Friday, January 4, 2013

Wajah-wajah sayu di mana sahaja
ABD JALIL ALI
3 Januari 2013
Hanya beberapa langkah keluar dari hotel, lelaki warga emas itu menerjah. Dalam hening senja wajahnya yang seribu kedut itu kelihatan pucat, lesu. Bagaikan tidak berdaya untuk dia berdiri lama.

“Saya lapar, Pak...lapar sekali!” suaranya hampir ditelan bunyi kenderaan yang memadati Jalan Pemuda, kota Semarang. “Tolongi saya, Pak. Saya bisa mati...” Dia merayu sambil terketar-ketar berjalan di sisi.

Dengan bunyi hon dan deru kenderaan tidak henti-henti, juga kebisingan hiruk-pikuk ribuan manusia, dan pekikan penjual bakso di kiri kanan jalan, tidak siapa mendengar rintihan si tua. Dan, tidak ada siapa yang peduli.

Hakikatnya ialah ada beratus – mungkin beribu – lagi pengemis berwajah duka yang sentiasa menadah tangan setiap masa, di mana sahaja. Hotel tempat saya menginap hanya kira-kira 500 meter dari Paragon, sebuah pusat membeli-belah terkini di bandar raya tersebut.

Berjalan kaki kira-kira 10 minit ke kompleks moden itu, akan mendedahkan kita kepada begitu ramai peminta sedekah. Kita akan diserbu kiri-kanan. Awal-awal pemandu kami memberi peringatan, kalau beri satu, ramai lagi akan menyerbu. “Bapak bisa mati,” katanya. Bukan mati, kehabisan duit, tetapi mati sesak nafas dikeronyok pengemis.

Tidak saja di sekitar kompleks beli-belah, kami menemui peminta sedekah hampir setiap tempat dikunjungi. Pusat bandar Semarang yang padat dengan hampir 2 juta penduduk, tidak berupaya menyediakan peluang kerja. Mengemis adalah satu-satunya cara untuk hidup.

Tidak kira di Tugu Muda, Masjid Agung, Lawang Sewu (bangunan zaman Belanda berpintu seribu), dan lain-lain tumpuan pelancong, sentiasa ada insan kerdil lagi longlai, merintih untuk semangkuk bakso dan segelas air kosong.

Di luar pusat bandar keadaan lebih memilukan. Di Masjid Demak, kira-kira dua jam berkereta dari pusat bandar, kumpulan peminta sedekah menyambut sebelum sempat kami keluar kenderaan.

Menurut cerita, masjid tertua di Semarang itu didirikan oleh Sunan Kalijogo – salah seorang dari Wali Songo (wali sembilan) pada awal kedatangan Islam di Nusantara. Konon masjid ini didirikan pada sebelah malam, tidak ada seorang pun yang sedar.

Bangun pagi semua terpegun sebab sebuah masjid telah tersergam indah. Demikianlah gambaran kehebatan Sunan Kalijogo. Mungkin benar, boleh jadi hanya penyedap cerita. Tetapi sekiranya pendakwah tersohor itu masih hidup, beliau pasti menangis berada semula di masjid tersebut sekarang.

Sebab di sekitar masjid tua itu sentiasa ada pengemis. Secara kebetulan kami tiba di situ hari Jumaat, jumlah pengemis dikatakan berkali ganda dari hari-hari biasa. Tidak sahaja orang tua, kanak-kanak yang sepatutnya masih bersekolah pun menghulur tangan meraih simpati.

Di bawah panas terik, ibu-ibu memangku bayi yang masih merah. Melihat keadaan bayi - berbogel atau ditutup kain biasa - kita dapat agak betapa mereka kekurangan zat.

Seorang ibu akui bayinya sudah tiga hari tidak minum susu sebab “nggak punya uang untuk beli susu...”

Saya teringat hari Jumaat di masjid tempat kita. Walaupun tidak ramai, biasa juga kita melihat peminta sedekah di beberapa masjid besar kita. Biasa juga kanak-kanak dan bayi digunakan untuk meraih simpati. Malah, ada juga seorang dua pengemis di pasar malam, stesen bas atau di lorong tertentu di KL.

Memerhatikan pengemis sepanjang lima hari di tempat orang, saya dapat bezakan antara KL dan Semarang. Di Semarang semua pengemis – kecil, besar, tua, muda, lelaki, perempuan – adalah rakyat tempatan.

Di tempat kita penadah tangan di masjid dan stesen bas sebahagian besar adalah warga asing. Sesetengahnya betul-betul mengemis untuk terus hidup. Tetapi, ramai juga pengemis didalangi sindiket terancang untuk mengaut wang mudah. Jika rajin, orang kita tidak perlu mengemis sebab ada banyak peluang untuk hidup di tempat kita. Hanya pemalas tegar yang akan mati kelaparan.

Perihal lelaki warga emas di Paragon itu, saya beri Rp50,000. Baru tiba, saya tidak ada tukaran lebih kecil. Nilainya kira-kira RM15. Dia memegang erat tangan saya, memandang saya lama-lama, kemudian menangis. Cepat-cepat saya berlalu, rasa saya pula hendak menangis!

No comments:

Post a Comment