika dilanda musibah, sebutlah: “Innalillah hi wa inna ilai
hiro ji un.” Ingatlah kita semua milik Allah, Allah boleh buat apa saja dengan
kita. Jangan tanya kenapa kita, tapi bersyukurlah kerana Allah memilih kita
untuk dididik-Nya.
S: Bagaimana jika
usaha dakwah kita ditolak, dan seolah-olah telah ditutup pintu hatinya. Bagaimana cara terbaik
mengajak mereka?
J: Kadang-kadang
kita rasa geram bila benda baik yang kita nak sampaikan tak diterima orang.
Yang paling utama, jangan marah apabila orang tak berubah seperti yang kita
kehendaki, kerana kita sendiri pun tak berubah sepertimana yang kita kehendaki.
Jadi, beri kemaafan dan beri kasih sayang. Asas dakwah ialah kasih-sayang. Kita
boleh menyayangi seseorang tanpa memimpinya, tapi kita takkan boleh memimpin
seseorang tanpa menyayanginya. Itulah resepi kejayaan dakwah Rasulullah SAW.
Akhlak yang paling hebat pada diri Rasulullah ialah kasih-sayang. Baginda amat
ambil-berat pada kesusahan orang lain. Islam hanya akan berjaya jika diseru
dengan kasih-sayang, Islam takkan berjaya jika dieksploitasi dengan perasaan
benci. Bila sayang, kadar kesabaran kita menghadapi karenah seseorang akan
menjadi lebih tinggi. Analoginya jika bersama anak sendiri, apabila dia
meragam, kita takkan terus marah kerana ada perasaan sayang padanya. Tapi jika
itu anak orang lain, kita mungkin takkan begitu sabar. Dalam berdakwah, kita
perlu juga ingat bahawa hidayah merupakan hak Allah, jangan kita susah hati
untuk 'mengambil' tugas Allah. Kita hanya perlu terus berusaha. Jika dakwah
kita tak diterima, jangan cepat membuat kesimpulan orang menolak dakwah kita.
Mungkin sebenarnya orang menolak kerana cara kita yang tak betul. Contohnya
jika kita campak makanan pada orang yang sangat lapar, orang itu pasti takkan
makan walaupun dia amat lapar ketika itu. Sebab itulah, kebenaran perlu
disampaikan dengan cara yang benar, pada waktu yang benar. Ada tiga cara berdakwah:
1. Dengan hikmah –
dengan sesuatu yang tersirat, cara ini sesuai untuk golongan bijak-pandai.
2.Dengan pengajaran-pengajaran yang baik – untuk
golongan pertengahan. Cara ini sesuai untuk orang ramai.
3.Dengan hujah-hujah yang baik (berbahas) –
dengan orang yang sederhana, tak bijak sangat, tak bodoh sangat.
S: Bagaimana untuk berdakwah apabila diri kita
pun belum baik juga?
J: Cara membaiki diri kita ialah dengan
mengajak orang lain melakukan kebaikan. Contohnya, jika nak basuh kain,
hasilnya kain bersih, tangan pun jadi bersih. Jangan menunggu hingga kita
betul-betul jadi baik, baru kita nak mengajak orang kepada kebaikan. Bila
ditanya, kita pun tak dapat menjawab adakah kita baik atau tidak. Kita hanya
boleh menjawab yang kita sedang berusaha, dan dalam pada itu mengajak orang
lain berusaha bersama.
S: Pada pendapat saya dakwah secara individu
memang payah. Jadi eloklah dilakukan secara berjemaah. Jadi sertailah contohnya
jemaah tabligh yang memang aktif berdakwah.
J: Kita boleh lihat pandangan ini daripada dua
sudut: prinsip dan pendekatan. Daripada sudut prinsip: Betul berdakwah dalam
jemaah akan beri lebih kekuatan. Daripada sudut pendekatan pula: Contoh yang
diberi ialah dengan mengikut jemaah tabligh. Sebenarnya ada banyak pilihan lain
lagi, jalan menuju Allah ada sebanyak urat leher kita sebenarnya. Setiap
pendekatan ada cara tersendiri. Biar ada banyak persatuan, asalkan ada
kesatuan. Jangan nafikan kelebihan kumpulan lain, hormati satu sama lain.
Saling membantu atasi kelemahan dan jangan berpecah kerana kepentingan
peribadi.
Kesimpulan:
Walaupun kita boleh memberikan banyak
pandangan dan pendapat, kita sebenarnya masih banyak kekurangan. Oleh itu mari
kita serahkan diri pada Allah agar dibantu diberi kesempurnaaan. Semoga dengan
perbincangan ilmu ini, hati kita semakin lembut dan semakin dekat dengan Allah.
Setiap kita perlu rasa yang kita ada kelebihan tersendiri, barulah kita boleh
bersyukur pada Allah. Jika kita rasa diri kekurangan sahaja, kita sukar
mensyukuri nikmat Allah. Syukur akan menambah rezeki yang Allah beri, mungkin
bukan pada kuantiti, tapi pada kualitinya. Jangan kita kufur, itu akan
membuatkan kita akan sentiasa rasa tak cukup, walaupun rezeki yang diberi itu
sudah banyak. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment