Oleh ADHAM SHADAN - Kosmo
PENGERUSI Maahad Tahfiz Al-Itqaan, Mohd. Shafie yang
berkelulusan dalam bidang perakaunan dari sebuah universiti di England
mengakui pernah buta dan jahil al-Quran.
SEINGAT dirinya, tak pernah
sekali pun dia menyentuh kitab al-Quran semasa usia remajanya. Beliau mengaku
tidak suka membaca al-Quran dan sering mengelak daripada mendekatinya. Baginya,
tidak ada kepentingan untuk membaca al-Quran.
“Saya tidak nampak kepentingan al-Quran. Dalam kamus hidup
saya, definisi kejayaan ialah berkelulusan, berjawatan tinggi dan banyak duit.
“Pada masa itu saya menganggap al-Quran tidak lebih hanya
sebagai kitab orang Islam,” kata Dr. Mohd. Shafie Md. Amin, 47, kepada Jurnal.
Beliau yang berkelulusan bidang perakaunan dari sebuah
universiti di England
merupakan seorang penghafaz 30 juzuk al-Quran ketika berusia 30 tahun.
Kesemua 13 anaknya dilatih
menjadi hafiz al-Quran dengan tujuh daripadanya telah menghafal keseluruhan
al-Quran.
Tiga anak perempuannya bahkan bergelar johan hafazan
al-Quran peringkat kebangsaan termasuk Siti Nadhira, 17, yang menjadi johan dan
peserta wanita terbaik Pertandingan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan
pada April lalu.
Hidayah
Sungguh mengagumkan apabila Shafie yang pada asalnya boleh
disifatkan sebagai buta al-Quran menjadi seorang guru tahfiz dan pengasas kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Itqaan di Ampang,
Selangor.
Mengakui dirinya pada asalnya seorang yang tidak begitu
mendalami agama, Shafie berkata, sembahyang pun dilakukan hanya sekadar
ikut-ikut orang.
“Bukan tak tahu langsung agama. Tapi tak pernah serius. Masa
kecil ada belajar mengaji al-Quran, tapi tak pernah bersungguh-sungguh.
“Ustaz mengajar, saya pilih tempat di belakangnya agar dia
tak nampak saya main. Lepas tak berjaya dengan ustaz, ibu saya sendiri
mengajar. Bila ibu baru mengajar, bila salah, ibu marah, saya menangis.
“Sudahnya, berhenti mengaji dan tak pandai-pandai,” ujarnya.
Kemudian, Shafie membesar dan jiwanya hanya bergelora untuk
berjaya bagi mengecap material duniawi. Jika al-Quran disuakan kepadanya untuk
dibaca, kalimah ‘kacaulah’ pernah tergetus dalam benaknya.
Siapa sangka, di kota
Londonlah, hidayah turun buatnya. Semasa berusia 18 tahun, Shafie melanjutkan
pelajaran di kota
itu. Kebetulan, dia tinggal bersama rakan serumah yang agak baik.
“Apabila tinggal serumah, kami melakukan banyak aktiviti
bersama-sama termasuk mengaji al-Quran. Mereka ajak saya mengaji. Saya berasa
tidak selesa.
“Saya tidak mahu mereka tahu saya tidak tahu mengaji
al-Quran. Tapi akhirnya saya kena mengaji juga.
Saya malu, kawan-kawan lain baca dengan baik, sedangkan saya merangkak-rangkak.
Mereka ajar saya sikit demi sikit, lama-kelamaan saya boleh mengaji dengan
lancar.
Usia lanjut
“Saya sangat
tertarik dengan bacaan seorang kawan yang sangat sedap suaranya. Saya rasa
menyesal kerana tak pandai mengaji al-Quran sebelum ini. Saya berusaha
memperbaiki bacaan antaranya dengan bantuan kaset bacaan al-Quran.
“Saya cuba hafal
sedikit ayat-ayat al-Quran yang mudah, lama-lama saya boleh hafal,” ujarnya
yang turut berjaya menyelesaikan pengajiannya dalam bidang perakaunan di
London.
Bermula daripada
usia yang agak lanjut untuk mempelajari al-Quran iaitu pada usia 18 tahun,
akhirnya pada umur 30 tahun, kandungan 30 juzuk al-Quran sudah memenuhi kantung
memorinya.
Ketika usia itu
juga, beliau bersama beberapa kawan bertindak menubuhkan Maahad Tahfiz Al-Quran
Al-Itqaan untuk mendidik kanak-kanak termasuk anak-anak mereka menjadi
al-hafiz.
Ia bermula dengan
12 murid. Maahad tahfiz itu turut mengajar bidang akademik seperti di sekolah
biasa.
“Ramai orang yang
mentertawakan saya. Mereka kata, boleh percayakah seorang lulusan perakaunan mengajar
al-Quran?
AMALAN mengimarahkan bacaan dan menghafaz al-Quran bersemarak
dalam keluarga Mohd. Shafie.
Penampilan
“Ramai juga yang tidak percaya saya sudah menghafal al-Quran
30 juzuk. Ya, saya telah bertalaqqi (membaca hafazan berhadapan) dengan
ustaz-ustaz dari Indonesia
dan Mali ,
tetapi bagaimana masyarakat boleh mempercayai saya?
“Saya akhirnya menyertai pertandingan hafazan peringkat
negeri Selangor. Tujuan utama saya adalah untuk menguji sejauh mana kemampuan
saya.
“Tahun pertama saya sertai, saya tidak meraih apa-apa
tempat, saya berusaha memperbaiki bacaan lagi. Dua tahun kemudian, saya
sertainya sekali lagi dan bergelar naib johan negeri Selangor sebelum menjadi
johan pada tahun berikutnya,” ujarnya.
Dia kemudian turut ditawarkan untuk menjadi guru tahfiz di
Masjid Negara. Shafie satu-satunya guru tahfiz di situ yang mempunyai kelulusan
dari England
berbanding guru-guru tahfiz yang lain dari Mesir.
Ketika ditemui, penampilannya juga berbeza daripada
kebanyakan ustaz dan guru tahfiz apabila beliau selesa memakai kemeja, tidak
memakai kopiah atau songkok.
Katanya, itu dirinya dan dia mahu memberi mesej kepada
masyarakat bahawa agama bukan hanya milik ustaz-ustaz.
Masyarakat semakin mempercayai kebolehannya mengajar
al-Quran apabila berita salah seorang anaknya,
Rabiah, mencipta rekod sebagai johan hafazan peringkat kebangsaan termuda
tersiar di dada akhbar pada tahun 1999. Rabiah ketika itu baru berusia 12
tahun.
Shafie meyakini sistem pengajarannya sehinggakan kesemua
anaknya disekolahkan di maahad tahfiznya.
Murid-murid di situ tidak ketinggalan pembelajaran akademik
dan turut mengikuti peperiksaan seperti Siji Pelajaran Malaysia .
Mereka juga berjaya ke menara gading seperti Universiti Islam Antarabangsa dan
Universiti Madinah.
“Macam mana orang nak percaya kepada pengajaran kita kalau
anak-anak kita sendiri tidak bersekolah dengan kita?” soalnya menunjukkan
keyakinannya kepada sistem pengajarannya.
Kini, Shafie yang juga merupakan Pengerusi Maahad Tahfiz al-Itqaan memberitahu, maahad itu kini
bertaraf kolej kerana menawarkan pengajian diploma dan bercita-cita untuk
menjadi universiti al-Quran.
Ditanya reaksinya mengenai Paderi Terry Jones dari Dove
Outreach Center di Gainesville, Florida, Amerika Syarikat yang mencetuskan
berang antarabangsa kerana berhasrat membakar al-Quran baru-baru ini,
jawapannya cukup bernas dan bukan terbit daripada api kemarahan semata-mata
seperti kebanyakan kita.
“Kalau dulu, sewaktu saya jahil, saya akan marah kerana ia
merupakan kitab saya, orang Islam. Tapi marah yang kosong kerana saya sendiri
tidak tahu mengapa saya perlu marah sangat.
“Kini, saya juga marah. Tetapi, sebagai umat Islam, kita
juga perlu melihat apa yang berlaku dari sisi positif. Kenapa ia berlaku?
“Mungkinkah peristiwa itu Allah
jadikan kerana mahu menyedarkan kita bahawa kita sudah terlalu jauh daripada
al-Quran?
“Kita lemah kerana kita
tinggalkan al-Quran dan orang kafir sudah berani melakukan penghinaan kepada
al-Quran kerana mereka lihat kita sendiri tidak mengambil manfaat daripadanya,”
ujarnya
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm#ixzz2j4sDBAWC
Hakcipta terpelihara
Hakcipta terpelihara