RAMAI minta saya
tulis artikel tentang isu nama ALLAH yang dipanaskan semula dan terus menjadi
krisis antara sesetengah pihak muslim dengan sesetengah pihak Kristian.
Saya sebenarnya telah coretkan hal ini pada tahun 2007 masa saya masih memegang
jawatan Mufti Negeri Perlis. Di sini saya sentuh sekali lagi.
Hanya Di
Sini
Isu kalimah ALLAH ini akan menjadi satu sejarah yang menarik dan tersendiri di
Semenanjung Malaysia .
Isu seperti ini tidak wujud di negara-negara Arab kerana Kristian Arab dan
Bible dalam Bahasa Arab sejak sebelum dan selepas Nabi Muhammad s.a.w memang
menggunakan perkataan ALLAH merujuk kepada Tuhan.
Bahkan kaum Quraish sebelum kehadiran Nabi Muhammad s.a.w juga guna nama ALLAH.
Bapa Nabi Muhammad s.a.w bernama Abdullah yang bermaksud hamba ALLAH. Padahal
bapa Nabi Muhammad s.a.w tidak sempat pun bertemu dengan Nabi s.a.w sebagai
Rasulullah. Kristian Qibti (Coptic) di Mesir juga sejak sekian lama memanggil
Tuhan ‘Allah’.
Demikian Kristian Lebanon dan Jordan ,
gereja-gereja mereka berdoa dengan memanggil ‘ALLAH’ sejak zaman silam.
Apa yang hendak dihairankan, asal-usul ajaran mereka dari ajaran Nabi Isa a.s.
Justeru bukan sahaja perkataan ALLAH, banyak lagi perkataan yang membabitkan
akidah yang sama antara Islam dan Kristian seperti nama para nabi; Ibrahim,
Musa, Harun, Isa dan lain-lain.
Orang Islam seluruh dunia setiap hari melafazkan ayat dalam Surah al-Fatihah
(maksudnya): ‘segala puji bagi ALLAH tuhan segala alam’. Tiada muslim pun yang
menyebut ‘segala puji bagi ALLAH Tuhan kaum muslimin sahaja’. Ini kerana muslim
mengakui ALLAH itu tuhan untuk semua, bukan tuhan untuk kaum dan pihak tertentu
sahaja.
Maka isu kalimah Allah tidak pernah timbul
di negara-negara Arab. Bahkan mereka mungkin sukar untuk faham dan hairan
apabila kita memberitahu kita menghalang pihak Kristian memanggil Tuhan itu
ALLAH. Di Sabah dan Sarawak juga sudah berpuluh tahun mereka menggunakannya.
Kristianisasi
Di Semenanjung Malaysia, dalam kitab agama Sikh, nama ALLAH disebut. Sementara
orang cina yang bukan muslim di Kelantan terbiasa dengan kalimah ‘inshaa
ALLAH’.
Ada lagu negeri-negeri yang terdapat ‘kalimah ALLAH’ yang dinyanyikan oleh
semua rakyat berbilang agama. Logo-logo Polis dan Tentera tertulis ‘ALLAH’ dan
‘Muhammad’. Logo-logo itu dipakai oleh anggota yang muslim dan non-muslim.
Namun apabila orang muslim di Malaysia digembar-gemburkan isu tentang
Kristianisasi, maka keadaan resah mula timbul dalam kalangan umat Islam. Kristianisasi
sesuatu yang benar-benar wujud. Orang muslim dalam negara ini bimbang.
Maka, apabila timbul edaran pihak Kristian dalam bahasa Melayu yang menyebut
Tuhan sebagai ALLAH yang selama ini dari segi kebiasaan orang Melayu
Semenanjung hanya mereka sahaja memakai kalimat ini, maka emosi mereka mula
bangkit.
Apa tidaknya, mengapakah hanya versi melayu sahaja yang hendak digunakan
‘perkataan ALLAH’?! Mengapa tidak edaran gereja yang berbahasa Inggeris, Cina,
Tamil dan lain-lain juga menggunakan ALLAH?
Provokatif
Kelihatan seolah macam ada ‘hidden agenda’ ataupun ‘mala fide’ di situ. Maka
ramai yang membantah dan menganggap ada unsur provokasi agama di pihak
Kristian, bukan kerana mereka memang ingin memanggil tuhan itu ALLAH, tetapi
sekadar umpan yang hendak digunakan bagi memancing umat Islam yang terbiasa
dengan kalimah itu. Maka kelihatan unsur provokatif di situ.
Maka, bantahan untuk orang bukan muslim menggunakan nama ALLAH dalam edaran
bahasa melayu kelihatan macam mempunyai alasan di sudut keharmonian masyarakat
berbilang agama dan ijtihad pentadbiran.
Ia bukan berasaskan nas yang jelas melarang secara langsung hal itu, tetapi
atas asas pemerintah bertindak demi kepentingan awam.
Jika sekadar itu, maka bolehlah terima pendapat yang melarang. Ia bukan
larangan mutlak bahawa bukan-muslim sama sekali tidak boleh menyebut dan
menggunakan nama Allah, tetapi menggunakan nama tersebut dalam bentuk provokasi
agama dilarang.
Salah
Faham
Malangnya ada muslim yang tidak jelas hal ini sehingga menyatakan bukan muslim
sama sekali tidak boleh menggunakan nama ALLAH. Kononnya nama ALLAH eksklusif
untuk muslim sahaja.
Ada pula yang berfatwa ‘murtad sesiapa yang membenarkan‘. Pada hal nas asal,
dalam al-Quran dan al-Sunnah membenarkan bahkan menggalakkan mereka
menggunakannya selagi mana penggunaan itu merujuk kepada Tuhan Yang Sebenar
ataupun ‘The Supreme Being’. Banyak ayat al-Quran yang menegaskan hal ini.
Firman Allah:(maksudnya)
“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya
kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit,
lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah
tentu mereka akan menjawab: “ALLAH”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad):
“Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian),
bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah
al-Ankabut ayat 63).
Bahkan Nabi s.a.w ketika mencabar orang-orang Kristian bermubahalah ataupun
bersumpah laknat, mereka diminta bersumpah dengan nama ALLAH, bukan nama Jesus.
Firman Allah: maksudnya)
“Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi ALLAH adalah sama seperti
(kejadian) Adam. ALLAH telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman
kepadanya: “Jadilah engkau!” maka jadilah ia. Kebenaran itu datang daripada
Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau dalam kalangan mereka yang ragu-ragu. Kemudian
sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh
pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru
anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri
kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan
bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat ALLAH ditimpakan kepada
orang-orang yang berdusta”. (Surah Ali ‘Imran 59-61).
Jika Islam larang mereka secara mutlak menyebut Allah, bagaimana mungkin mereka
disuruh bersumpah dengan nama ALLAH?!
Al-Imam Muslim dalam sahihnya pula meriwayatkan hadis mengenai perjanjian
Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:
“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil
Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w: barangkali aku boleh tulis
Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama ALLAHh),
maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang
kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya ALLAH!)”.
Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ertinya, Nabi s.a.w membenarkan penggunaan nama Allah seperti yang pihak kafir
Quraish minta. Jika itu dilarang, tentu cadangan mereka ditolak!.
Lojik
Kita bayangkan jika mereka langsung tidak boleh panggil Allah, bagaimana dengan
Kristian Arab jika datang ke Malaysia? Apakah mereka terpaksa menahan diri dari
menyebut masya ALLAH dengan diganti ‘masyaa God’.
Jika bukan muslim bertanya siapakah tuhan saya yang sebenar. Muslim hendaklah
menjawab ALLAH. Dia tidak boleh berkata ‘tuhan awak lain dan tuhan saya lain. Awak
tidak boleh menyebut nama tuhan saya’. Jika dia berkata demikian, maka dia
syirik.
Maka, sepatutnya larangan itu hanya apabila ia dalam bentuk provokasi yang
menimbul ketegangan masyarakat. Kenyataan yang menyatakan larangan itu mutlak
adalah tidak berasaskan ajaran Islam. Apatah lagi kenyataan yang memurtad
sesiapa yang mengizinkan seakan memurtadkan Nabi s.a.w, dan umat Islam di
seluruh dunia.
Maka, kita muslim hendaklah mengendali isu dan mengetahui hubung kait sesuatu
itu sebelum hendak dibangkit sentiment agama mengenainya. Jangan kita melebihi
kadar yang sepatutnya, juga jangan kita lalai tentang keamanan dan keharmonian
hidup dalam negara yang pelbagai agama.
Dakwah Islamiah hendaklah ditingkatkan. Sebarkan Islam dan banyakkan dialog
antara agama seperti yang Dr Zakir Naik lakukan. Kenapa kita sentiasa ketakutan
ditewaskan sehingga begitu defensive?! Bawalah mesej Islam dengan penuh hujah
dan hikmah.
No comments:
Post a Comment