Muslim kena laksana hukum-hakam, amal sunnah Nabi dalam kehidupan

Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh-Nya untuk membimbing dan menyampaikan wahyu Ilahi kepada umat manusia. Antara ciri-ciri keistimewaan Rasulullah SAW berbanding nabi dan rasul terdahulu ialah Baginda diutuskan sebagai rahmat untuk sekalian alam.
 
Firman Allah SWT: “Tiada Kami utuskan engkau (wahai 
Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (segenap makhluk, jin dan manusia).” (Surah al-Anbia, ayat 107)

Sesiapa yang taat kepada Rasulullah SAW, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah.” Surah al-Nisa’(ayat 80)

Rasulullah SAW dianugerahkan kitab suci al-Quran, mukjizat terbesar yang tiada tolok bandingnya hingga hari ini. Kitab al-Quran adalah pedoman dan petunjuk bagi orang beriman yang mengandungi hukum-hakam dan peraturan yang mengatur kehidupan ke arah kesejahteraan dunia serta akhirat.

Selain al-Quran, Baginda SAW juga diangkat sebagai sumber perundangan Islam. Hadis Rasulullah berfungsi sebagai penerang dan penguat kepada al-Quran menjadikan kedua-duanya sumber perundangan Islam utama yang mendasari setiap ruang lingkup kehidupan ummah sejagat.

Rasulullah SAW bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara jika kamu berpegang teguh padanya, kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya; iaitu Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.” (Riwayat Imam Malik)

Perutusan Rasulullah membawa mesej penting kepada umat manusia seperti dirakamkan dalam al-Quran al-Karim: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang yang beriman setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat) serta mengajar mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Ali-Imran, ayat 164)
 
Rasulullah SAW menggalas tugas besar iaitu menyeru manusia untuk menyembah Allah dalam segenap aspek kehidupan. Allah adalah pencipta dan pentadbir sekalian alam. Allah juga penggubal peraturan dan hukum yang wajib dipatuhi Muslim untuk kesejahteraan hidup mereka.

Beriman kepada kerasulan Nabi Muhammad SAW menuntut beberapa hak dan kewajipan perlu dilaksanakan umat Islam. Ia tidak cukup dengan sekadar mengadakan majlis Maulidur Rasul setiap tahun, mengadakan ceramah mengenai kisah hidup Baginda atau membaca selawat.

Kewajipan sebenarnya lebih daripada itu iaitu sejajar kedudukannya sebagai salah satu daripada rukun Iman yang semestinya diyakini setiap Muslim. Antaranya, mentaati Rasulullah SAW dengan tetap berpegang teguh terhadap sunnahnya, menerima segala keputusannya dan reda terhadap hukumnya.

Kewajipan mencintainya, tetap berpegang kepada sunnahnya, melaksanakan segala suruhannya dan mendahulukan segala hukumnya di atas segala yang lain. Firman Allah SWT: “Sesiapa yang taat kepada Rasulullah SAW, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah.” (Surah al-Nisa’, ayat 80)

Kewajipan untuk berlaku ikhlas, jujur dan tulus kepadanya. Menyebarkan dan melindungi sunnahnya daripada sebarang unsur khurafat dan bidaah yang terlarang. Kewajipan menghormatinya sebagai pesuruh Allah dan penyampai wahyu Ilahi.

Kewajipan mencintai sahabatnya terutama sahabat paling akrab dengan Rasulullah seperti Khulafa’ al-Rasyidin. Mencontohi suri teladan mereka dalam perjuangan menegakkan Islam. Berselawat kepada Rasulullah SAW setiap masa terutama hari Jumaat yang dijanjikan ganjaran berlipat ganda.

Kewajipan menelaah, mengetahui dan menghayati sirah Rasulullah SAW dari awal hingga ke akhir hayat dalam pelbagai aspek kehidupan baginda sebagai seorang hamba Allah, suami, bapa, pemimpin dan panglima tentera.

Kehidupan Rasulullah SAW seumpama sinar cahaya yang menerangi setiap langkah dan gerak geri kehidupan Muslim ke arah keredaan Ilahi. Dalam sunnah Rasulullah SAW terdapat petunjuk dalam pelbagai persoalan agama dan dunia.

Mengenai ibadah, muamalah, akhlak dan sifat-sifatnya, akhlak bermusafir dan bermukim, akhlak beriktikaf dalam masjid dan berada di rumah, peperangan dan kedamaian, hutang piutang, perjanjian serta persoalan lain yang terbentang dalam helaian buku sirah serta sunnah Baginda.

Mengikuti sunnah Rasulullah SAW dalam seluruh aspek kehidupan menjadikan seseorang Muslim itu sentiasa menginsafi diri, peka dan berdisiplin dalam hidupnya. Sesuai dengan seruan Rasulullah SAW kepada umatnya supaya tidak melakukan sesuatu amalan tanpa dibimbing kesedaran jiwa dan pemikiran yang waras.

Mengikuti sunnah akan melahirkan rasa keistimewaan, kemerdekaan sejati, keperibadian luhur dan kesatuan yang jitu terhadap Islam. Meneladani Rasulullah akan mengangkat darjat seseorang Muslim dalam hal keimanan, ketakwaan dan akhlak terbilang.

Akhirnya akan melahirkan personaliti terpuji yang boleh dicontohi, mantap akidahnya, istiqamah ibadatnya, tinggi akhlaknya, matang pemikirannya dan sihat sejahtera jasmaninya.

Penulis adalah Dekan Fakulti Kontemporari Islam, Universiti Islam Zainal Abidin