Tahun 2013 sudah pasti tahun pilihan raya, tiada keraguan lagi. Semua
maklum hal ini. Tarikh PRU13 tidak begitu dibincangkan lagi sekarang.
Cepat atau lambat, bedanya tidak ketara, sama sahaja.
Walaupun
ramai menjangkakan Parlimen akan dibubar selepas Tahun Baru Cina --
mungkin atas perkiraan pengundi Tionghua yang sukar dijinakkan BN --
tetapi jika Najib Razak terus menganjak sedikit lagi ke depan, saya
rasa, tiada siapa yang peduli.
Setiap parti komponen dalam
Pakatan Rakyat dan BN sudah bersiap sedia sejak lebih setahun lalu,
malah mungkin sebahagiannya mula mengadu keletihan dan tidak mustahil
ada jentera kempen yang semakin kepupusan sumber.
Namun begitu,
tinjauan rambang yang saya lakukan secara tidak sengaja semasa cuti
hujung tahun baru-baru ini menunjukkan mood untuk melakukan perubahan
sukar digugat lagi.
Bertemu anak-anak muda yang kelihatan masih
mentah dalam politik dan tidak gemar berbicara soal pemerintahan, namun
apabila diajukan siapa pilihan mereka dalam pilihan raya, hampir sepakat
mahu melihat kerajaan dan pimpinan yang baru.
Di kenduri
kahwin, walaupun sekadar bersembang sepintas lalu sambil berselisih bahu
, tetapi ramai kenalan memberi mesej jelas: Cukuplah Umno yang korup
dan rasuah. Berilah peluang kepada Pakatan Rakyat untuk buktikan mereka
juga mampu menawarkan yang lebih baik.
"Saya
lama dalam kerajaan, masak sangat dengan bermacam-macam cara dan kaedah
rasuah, sebahagiannya tidak dapat dihidu undang-undang," bisik seorang
pesara kanan bahagian penguatkuasaan kepada saya semasa menjamah pemanis
mulut.
Segera saya teringat kalimat "korupsi berjemaah", suatu
istilah yang sememangnya tidak manis, tetapi mampu mengingatkan
bagaimana terancangnya jenayah keji itu.
Sambil berlibur di
lokasi peranginan, bukti-bukti penyalahgunaan kuasa elit Umno juga yang
ditunjukkan pemabaca Harakah kepada saya. Daripada projek-projek kecil
potong rumput dan papan tanda jalan, segalanya mahu dibolot, apatah lagi
agihan tanah dan anugerah jutaan ringgir, semuanya untuk kroni dan
suku-sakat. Termasuk kawasan perairan pantai yang cantik dan landai!
Dapatlah
saya rumuskan, komitmen tingi bagi memastikan kerajaan persekutuan
bertukar dalam PRU13 payah untuk digoncang. Semacam sudah ada sumpah
janji setia, kali ini BN mesti ditumbangkan. Cukuplah peluang diberi
selama lebih 55 tahun. Usah dirayu mandat rakyat lagi.
Bagaimanapun,
ia bukan bermakna Najib dan rakan-rakannya tidak berusaha untuk
melakukan perubahan (atau transformasi) bagi meraih sokongan rakyat.
Pelbagai taktik, strategi dan pendekatan diusahakan dalam pakej menarik.
Ia menghanguskan dana awam yang begitu besar jumlahnya tetapi majoriti
rakyat tetap memandang sinis dengan "perubahan" tersebut.
"Dr
Mahathir Mohamad dan Najib mempunyai persamaan dari segi membazirkan
khazanah negara, terutama hasil Petronas, tetapi sekurang-kurangnya di
zaman Mahathir ada juga monumen atau tugu-tugu yang dibinanya. Lihat
sendiri apa yang Najib buat dengan duit ratusan bilion? Hangus begitu
sahaja," marah seorang penganalisis politik.
Bahtera BN yang bocor dan mahu karam itu ternyata sukar diselamatkan lagi.
Semasa
berbincang dengan seorang sarjana politik terkemuka di rumahnya petang 1
Januari lalu, saya dapat mengesan keyakinan beliau bahawa era Umno-BN
hampir pasti berakhir. Saya sendiri terkejut, selalunya dia lebih suka
memberi pandangan sebagai "orang tengah" tetapi kali ini berbeda.
"Inilah
masa terbaik untuk negara kita berubah. Walaupun ada pihak berpendapat
Pakatan belum mampu berkuasa selepas PRU13 dan hanya akan mencipta
sejarah pada PRU14, saya berbeda dengan mereka," tegasnya sambil
mengingatkan, "jika Pakatan gagal kali ini, BN tidak dapat ditumbangkan
melalui pilihan raya lagi."
"Jadi, selepas itu, melalui jalan apa
pula?" tanya saya kebodohan. "Kalau terlepas kesempatan terbaik PRU13
ini, mungkin kerajaan hanya dapat ditukar melalui kebangkitan rakyat
seperti di Tunisia, Mesir, atau satu ketika dulu di Filipina," jawabnya,
selamba.
Saya terdiam. Kemudian saya menyoal balas: "Revolusi?" Tiada jawapan. Dia ketawa.
Biarpun
optimis Pakatan mampu menguasai Putrajaya, beliau agak kurang berpuas
hati dengan pendekatan pemimpin oposisi menangani serangan media.
"Pemimpin
PAS, DAP, KeADILan perlu bersama, bersatu tenaga, bukan sekadar
menyanggah tohmahan, malah menjadikan isu yang dimainkan media itu,
misalnya Hudud dan terbaru Amanat Haji Hadi, sebagai pukulan maut kepada
Umno," tambahnya.
Nampaknya beliau lebih percaya dengan
keupayaan gelombang kesedaran rakyat, tetapi masih meletakkan syarat,
iaitu kebijaksanaan pemimpin Pakatan menangani konflik dan cabaran.
"Tentulah
BN tidak akan duduk diam menunggu saat kejatuhannya. Akan adalah
pelbagai taktik kotor, penipuan, manipulasi, sabotaj dan sebagainya.
Bila ada aksi tentu ada reaksi. Pemimpin Pakatan harus bersedia berdepan
dengannya," ujarnya.
Tidak lupa beliau berpesan kepada Harakah
agar mengemukakan isu-isu besar dan real, yang dirasai dan dideritai
majoriti rakyat, terutama berkaitan kehidupan seharian, serta tidak
mudah dipengaruhi isu-isu tempelan.
"Kita mahu mempengaruhi
pembaca, jadi bentangkan fakta yang benar, sahih dan buat perbandingan
mudah melalui grafik menarik. Elak serangan membuta tuli, apatah lagi
cacian dan bahasa kesat. Rakyat semakin bijak menilai," pesannya.
II. Hak untuk menjawab yang tidak diambil peduli media
Saya suka melihat isu 'Amanat Haji Hadi' daripada perspektif pengamal media.
Menerusi
Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, anjuran Kumpulan Aktivis Media
Independen (KAMI), pertengahan tahun lalu, ditimbulkan "hak untuk
menjawab", yang jarang diberikan perhatian selama ini.
Amat pelik
menyaksikan situasi yang sering terpapar dalam media, khususnya Utusan
Malaysia dan TV3, apabila seseorang tokoh pembangkang diserang kiri dan
kanan, berhari-hari lamanya, tanpa diberi peluang untuk personaliti
berkenaan menjawab.
Tentu kita masih belum lupa bagaimana
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dikecam keras berikutan kenyataannya
mengenai Mat Indera dan tragedi Bukit Kepong. Utusan Malaysia selama
hampir tiga minggu mengumpulkan pandangan pelbagai sumber, bukan sahaja
untuk memburukkan imej pemidato popular itu, malah mahu merosakkan
kewibawaan PAS sebagai parti Islam.
Malang sekali, Mat Sabu tidak
diberi ruang untuk menjawab ke atas isu yang dilemparkan kepadanya
sehingga terpaksa menggunakan ruang mahkamah untuk "membela diri".
Begitu
juga dengan serangan media terhadap isu lebih 4,000 hektar tanah di Gua
Musang yang didakwa telah diberikan kerajaan Kelantan kepada dua
pemimpin DAP Perak, sebagai "habuan politik yang membolehkan PAS
mendapat kompromi DAP bagi meletakkan Mohamd Nizar Jamaludin sebagai
Menteri Besar Perak pada 2008".
Fitnah yang diulang-ulang,
walaupun selepas pihak kerajaan Kelantan memberi penjelasan lengkap,
kononnya Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merasuah Adun
Setiawan merangkap Ahli Parlimen Beruas juga selaku Pengerusi DAP Perak,
Ngeh Koo Ham dan Adun Pantai Remis merangkap Ahli Parlimen Taiping, Nga
Kor Ming dalam bentuk konsensi tanah.
Sehingga 1 Januari 2013, saya perhatikan Utusan Malaysia masih menyebarkan fitnah dan pembohongan tersebut.
Justeru,
tentulah ada kewajaran untuk Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang
mengenakan syarat agar penjelasannya mengenai "amanat" yang berusia 31
tahun itu disiarkan secara langsung melalui TV.
Selama ini RTM
dan TV3 beraksi sebagai stesen rasmi Umno-BN, bukan saja menggelapkan
berita pembangkang, malah memutar-belitkannya untuk tujuan yang sarat
dengan kepentingan politik parti pemerintah.
Ya, boleh saja
perkembangan saingan politik BN itu digelapkan, tetapi apabila difitnah
atau ditohmah, seperti berlaku kepada Mat Sabu dan isu balak Kelantan
itu, maka mereka yang berasa terkilan dengan laporan berkenaan perlu
diberi peluang untuk menjawab.
Hak untuk menjawab ini perlu dihormati oleh pengamal media, terutama pemiliknya.
III. Bukan soal kepentingan, tetapi demi kebenaran
Seorang rakan saya meramalkan Deepak Jaikishan akan menjadi individu
paling berpengaruh dalam kempen PRU13 nanti. Saya tidak begitu mengikuti
pendedahan beliau terhadap keluarga Najib, walaupun tuduhannya, bersama
bukti-bukti yang dikemukakan (terbaru, telah teredar buku kecil
mengenainya), mempunyai impak yang cukup besar.
Agak hairan juga
dengan sikap membisu pihak berkuasa, terutama polis, terhadap
tuduhan-tuduhan yang amat dahsyat itu, apatah lagi jika ia dikaitkan
dengan akuan bersumpah kedua P Balasubramaniam, berkaitan pembunuhan
Altantuya Shariibuu.
Walaupun media di bawah kawalan Umno-BN cuba
menutup kemas suara Deepak ini, namun saya percaya kes berprofil tinggi
itu hanya menunggu masa untuk meletup. Deepak sudah memulakan, dan ia
tidak akan berakhir di situ sahaja.
Syak dan keraguan orang
ramai, termasuk saya, bertambah kukuh, selepas didedahkan urusniaga
melibatkan pembayaran ratusan juta ringgit, dipercayai untuk menutup
kelantangan Deepak.
Tanpa perlu kita mengetahui dengan terperinci
butiran pertuduhan (Najib), cukup dengan hanya melihat reaksi orang
yang dituduh (Najib dan Rosmah)), sudah dapat membayangkan kebenaran
tuduhan berkenaan. Gerak dan langkah Najib diperhatikan dengan penuh
minat.
Sebelum ini ada pihak cuba mempersoalkan kredibiliti
Deepak dan motif beliau membuat pendedahan menggemparkan itu. Kata
orang, dia mempunyai kepentingan tertentu sehingga sanggup mengambil
risiko besar. Deepak dilihat melakukannya demi keuntungan peribadi.
Motif pihak yang mempertikai Deepak, jelas sekali iaitu bagi melemahkan
segala dakwaannya terhadap Najib dan Rosmah.
Tanpa mengenali
lebih lanjut siapa Deepak, dan kalaupun beliau sememangnya mempunyai
tujuan tersirat, atau dia berasa marah kerana "janji tidak ditepati",
bagi saya, apa yang hendak dihairankan? Apakah salah tindakan seseorang
jika didorong oleh kepentingan peribadi?
Misalnya, semasa
mendedahkan skandal rasuah Dr Khir Toyo, sepuluh tahun lalu, saya dari
awal tahu bahawa sumber-sumber yang membocorkan rahsia kepada saya
adalah pihak-pihak yang berkepentingan untuk menjatuhkan bekas Menteri
Besar Selangor itu. Mereka mungkin ada masalah peribadi dengannya atau
sememangnya seteru politik Khir sendiri? Ia langsung tidak menjejaskan
misi saya.
Begitu juga kepentingan Deepak dalam kes membabitkan
keluarga Najib ini. Yang penting apakah pendedahannya itu benar dan
sahih. Niat dan motifnya, serahkan saja kepada Deepak. Atau apakah anda
mengharapkan Deepak berada "dalam perjuangan membela kebenaran" sebelum
mempercayainya?
Isu besarnya, jika tuduhan beliau palsu dan
bohong semata-mata, apakah perlu Deepak disogok lagi? Orang ramai sedang
menanti tindakan undang-undang yang dimulakan oleh Najib dan Rosmah.
Mereka pelik melihat "kesabaran" dua suami isteri paling popular itu
diserang pelbagai "tohmahan".
Apa pun, kes ini hanya membuatkan
orang ramai bertambah muak dengan budaya rasuah yang bermaharajelala
dalam elit penguasa. Ia semakin membusuk dan menanah. Hanyir sekali.
Baunya tidak dapat ditutup.
Selepas Altantuya Shariibuu
diletupkan dengan tragis sekali pada 2006, sama-samalah kita tunggu,
pada 2013, siapa pula yang bakal berkecai?
No comments:
Post a Comment