Ketika di pertengahan usia ini, saya banyak mendekatkan diri kepada Allah dan cuba meningkatkan amal ibadat, namun saya merasa rimas apabila datang haid kerana banyak amal ibadat terpaksa saya tinggalkan dan merasakan diri berada dalam keadaan kotor. Bolehkah dalam keadaan haid ini saya berwuduk supaya sekurang-kurangnya saya merasa suci sedikit.


Hadas dikira sebagai kekotoran yang bersifat maknawi. Seseorang yang bersih dan berpenampilan menarik tetapi dalam keadaan hadas dianggap tidak suci berbanding seseorang yang berada dalam keadaan wuduk walaupun mungkin dia kelihatan lebih comot. Kekotoran ini dapat disucikan atau hilang dengan berwuduk jika hadas tersebut adalah kecil dan dengan mandi wajib jika hadas besar.

Hadas besar terbahagi kepada dua bahagian. Hadas besar disebabkan bersetubuh, keluar air mani dan juga disebabkan haid dan nifas. Hadas besar disebabkan bersetubuh dan keluar air mani diistilahkan sebagai hadas junub. Hadas ini berbeza daripada hadas disebabkan haid dan nifas. Seseorang yang berjunub boleh mengambil wuduk sebelum mandi wajib. Wuduk yang dilakukannya akan meringankan hadas tersebut . 

Saidatina Aisyah RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW akan mengambil wuduk apabila Baginda hendak makan atau tidur sedangkan ketika itu Baginda dalam keadaan berjunub dan belum mandi wajib. Cerita Saidatina Aisyah ini ada diriwayatkan dalam Sahih Muslim. Hukum bagi seorang wanita yang berjunub adalah sama dengan hukum lelaki yang berjunub. Oleh itu sesiapa sahaja yang masih dalam keadaan berjunub boleh mengambil wuduk apabila ingin melakukan sesuatu seperti makan, minum, membaca, memasak dan sebagainya. Hukum berwuduk dalam keadaan berjunub adalah sunat kerana ia akan meringankan hadas besar tersebut. Hadas besar tersebut akan ‘terangkat’ atau hilang dengan mandi wajib.



Jika dilihat kepada hadas besar kerana haid, situasinya adalah berbeza kerana wanita tersebut kekal dalam keadaan hadas besar dengan darah yang berterusan keluar. Oleh itu wuduk dikira tidak mempunyai apa-apa kesan dalam keadaan begini , jika wanita ini mandi wajib sekalipun hadas besarnya tidak akan hilang . Berbeza dengan hadas junub, jika seseorang mandi wajib, hadas besarnya akan hilang dan jika berwuduk hadas tersebut akan menjadi lebih ringan. 

Bagaimana pula dengan seorang wanita yang darah haidnya sudah berhenti. Adakah dia boleh berwuduk ? Imam Syafiee memfatwakan bahawa wanita yang sudah berhenti haidnya tetapi belum mandi wajib boleh berwuduk sama seperti orang yang berhadas junub dan ketika itu hukum berwuduk adalah sunat. Fatwa ini disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari. 

Merujuk kepada soalan Puan, selama darah haid masih terus keluar, puan tidak boleh berwuduk dan ia tidak akan memberi apa-apa makna. Namun puan masih boleh menambah amal ibadah dengan membanyakkan zikir , selawat dan sebagainya. Puan tidak perlu merasa rimas atau kotor kerana yang mencipta keadaan tersebut adalah Allah SWT. Sudah begitu fitrah kejadian wanita yang diciptakan Allah dan Dia lebih mengetahui hikmah disebalik ciptaannya.

Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, 06000 Jitra, Kedah