Rasuah (dalam bahasa Arab disebut
risywah) adalah pemberian sesuatu dengan tujuan membatalkan suatu yang haq atau
untuk membenarkan suatu yang batil. (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah)
Disimpulkan, ia adalah apa saja pemberian kepada
seseorang untuk mendapatkan sesuatu yang bukan haknya atau untuk mengelakkan
suatu kerugian yang sepatutnya terjadi kepadanya.
Hukum memberi atau menerima rasuah adalah haram,
ia merupakan dosa besar kerana pelakunya dilaknat oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya.
Daripada Abdullah bin ‘Amr berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan
penerima rasuah.” (Riwayat Al-Tirmidzi)
Pemberi dan penerima rasuah berhak mendapat
kemurkaan ALLAH dan dijauhkan daripada rahmat ALLAH kerana mereka telah
melakukan perbuatan batil dan mengambil bukan hak mereka.
Di dalam al-Quran menceritakan tentang orang
Yahudi. ALLAH berfirman, bermaksud: “Mereka adalah orang yang ALLAH tidak
berkehendak menyucikan hati mereka, bagi mereka kehinaan di dunia dan azab yang
pedih di akhirat. Mereka gemar dengar berita bohong dan
gemar makan Al-Suht (yang haram).” (Surah Al-Maidah: 41-42)
Dalam mentafsirkan ayat ini, Umar Al-Khatthab,
IbnMas’ud ra dan selainnya mengatakan yang dimaksudkan dengan Al-Suht (suatu
yang haram) adalah rasuah. (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi)
Ibnu Mas’ud RA mengatakan, “Rasuah bagi menetapkan
hukum (bagi pemerintah atau hakim) adalah kekufuran, ada pun bagi masyarakat
adalah Al-Suht (haram).” (Al-Tabarani,Mu’jam Al-Kabir)
Namun, ramai di kalangan masyarakat yang terlibat
dengan rasuah yang kadangkala tanpa mereka sedari, boleh jadi kerana istilahnya
diubah kepada hadiah dan sebagainya. Hal ini terjadi baik untuk mendapatkan
jawatan atau pekerjaan, tender, untuk masukkan anak ke sekolah atau universiti,
atau untuk mencapai tujuan dunia yang lain. Ini adalah kezaliman kerana
mengambil sesuatu yang mungkin sepatutnya hak orang lain.
Hadiah yang kita berikan kepada hakim atau
pemerintah, juga termasuk dalam kategori rasuah yang diharamkan, walaupun ia
dilakukan untuk mendapatkan hak kita kembali. Walaupun terjadi khilaf di mana
ada ulama membolehkan memberi pemberian untuk mendapatkan hak, namun pendapat
ini dibantahi sebahagian ulama yang lain.
Ini kerana jika kita memberi wang kepada hakim
kerana kita di pihak yang dizalimi, kita sebenarnya membantunya dalam kezaliman
yang dia lakukan, dan menggalakkannya untuk mengulangi lagi kezaliman itu pada
masa akan datang. Kerana itu dalam banyak hal yang membabitkan kezaliman
pemerintah, Islam banyak menyuruh supaya kita bersabar.
Ini merangkumi petugas-petugas yang mewakili
pemerintah seperti polis dan sebagainya, janganlah kita memberi hadiah atau
wang kepada mereka untuk melepaskan diri daripada hukuman, atau untuk
meringankan hukuman.
Walaupun namanya diubah kepada hadiah, tetapi
hakikatnya ia adalah rasuah yang haram dan mendapat laknat ALLAH danRasul-Nya,
maka jangan sesekali kita terlibat di dalamnya.
Golongan hakim, petugas, pemerintah juga jangan
menerima sebarang bentuk hadiah. Ini termasuk ghulul yang diancam dengan
ancaman yang berat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang kami
tugaskan dengan suatu pekerjaan lalu kami tetapkan gaji untuknya, maka apa yang
dia ambil di luar itu adalah harta ghulul” (Sahih Abu Daud). Ini adalah bagi
mengelakkan kezaliman, di mana orang berharta terlepas daripada hukum dengan
membayar wang, manakala yang tidak berharta tidak bebas dari hukuman.
Takutlah kita apabila membaca firman ALLAH SWT
yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang
lain dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa harta itu kepada
hakim, supaya kamu memakan sebahagian harta benda orang lain dengan dosa
padahal kamu mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 188)
Imam Al-Qurthubi berkata, “Sesiapa mengambil harta
orang lain bukan dengan cara yang dibenarkan syariat maka dia telah memakannya
dengan cara yang batil. Antara bentuk memakan dengan cara batil adalah seorang
hakim yang memenangkan kamu sedangkan kamu tahu kamu salah. Sesuatu yang haram
tidak berubah menjadi halal dengan keputusan hakim” (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Qur’an).
sumber Sinar Harian
No comments:
Post a Comment