Wednesday, January 23, 2013

Bicaralah Atas Nama Kasih: Dari bicara, hadir percaya
NORASLINA JUSIN & DR. ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
Muka Depan Buku Bicaralah Atas Nama Kasih oleh Noraslina Jusin & Zaharuddin Abd RahmanSulami kata dengan ucapan luhur
moga dari bicara
hadirnya percaya

Ummi, betul ke tidur lepas subuh tu tak elok?” Suatu ketika kak long bertanya kepada saya.
 

“Hmm… tak semestinya. Kenapa kak long tanya?” soal saya pula yang membasuh baju. Meski begitu, saya cuba men-jawab pertanyaannya. Sekadar melayan apabila anak menyapa.
 

“Ada orang kata, kalau tidur lepas subuh boleh jadi gila… kak long tak nak jadi gila,” jawab kak long dengan nada cemas.
Terhenti seketika saya mendengar kata-katanya. ‘Dari manalah kak long tahu tentang ini.’ Saya berbisik sendiri.

 

Mungkin kerana terkenangkan dirinya yang selalu tidur atau tertidur sebaik mengerjakan solat subuh, kak long nampak serius mahu berbicara mengenainya. Jelas bersungguh, tidak mahu bertangguh.
 

“Apa lagi keburukan tidur lepas subuh yang kak long tahu?” soal saya lagi.
 

“Tidur lepas subuh juga boleh menyebabkan susah dapat rezeki,” pantas kak long menjawab kembali.
 
Dunia Tanpa Sempadan
 

Saya yakin, setiap ibu bapa pasti pernah diasak dengan pertanyaan-pertanyaan yang agak berat oleh si anak. Bermula dengan persoalan agama, cerita suka duka, hingga membawa kepada persoalan cinta.
Apa yang menghairankan, soalan itu bukan sekadar diluah oleh remaja, tetapi juga anak yang berusia tujuh, lapan, sembilan dan sepuluh tahun. Bak kata orang, usia yang baru setahun jagung!

Hakikatnya, tiada apa yang perlu dihairankan. Dunia hari ini iaitu dunia tanpa sempadan dan globalisasi, memungkinkan semua itu terjadi. Mereka boleh memperolehinya dari pelbagai kaedah dan wasilah.

 

Sama ada melalui televisyen, filem, majalah, internet dan teman-teman sekolah. Kerana itu, mem-besarkan anak-anak dewasa kini, merupakan suatu perkara yang mencabar. Ilmu, kebijaksanaan dan kesabaran sangat perlu ketika berhadapan dengan mereka.
 

Lantaran waktu semakin pantas berputar dan zaman yang berubah, manusia yang berada di dalamnya juga harus berhadapan dengan pelbagai rencam masalah. Ini kerana, kita sedang hidup di dalam dunia yang semakin kompleks.
 

Dunia yang menyediakan kita sehari-hari dengan pelbagai isu sulit dan menyukarkan bagi anak-anak dan individu dewasa untuk memahami dan menanggapinya.
 
Boleh
 

Saya merenung ke dalam matanya. Terpancar suatu perasaan ingin tahu yang amat nyata. Dan saya sedar, jika bukan saya, kepada siapa lagi dia akan meletakkan kepercayaan untuk meluahkan rasa.
“Jadi… kak long nak tahu jawapan ummi?” soal saya menduga, walau saya tahu sememangnya itu yang dipinta. Kak long mengangguk.

 

“Jawapannya, ada yang elok dan ada yang tidak.”
Berkerut dahinya mendengar jawapan saya.

 

“Kenapa ada dua? Sekejap elok, sekejap tidak pula?” Kak long bertanya.
 

“Sebab, tidur selepas subuh tidak ada larangan yang benar-benar diyakini keluar dari mulut Nabi sendiri. Jadi, ada ketikanya ia boleh dilakukan mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan. Namun sebaik-baiknya, ia perlu dielakkan.
 

Contohnya, ketika musim panas di UK. Waktu siangnya lebih panjang berbanding malam. Maghrib dan isyak bermula agak lewat manakala subuh pula bermula seawal jam 3.00 pagi. Kalau selepas solat subuh, kak long berjaga sehingga menunggu siang hari, tentu kak long mengantuk dan akan tertidur dalam kelas nanti.
 

Jadi, tidur selepas subuh ketika itu perlu supaya kak long dapat tidur yang cukup.” Saya menjelaskan sementara kak long terus tekun mendengar.
 
Tidak Boleh
 

“Bila pula yang tak boleh, ummi?” Kak long bertanya. Nampak tidak sabar untuk mengetahui penerangan selanjutnya.
 

“Yang tak bolehnya... ketika musim sejuk beginilah. Malamnya panjang dan subuh pula masuk sekitar jam 5.45 pagi… hampir ke pukul enam.
 

Jadi, daripada menyambung tidur, lebih baik kita isi masa dengan membaca atau mengaji. Mulakan hari dengan ‘sarapan’ untuk roh dan hati. Kerana itulah sunah sebenar yang dilakukan oleh Nabi. Selepas solat subuh, baginda akan berada di tempat solatnya sehingga terbit matahari dengan mengisi masa dengan berzikir dan memuji ILAHI. Tambahan pula, Rasulullah sa.w juga pernah berdoa tentang keberkatan waktu pagi yang bermaksud:

Ya ALLAH, berkatilah untuk umatku akan waktu pagi mereka.- Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah
 

Dan seterusnya di dalam sebuah hadis lain, baginda bersabda:
 
Berpagi-pagilah dalam mencari rezeki, se-sungguh-nya berpagi-pagi itu ada keberkatan dan kejayaan.- Hadis riwayat at-Tabrani
 
“Oh… jadi, orang yang suka tidur waktu pagi tu, tak berkatlah, ya?” Kak long membuat kesimpulan. Saya membalas dengan senyuman.
 

“Rasulullah s.a.w selalu mengingatkan kita agar berusaha meraih keberkatan daripada ALLAH, antara-nya dengan menanamkan semangat untuk hidup sihat dan produktif, serta menjauhkan sifat malas.
 

Baginda mengaitkan waktu pagi dengan ke-berkatan, kerana waktu itu merupakan masa yang sesuai untuk seseorang manusia memulakan aktiviti seharian. Saat itu pula, seseorang akan berasa lebih segar dan bersemangat setelah berehat dan tidur semalaman.
 

Sebagai contoh, pelaksanaan membaca doa setiap kali ingin mengutus pasukan perang, Rasulullah s.a.w membacanya pada pagi hari. Hasilnya, pasukan tersebut di-berkati, mendapat pertolongan daripada ALLAH seterusnya beroleh kemenangan.” Panjang lebar saya menerangkan.
 

Berulang kali kak long mengangguk. Walau tidak bersuara, saya yakin jiwanya mulai diresapi rasa lega. 

Dari Bicara, Hadir Percaya
 

Anak-anak sebenarnya sentiasa ingin berbicara. Meminta pandangan dan berkongsi perasaan ber-sama ibu bapa sebagai individu yang hampir dan boleh dipercaya. Namun, mereka terlebih dahulu akan menilai, adakah ibu bapa berasa terbuka untuk menjawab pertanyaan yang akan di utarakan. Dari situ, terserah pada kita sebagai ibu bapa untuk mencorak suasana agar anak-anak dapat mengajukan apa jua pertanyaan. Tidak perlu lakukan banyak perkara, cukup hanya dengan dorongan, kata-kata semangat dan sikap positif terhadap setiap persoalan mereka. Saya akur, ramai di kalangan kita sebagai ibu bapa mungkin belum mampu untuk melayani setiap permintaan dan pertanyaan mereka, namun fikirkan kesannya andai kita menolak mentah-mentah tanpa mencuba terlebih dahulu.
 

Jika bukan kita yang bertindak lebih awal, pastinya anak-anak akan mendapatkan maklumat daripada orang lain yang bersedia untuk mendengar dan berbicara dengan mereka.
 

Jika itu yang terjadi, pastinya kita akan kehilangan kesempatan untuk menawarkan kepada anak-anak informasi yang bukan sahaja penting, tetapi juga seiring dengan peribadi, nilai-nilai dan prinsip-prinsip akhlak yang kita dukungi. Juga, nilai iman dan Islam sebagai paksi yang menunjangi kehidupan ini.
 

Akhirnya, berapa pun usia anak-anak kita, mereka layak untuk mendapatkan jawapan yang jujur bersulam kata-kata luhur. Soalan perlu dilanjutkan dengan penjelasan dan itulah yang menguatkan kemampuan anak-anak untuk meningkatkan ke-percayaan. Oleh itu, mulakan hari ini untuk me-wujudkan komunikasi. Moga-moga dari bicara, hadir percaya.

No comments:

Post a Comment