Diriku berharga
Oleh Hj Lokman Abd Hamid
KISAH ini benar-benar berlaku kepada seorang pesakit saya yang
berusia 46 tahun dari Johor Bahru. Beliau disahkan menghidap kanser
payudara pada Mac 2006. Kanser itu telah merebak ke paru-paru dan tulang
belakang. Kejadian menarik dalam cerita ini adalah bagaimana rakan
sekerja dan anak-anak murid di sekolahnya beramai-ramai membacakan Surah
Yassin di kantin sekolah dan berdoa kepada Allah SWT di saat-saat
beliau menjalani pembedahan yang kritikal di hospital.
Atas keberkatan doa mereka, dengan keizinan Allah, banyak perubahan
positif berlaku padanya ketika itu. Saya harap pembaca dan pesakit
kanser mendapat iktibar daripada kisah ini.
Kisah ini adalah bukti hidup mukjizat Al-Quran dan doa ikhlas mampu menyembuhkan penyakit kanser dengan keizinan Allah.
HIDUP ibarat roda. Putarannya membawa kita ke atas dan bawah. Andai
di atas, tidak semestinya selamanya di atas. Andai di bawah, kita tidak
semestinya sengsara.
Begitu juga pengorbanan. Kadangkala kita rasa pengorbanan kita tidak
dipedulikan. Namun sekali diuji, kita tahu betapa erat setiakawan,
betapa diri dikenang dan dihargai.
Ayah dan ibu saya meninggal dunia akibat kanser. Jadi, kanser ibarat
musuh utama dan perkara paling saya tidak mahu ingat atau fikir.
Ia bagai mimpi ngeri. Mimpi ngeri yang bertukar menjadi realiti.
Kisah kanser saya bermula 9 Januari 2006, tarikh yang tidak akan saya
lupa.
Saya memberanikan diri membuat pemeriksaan di klinik swasta andainya saya mempunyai kanser payudara.
Doktor membuat pemeriksaan dan hasilnya negatif - bukan kanser.
Saya kurang berpuas hati. Pada Mac tahun yang sama, saya membuat pemeriksaan di hospital kerajaan.
Ketika itu, doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara dan perlu menjalani pembedahan segera.
Saya terkenangkan ibu dan ayah yang meninggal akibat kanser. Tidak sanggup rasanya menjalani pembedahan.
Ketika itu, saya diperkenalkan kepada tabib Cina yang memeluk Islam dan merawat menggunakan teknik akupuntur.
Lama-kelamaan kesihatan saya semakin pulih, biarpun waktu malam, saya
rasa kesakitan teramat sangat pada payudara. Sakitnya ibarat dihiris
pisau. Menjelang pagi, saya kembali pulih dan bersemangat ke sekolah.
Hampir setahun menjalani rawatan dengan tabib, saya beransur pulih.
Pada Ogos 2008, tabib tadi berpindah ke Negeri Sembilan dan saya sakit
kembali.
November 2008, saya batuk-batuk. Saya mengambil ubat batuk di klinik
biasa. Saya tidak memberitahu doktor mengenai kanser kerana fobia.
Lama-kelamaan, batuk saya semakin serius dan mengalami sesak nafas.
Doktor klinik swasta yang memeriksa, membuat x-ray dan menasihatkan saya
supaya merujuk ke hospital.
Ketika itu, saya mengaku menghidap kanser dan minta dirawat di
Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana yakin dengan
kepakaran di situ.
Doktor mengesahkan kanser telah merebak ke tulang belakang dan saya dikehendaki menjalani kemoterapi enam kali.
Pertama kali menjalani rawatan kemoterapi, saya tidak mampu berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.
Saya bertanya doktor, adakah kanser saya sampai ke tahap empat? Doktor mengakuinya. Doktor memberikan saya kata semangat.
Menurutnya, mereka tidak mengira tahap. Ada pesakit pada tahap satu,
meninggal dunia. Ada pesakit pada tahap empat, tetapi sihat semula. Apa
yang penting, ikhtiar dan tawakal.
Setelah tamat rawatan kemoterapi pertama, saya pulang ke Johor. Waktu
berlalu, penyakit saya masih tidak sembuh. Suatu hari, saya terkena
demam panas dan dikejarkan ke Hospital Puteri di Johor.
Itulah saat paling perit. Doktor mendapati kanser saya telah merebak
ke paru-paru. Badan saya makin lemah, saya hanya mampu duduk di kerusi
roda. Pergerakan psikomotor saya semakin perlahan.
Penyakit saya jelas kelihatan dari segi fizikal. Ketika itu,
terbayang wajah anak-anak dan suami serta kerjaya guru yang melengkapi
hidup saya.
Apabila memikirkan anak-anak yang sedang membesar, saya kuatkan diri
melawan penyakit kerana saya mahu anak-anak membesar dengan kasih sayang
seorang ibu di sisi mereka.
Doktor meminta izin untuk menebuk tulang belakang saya. Katanya, jika
air yang keluar itu adalah air kanser, kemungkinan untuk saya lumpuh
amat tinggi. Saya reda.
Saya memujuk hati saya. Itu hanyalah kajian manusia. Allah SWT lebih berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Apabila ditebuk, ternyata air kanser yang keluar. Namun, keajaiban
berlaku. Selepas pembedahan itu, kebiasaannya pesakit akan menjadi
semakin kronik sebaliknya saya semakin stabil sehingga mampu terlena
selepas pembedahan tebuk tulang belakang tersebut.
Bukan semua musibah itu pahit. Ia juga ada kemanisannya. Pada hari
saya ditebuk tulang belakang itu, saya sudah berada di ambang maut.
Peluang saya masih samar-samar. Pada ketika saya dibedah itulah,
suami menghubungi rakan di sekolah dan memberitahu keadaan saya.
Rakan tersebut memberitahu guru besar dan serta-merta guru besar
membuat pengumuman untuk memberhentikan pembelajaran. Beliau menyuruh
semua pelajar ke kantin lalu mengadakan bacaan Yasin untuk saya ketika
itu juga.
Ketika pengumuman itu dibuat, waris yang tinggal di sekitar juga
turut terdengar. Mereka datang membacakan Yasin untuk saya dalam suasana
hiba.
Ketika saya kembali sedar, rakan-rakan guru yang menziarahi saya menceritakan semula detik-detik itu.
Saya menangis terharu. Oleh kerana doa merekalah, keajaiban berlaku kepada saya pada hari pembedahan tersebut.
Ketika itu, saya merasakan pengorbanan saya selama ini bersusah payah
mendidik anak bangsa dengan penuh keikhlasan, berbaloi dengan
penghargaan sebegini rupa oleh para rakan, waris dan anak-anak pelajar
saya sendiri.
Kini baru saya sedar bahawa selama ini diri saya amat dihargai. Setelah kesihatan agak stabil, saya menyambung rawatan ke HUKM.
Doktor melakukan bone scanning dan mendapati kanser telah merebak
hingga ke tulang belakang saya, di kawasan T11. Doktor tiada pilihan
lain selain menasihatkan saya terus menjalani kemoterapi, satu sesi demi
satu sesi.
Ketika itu, saya menemui rawatan Al-Hidayah melalui rancangan televisyen Astro Oasis Penawar Syifa".
Saya mula mendapatkan rawatan pada awal 2011 dan diberikan beberapa rangkaian ayat al-Quran untuk dibaca.
Sejak berubat dengan menggunakan ayat al-Quran ini, kesan yang paling jelas terasa adalah hati dan jiwa saya semakin tenang.
Kesakitan yang berdenyut-denyut di kawasan payudara selama ini
hilang. Malah, luka-luka di sekitar tempat sakit juga mulai kering
dengan izin Allah.
Hati saya terasa amat dekat dengan Allah. Diri ini semakin reda
dengan ujian-Nya. Selain sembuh dengan mengamalkan rawatan ayat-ayat
al-Quran, saya turut membiasakan diri membaca al-Quran setiap hari
secara istiqamah dan berjadual - selepas solat Subuh dan Maghrib. Saya
semakin bersyukur dengan kesakitan yang menimpa ini.
Banyak petunjuk oleh Ilahi. Saya tidak mengeluh dengan nasib yang
menimpa diri, sebaliknya bersyukur dengan musibah yang diberikan.
Saya kembali ke hospital pada penghujung 2011 untuk membuat
pemeriksaan tahap kanser saya. Doktor bertugas berkali-kali menyuruh
saya membuang air dan diperiksa semula.
Saya berasa hairan dan bertanya kepada doktor, apa sebenarnya yang
sedang berlaku kepada saya? Lalu doktor memberitahu beliau kehairanan.
Ke mana hilangnya kanser saya selama ini? Katanya kawasan tulang
belakang saya bersih dan paru-paru saya pula kembali ke bentuk asal! Ia
bererti saya kembali normal!
Doktor tidak dapat menjelaskan dengan ilmu perubatannya tentang apa yang sedang berlaku kepada saya.
Kesimpulannya, ia adalah satu keajaiban. Namun, bagi saya ini semua kuasa Allah SWT. Tiada yang mustahil.
Saya berasa amat bersyukur kepada Allah. Daripada kesakitan hingga
tidak mampu sedarkan diri dan dibacakan Yasin, kanser merebak ke seluruh
anggota tubuh, hari ini saya kembali normal.
Memang sukar untuk diceritakan dengan kata-kata, sebuah pengalaman yang cukup indah dalam keperitan.
Pada November 2012, saya disahkan mendapat cancer relapse". Ada
ketumbuhan baru di payudara, tempat kanser yang lama. Saya disyorkan
menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali lagi. Saya reda dan
yakin dengan mukjizat al-Quran, saya akan sembuh insya-Allah.
No comments:
Post a Comment