Monday, January 28, 2013

Bicaralah Atas Nama Kasih: Sukarkah meraih solehah?
NORASLINA JUSIN & DR. ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
 
Muka Depan Buku Bicaralah Atas Nama Kasih oleh Noraslina Jusin & Zaharuddin Abd Rahman
Berusahalah menjadi ‘harta yang bernilai’

kepada seorang suami selepas
mencurah keimanan
dan ketakwaan kepada ILAHI

Sukarnya meraih solehah.” Acap kali keluhan itu keluar dari bibir merahnya. Sesekali pandangannya dilempar jauh. Bagai merenung ke satu dimensi yang tidak dapat dimengerti oleh sesiapa pun.

“Kenapa ni kak? Akak ada masalah ke?” Saya bertanya ramah. Senyuman menguntum agar berkurang gelodak resah.

Kami sering berbual bersama. Berbincang, bertukar pandangan dan mencari titik persamaan tentang pelbagai topik kehidupan. Dan biasanya, tajuk yang menjadi fokus perbincangan kami ialah pendidikan anak-anak, kehidupan suami isteri serta pahit manis alam perkahwinan.

Jarak umur yang berbeza beberapa tahun, menjadikan saya lebih mesra memanggilnya ‘kakak’ sebagai tanda hormat.

“Tak ada apa-apalah... hanya meluah kebimbangan yang sekian lama terpendam. Terutama apabila ketiadaan insan tersayang. Saat-saat berjauhan begini, kakak manfaatkan untuk memuhasabah diri sebagai isteri.” Dia menjawab sambil melempar senyuman manis. Wajah yang tadi muram, mula menampakkan seri.

“Apa yang merisaukan kakak?” soal saya lagi. Sengaja meminta dia bercerita dan berkongsi rasa. Mana tahu jika ada pedoman yang dapat saya ambil manfaat daripadanya. Saya membetulkan duduk mencari posisi selesa agar perbualan nanti berjalan lancar tanpa gangguan.

Mudah

“Sebenarnya... kakak bimbang melihat kadar perceraian suami isteri dalam masyarakat kita hari ini. Keadaan itu menjadi perkara yang terjadi akibat sesuatu punca dan sebab. Kerana itu, kakak selalu mengingatkan diri agar apa yang terjadi pada mereka menjadi pengajaran dan ingatan.” Suaranya bergetar tanda insaf dan sedar.

“Pada kakak, peranan seorang isteri amat penting untuk mengekalkan hubungan yang harmoni. Namun, bukan mudah untuk jadi isteri yang baik dan solehah kepada suami. Andai dibaca sepintas lalu kalam Rasulullah yang mulia, gelaran itu senang diperoleh dan tidaklah serumit yang disangkakan. Ina ingat, tak? Rasulullah s.a.w pernah ditanya tentang sebaik-baik isteri. Lalu baginda menjawab:

Iaitu isteri yang menghadirkan rasa gembira kepadamu apabila memandangnya. Apabila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu sebaik-nya dan menjaga hartamu.- Hadis Riwayat Ahmad dan lainnya; dianggap ‘hasan’ oleh al-Albani
 
Dan sabda baginda yang lain bermaksud:

Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang di-kehendaki. - Hadis Riwayat Ahmad

Saya hanya mengiakan apa yang dibicara. Sebagaimana yang ditegaskan oleh baginda s.a.w, antara punca kebahagiaan bagi seseorang anak Adam adalah daripada tiga perkara iaitu; isteri yang solehah, tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang memudahkan perjalanan dan pergerakannya.

Tapi...

“Sayangnya, ramai antara kita yang tidak memahami dan menghadam peringatan Rasul yang mulia itu dengan sempurna.” Dia menambah dengan suara yang bernada resah pada pendengaran saya.

“Maksud kakak?” Saya bertanya padanya kembali.

“Banyak peranan seorang isteri yang perlu kita muhasabah kembali. Lihat sahaja tentang menjaga rahsia suami. Berapa ramai wanita hari ini yang dapat menyimpan rahsia suami dengan erat. Sungguh menyedihkan, masalah rumah tangga sering dijadikan tajuk cerita bersama teman-teman sekerja,” tuturnya kecewa.

“Ya... betul tu kak. Ramai yang beralasan, mereka sekadar ingin meluah rasa dan meminta nasihat.” Saya mengiakan kata-katanya.

“Ya... itu ada benarnya dan berkonsultasi tentang-nya memang dibolehkan dalam agama. Meminta nasihat daripada orang yang boleh dipercayai, baik akhlak dan mampu menjaga rahsia, itu memang dibenarkan.

Tetapi, apa maknanya jika masalah tersebut diketahui bukan seorang dua... tetapi seramai yang berada di tempat kerja? Ada yang boleh ketawa apabila bercerita perihal rumah tangga mereka. Bukankah itu sudah membuka aib suami dan diri sendiri?

Jika seorang isteri menjaja keburukan suami, di mana lagi rasa hormatnya kepada ketua rumah tangga? Mampukah isteri yang begini berada di hadapan suami dalam keadaan ceria dan menceriakan suami yang memandangnya?” Bertalu dia melontarkan persoalan yang membuka lagi kesedaran saya.

“Lebih malang, jika masalah bersama suami didedahkan kepada rakan sekerja lelaki dan me-nyebabkan mereka jatuh dalam perangkap cinta ‘gelap’ tanpa disedari. Kononnya cinta itu lahir dari rasa ‘prihatin’, ‘perhatian’ dan ‘kesudian’ si lelaki mendengar luahan hati.” Saya menambah isi untuk menyokong pandangannya.

Solat dan Puasa

Ini belum lagi menyentuh tentang solat dan puasa. Pada saya, seorang wanita dan isteri belum layak bergelar solehah jika masih bermasalah dalam melaksanakan kedua-dua ibadat ini. Ada segelintir yang melengah-lengahkan solat dengan pelbagai sebab yang tidak sepatutnya dijadikan alasan hingga solat tergadai. Terutamanya kepada kaum perempuan yang waktu kitaran haid mereka yang hampir tiba.

Golongan ini harus lebih peka dan beringat akan masa yang ada kerana ‘waktu’ itu tiba secara tiba-tiba. Maka, ibadat yang wajib seharusnya didahulukan tanpa ditangguhkan hingga ke akhir waktu.

Tidak kurang juga, ada yang terlalu obses dengan kerja hingga solat dilakukan secara tergesa-gesa. ALLAH S.W.T mengingatkan tentang kemurkaan-NYA ke atas mereka yang lalai dalam menjalankan  tanggungjawab ini:

Maka celakalah orang yang solat iaitu orang yang lalai daripada solatnya. - Surah al-Maau’n: 4 dan 5
 
Lalai yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tiadanya konsentrasi dan kekhusyukan ketika melaksanakan solat. Keadaan ini merupakan suatu kerugian yang besar bagi seorang mukmin. Dan dalam konteks seorang wanita dan isteri pula, ia boleh memberi kesan buruk terhadap pelaksanaan tuntutan agama yang lain.

Demikian juga dengan ibadat puasa Ramadan yang hadirnya hanya sebulan. Atas rahmat dan kasih sayang-NYA, kaum wanita yang didatangi haid atau berada di dalam nifas, gugur ke atas mereka kewajipan untuk berpuasa. Begitu juga dibenarkan kepada wanita-wanita hamil dan menyusukan anak untuk tidak menunaikan puasa.

Namun, ramai yang terleka dengan nikmat kemurahan Ar-Rahman ini apabila mengambil masa yang lama untuk mengqada semula puasa yang ditinggalkan hingga Ramadan kembali semula. Sekali lagi, cuai dan lalai.

Lalu, adakah keadaan sedemikian memungkinkan seseorang wanita untuk meraih gelaran solehah di sisi ILAHI?

Sukarkah Meraih Solehah?

“Tepuk dada, tanya iman. Hakikatnya, pilihan berada di tangan kita. Untuk menjadi solehah, al-Quran dan hadis Rasulullah s.aw menjadi pedoman. Tinggal lagi, sama ada kita mahu atau membiarkan masa dan ruang yang ada terus berlalu.” Dia menambah kata.

“Memang benar. Kesedaran tanpa perubahan, umpama mimpi-mimpi sementara. Tiada makna.” Saya membuat rumusan di samping mengingatkan diri yang juga sering kealpaan.

Akhirnya, marilah bersama muhasabah diri dengan membina azam untuk terus memperbaiki diri. Baik saya, anda dan sesiapa sahaja di luar sana, jadikan gelaran wanita dan isteri solehah sebagai motivasi untuk mempertingkatkan kualiti diri.

Hiasilah peribadi dengan ilmu, amal, keimanan dan keyakinan kepada hari akhirat agar ia mampu menjadi inspirasi muslimah sejati. Berusahalah menjadi ‘harta yang bernilai’ bagi seorang lelaki bernama suami selepas mencurahkan keimanan dan ketakwaan kepada ILAHI.

Berhijrah dan berusahalah... mudah-mudahan kita berjaya meraih gelaran solehah. Amin.

Sesungguhnya dunia ini adalah perhiasan yang indah, dan sebaik-baik perhiasan di dalamnya ialah wanita (isteri) yang solehah. - Hadis riwayat Muslim

No comments:

Post a Comment