Memorandum Persefahaman
Kuala Lumpur, 30 November 2012 - Yayasan Al Hidayah
hari ini telah memetrai memorandum persefahaman bersama Yayasan Sofa
bagi kerjasama Akademik dalam menjayakan penubuhan Maahad Tahfiz Al
Hidayah (MATAH). Majlis bersejarah tersebut telah berlangsung di bilik
mensyuarat Kolej Islam Sofa, Ampang.
Pengasas Yayasan Al Hidayah, Tuan Haji Lokman Bin Abd Hamid dalam
ucapannya, beliau mengucapkan rasa syukur dalam rangka menandatangani
memorandum persefahaman antara Yayasan Al Hidayah dengan Yayasan Sofa.
“Bagi pihak Yayasan Al Hidayah, ingin saya merakamkan jutaan terima
kasih kepada seluruh warga kerja Yayasan Sofa yang telah memberi
kesanggupan dan bimbingan kepada Yayasan Al Hidayah dalam usaha untuk
menubuhkan Maahad Tahfiz Al Hidayah (MATAH). Dalam erti kata yang mudah
Yayasan Sofa akan menjadi tempat sumber rujukan dan konsultan kepada
Yayasan Al Hidayah bagi melaksanakan dan menjalankan Maahad Tahfiz Al
Hidayah”.
“Kami yakin dan percaya dengan pengalaman dan pengetahuan serta kemampuan yang ada pada Yayasan Sofa mampu menjadi ‘mentor’ kepada kami Yayasan Al Hidayah yang masih baru dan belum mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam mengendalikan sekolah tahfiz”, katanya. Tuan Haji Lokman berharap kerjasama yang dijalinkan ini dapat melestarikan penubuhan Maahad Tahfiz Al Hidayah.
“Harapan kami, melalui perjanjian persefahaman ini mampu
menyelesaikan beberapa masalah seperti penempatan tenaga pengajar,
pengambilan murid , pelaksanaaan kurikulum dan budaya pembelajaran serta
halatuju pelajar untuk meneruskan pembelajaran mereka sehinga ke
peringkat ijazah. Masalah ini mungkin dapat diatasi dengan kerjasama,
bimbingan dan tunjuk ajar daripada Yayasan Sofa”.
“Semoga semangat kerjasama dan persefahaman yang wujud ini mampu
memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk menempatkan anak-anak
mereka dalam bidang pengajian tahfiz, yang mana sejak akhir-akhir ini
permintaannya sangat tinggi tetapi tempat sangat terhad. Oleh itu, kami
dari Yayasan Al Hidayah mengambil inisiatif merebut peluang ini demi
mendapat keredhaan Allah dan merupakan amal jariah Yayasan Al Hidayah.
Tujuan kami adalah untuk memertabatkan pengajian Al Quran tanpa
memikirkan soal keuntungan duniawi. Semoga usaha yang sangat kecil ini
diterima oleh Allah,” jelasnya.
Majlis bersejarah itu turut di hadiri oleh Yang Berbahagia Dato
Sheikh Mohd Fuad Bin Kamaludin Al Maliki, Pengasas Yayasan Sofa Negeri
Sembilan, Yang Berbahagia Ustaz Abdullah bin Abdul Razak, Yang Di
Pertua Yayasan Sofa, Yang Berbahagia Tuan Haji Radzif bin Dato Mohd
Ismail, Timbalan Yang Di Pertua Yayasan Sofa, Yang Berbahagia Ustaz
Farid bin Samad Pengetua Darul Quran Wal Hadith Dan Yang Berusaha En
Malizan AJK tertinggi Kolej Islam Sofa.
Yayasan Al HIdayah diwakili Yang berusaha saudara Ashraf Muslim,
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Al Hidayah, Yang berusaha, Tuan Syed
Othman, Penasihat Maahad Tahfiz Al Hidayah. Hadir sama, jawatankuasa
pelaksana kedua-dua pertubuhan. Antara isi memorandum persefahaman
tersebut, Yayasan Al Hidayah dan Yayasan Sofa bersetuju untuk
bekerjasama dalam bidang akademik, penempatan guru-guru terlatih dari
Yayasan Sofa, kepakaran membangunkan System Pengkalan Data Pelajar dan
pembangunan modal insan.
Pada majlis tersebut Tuan Haji Lokman Ab Hamid mewakili Yayasan Al
Hidayah menandatangani memorandum persefahaman, manakala Yayasan Sofa
diwakili Ustaz Abdullah. Majlis tandatangan itu telah disaksikan oleh
Pengasas Yayasan Sofa, Yang berbahagia Dato Sheikh Mohd Fuad Bin
Kamaludin Al Maliki dan Saudara Ashraf Muslim.
Di akhir majlis, Pengasas Yayasan sofa telah memberi kata-kata amanat
dalam merealisasikan penubuhan MATAH. Di dalam amanatnya, Dato’ Syeikh
meminta agar kedua-dua pihak dapat bersama-sama menggembeling tenaga
dalam usaha penubuhan MATAH untuk memartabatkan kalam suci Allah di atas
muka bumi ini. Beliau mengharapkan memorandum ini benar-benar akan
berlangsung dan berterusan hingga ke akhir hayat atas dasar penyatuan
persaudaraan.
“ Saya mengharapkan Yayasan Sofa benar-benar memberi bantuan dan
sumbangan dalam mencorakkan isi kandungan program ini. Di pihak Yayasan
Hidayah, saya harapkan dapat berusaha sedaya upaya memberikan keselesaan
kepada Ahli Ilmu atau Ahli Al-Quran yang akan menginap di Madrasah yang
akan ditubuhkan nanti. Telah menjadi pegangan saya bahawa sebenarnya
kita sedang melayan satu kumpulan manusia yang lebih besar kedudukannya
dari raja iaitu Ahli Ilmu dan Ahli Al-Quran, selepas nabi dan rasul.”
Beliau tidak bersetuju seandainya penubuhan sesebuah Maahad Tahfiz ini
di buat seolah-olah melepaskan batuk di tangga.
Majlis pada pagi itu turut diserikan dengan penyerahan Senaskhah
Al-Quran dan Plaka penghargaan daripada Pihak Yayasan Al Hidayah sebagai
tanda terima kasih di atas kerjasama yang telah pihak Yayasan Sofa
berikan. Bagi pihak Yayasan Al Hidayah, kami amat berbesar hati dan
merafaqkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan
izinNYA jua, majlis ini dapat disempurnakan. InsyaAllah hasrat murni ini
akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Amin Ya Robbalalamin.
No comments:
Post a Comment