Wednesday, January 16, 2013



Bicaralah Atas Nama Kasih: Kitalah guru itu
Muka Depan Buku Bicaralah Atas Nama Kasih oleh Noraslina Jusin & Zaharuddin Abd Rahman
NORASLINA JUSIN & DR. ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
15 Januari 2013
Jangan salah didik

jangan silap asuh

kelak murka ALLAH tak mampu ditempuh

Kamu semua orang Islam, bukan?” Cikgu Fauzi ber-tanya sebaik masuk ke kelas Tiga Hijau pagi itu. Kebetulan dua orang rakan sekelas berketurunan India masih belum selesai dari mengikuti mata pelajaran Moral di kelas sebelah.

“Ya, cikgu.” Saya dan rakan-rakan menjawab serentak. Pan-dangan kami tepat ke wajah Cikgu Fauzi yang tersenyum mendengar jawapan tadi.

“Baik... kalau begitu, saya nak tengok kamu jadi orang Islam setiap hari, bukan hanya pada hari Jumaat sahaja,” tegas Cikgu Fauzi sambil memandang muka kami silih berganti.

“Pelajar lelaki perlu berseluar panjang, manakala murid perempuan pula berbaju kurung dan bertudung. Itu baru betul ikut ajaran agama. Yang lelaki nampak lebih tampan, yang perempuan pula bertambah ayu dan lebih sopan,” kata Cikgu Fauzi mengumpan.

Kami yang mendengar tersenyum malu-malu melihat masing-masing hanya berseluar pendek bagi lelaki, sementara perempuan pula hanya memakai pinaforebiru. Apabila tiba hari Jumaat, baru kami mengenakan pakaian menutup aurat.

Kenangan Lalu

Peristiwa itu telah 25 tahun berlalu. Namun, didikan-nya masih saya ingat hingga ke hari ini. Walaupun Cikgu Fauzi seorang guru biasa, tetapi ketegasannya mendidik kami mengamalkan ajaran agama sangat memberi kesan kepada jiwa.

Pada zaman awal 80-an, kesedaran beragama masih baru berakar dalam masyarakat di tempat saya. Oleh itu, bilangan murid-murid sekolah rendah yang memakai baju kurung dan bertudung sepanjang waktu persekolahan sangat sedikit.

Orang kata, boleh di-bilang dengan jari. Ditambah pula momokan akhbar arus perdana dengan kemunculan ‘hantu komkom’ ketika itu, menjadikan suasana untuk mengamalkan pakaian syariat ini tidak begitu mesra dan melata.

Walaupun demikian, Cikgu Fauzi tidak pernah menjadikan suasana begitu sebagai alasan untuk tidak mengajak kami kepada kebaikan.

Kesannya, hampir seluruh murid perempuan di kelas saya mula memakai baju kurung lengkap menutup kepala apabila naik ke tahun empat. Kami bangga melakukannya kerana Cikgu Fauzi sentiasa mengatakan kami mulia kerana mengamalkan ajaran agama.

Gaji Vs Amanah

Akan tetapi, realiti hari ini amat jauh berbeza. Bukan sahaja tidak ramai guru bukan dari aliran agama yang mahu membawa suasana beragama di dalam pengajaran mereka, malah ada sebahagian guru-guru agama sendiri yang tidak bersungguh-sungguh menjadikan kerjaya mereka sebagai ibadat yang boleh melimpahkan pahala berganda.

Keadaan ini menyebabkan mereka ketandusan minat dan keinginan ke arah itu. Maka, hasilnya semakin luaslah jurang dakwah untuk menyeru kepada kebaikan.

“Ah, budak-budak tu nak pandai ke tidak, terpulang pada mereka. Yang aku tahu, cukup bulan gaji masuk,” luah seorang guru dengan nada geram. Marah barangkali dengan gelagat anak murid yang tidak tahu hormat kepada mereka yang lebih dulu makan garam.

Saya akui, memang sukar untuk menjadi guru pada zaman serba material ini. Tugasnya bukan sekadar mengajar subjek-subjek yang telah ditentukan, tapi juga perlu menyiapkan tugasan-tugasan lain sama ada berkaitan dengan sekolah atau pelajar. Itu belum lagi dikira dengan mesyuarat dan kursus-kursus yang perlu dihadiri. Mengenangkan itu, saya menjadi amat simpati.

Oleh itu, ALLAH S.W.T berfirman di dalam al-Quran tentang nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya yang bermaksud:

Wahai anakku! Dirikanlah solat (sembahyang), dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah ke-mungkaran dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat me-lakukannya. - Surah Luqman: 17

Berdasarkan ayat di atas, dapat dilihat betapa besarnya peranan seorang guru terhadap per-kembangan fizikal dan spiritual anak didik demi melahirkan generasi yang berkualiti dari segala segi.

Mereka berperanan mendekatkan pelajar kepada Yang Maha Mencipta dengan menekankan pengetahuan sama ada ilmu fardu ain atau fardu kifayah, agar mereka menyedari dan mengagungkan kebesaran-NYA.

Tugas ini harus ada sama ada pada guru agama atau biasa kerana mereka ber-tanggung-jawab memberi ilmu dan menyuntik ke-sedaran para pelajar untuk menyemai jiwa ke-hambaan serta sebagai manusia yang bertuhan.

Guru yang baik bukan sahaja mendambakan bayaran semata-mata sebagai ganjaran penat dan payah, tetapi kesedaran untuk mendidik agar mereka mampu menjadi pemandu arah yang boleh dicontohi dan diikuti oleh anak didik. Walaupun banyak rintangan yang mungkin menghalang, tapi semua itu perlu dihadapi dengan tabah serta mengharapkan ke-redhaan ALLAH.

Tiada ganjaran yang lebih baik selain pengiktirafan daripada ALLAH S.W.T terhadap golongan pendidikyang mengajar kepada kebaikan, menuntun kepada mentaati dan mengagungkan ALLAH serta ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan. ALLAH S.W.T menegaskan menerusi firman-NYA yang bermaksud:

Siapakah yang lebih baik perkataannya dari-pada orang yang menyeru kepada ALLAH, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang yang ber-serah diri?” - Surah al-Fussilat: 33

Kisah Daun

“Baik, murid-murid. Siapa boleh beritahu cikgu, apakah warna daun?” tanya seorang guru kepada anak muridnya.

“Warna hijau, cikgu,” jawab anak murid yang duduk di hadapan.

“Warna merah pun ada, cikgu,” jawab pula murid yang duduk di sebelah kiri.

“Bukan merah aje, warna kuning dan coklat pun banyak, cikgu,” tambah anak murid yang duduk di bahagian belakang.

“Hisy... hisy, salah tu! Mana ada daun warna coklat, kuning dan merah,” bidas cikgu sambil disambut gelak ketawa teman-teman sedarjah. Anak murid yang menjawab berkerut dahi tertanya-tanya siapa benar dan siapa yang salah.

Hakikatnya, murid di sebelah kiri pernah tinggal di negara matahari terbit. Maka, apa yang dicakapkannya itu bukan sekadar pernah melihat, bahkan fotonya berlatarkan daun merah juga masih ada sebagai bukti. Manakala murid yang duduk di belakang pula menjawab demikian kerana itulah warna-warna daun kala musim luruh di United Kingdom.

Seorang guru yang alim, berilmu pengetahuan dan berpandangan jauh tidak akan cepat membuat keputusan sebelum me-neliti segala kemungkinan yang akan berlaku. Alangkah elok jika guru itu terlebih dahulu mendapatkan penjelasan daripada jawapan yang diberikan. Seorang guru yang cepat melatah, pasti akan berasa malu apabila kenyataan diutarakan.

Luas Pengalaman, Bertambah Pengetahuan

Ilmu dan pengetahuan adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari diri seorang guru. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
 
Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi daripada golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.- Riwayat al-Bazzar
 
Seorang guru yang baik akan menjadikan dirinya berada dalam kumpulan yang disebut oleh Nabi sebagaimana hadis yang dinyatakan, iaitu menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain, menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu), mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu dan menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka, kecuali golongan kelima iaitu kumpulan yang digelar sebagai ‘bodoh sombong’. Menyedari diri tidak tahu, tetapi pura-pura tahu dan tidak mahu menambah pengetahuan.
 

Amat bahaya seorang guru yang mengajar tanpa ilmu, kerana ia membawa pelajarnya ke lorong yang salah dan keliru. Akhirnya, pelajarnya akan berada dalam kesesatan.
 

Walaupun berstatus seorang guru, tidak bermakna mereka mengetahui semua perkara dan bidang. Justeru, janganlah malu dalam meningkatkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pembacaan atau pengalaman, kerana itu juga akan menjadi bekalan buat anak didik meneruskan kehidupan mereka.
 
Kitalah Guru Itu  

Walau siapa pun kita, sedar atau tidak, kita juga merupakan guru tidak langsung kepada diri dan mereka yang berada di sekitar kita. Seorang suami adalah guru kepada isterinya. Seorang ibu pula merupakan guru kepada anak-anaknya. Begitulah seterusnya, apabila semuanya berperanan sebagai pendidik untuk diri dan orang yang disayangi.
 

Bagi saya, tiada guru yang lebih layak dijadikan contoh selain yang bernama Muhammad bin Abdullah. Baginda juga merupakan junjungan tercinta para sahabat dan sahabiah pada zamannya kerana menjadi sebaik-baik tempat rujukan bagi seluruh umat manusia.
 

Kitalah guru-guru itu... menongkah arus melawan fitnah. Mendidik generasi mentaati ALLAH dan Rasulullah. Jangan salah didik, jangan silap asuh, kelak murka ALLAH tak mampu kita tempuh.
Sematkan juga sabda junjungan ini sebagai pegangan dan ingatan. Iaitu:

Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya berkaitan dengan tang-gungjawabnya.- Hadis Riwayat al-Bukhari

No comments:

Post a Comment