Doa mohon zuriat
Soalan
SAYA berumur 37 tahun, sudah berumahtangga selama 12 tahun
tetapi belum mempunyai cahaya mata. Saya dan suami sudah menjalani
pemeriksaan di hospital dan doktor mengesahkan kami tiada masalah
kesuburan.
Kami telah menjalani proses IUI sebanyak tiga kali tetapi gagal. Dua
tahun lalu, atas nasihat doktor, kami menjalani IVF. Saya hamil, tetapi
selepas dua bulan saya keguguran.
Bolehkah Tuan Haji Lokman memberikan saya ayat al-Quran untuk menolong kami mendapat zuriat?
* Halimah, Kuala
Walaupun wanita hanya melepaskan satu telur tiap bulan, lelaki
mengeluarkan satu hingga tiga juta sperma dalam satu ejakulasi.
Persenyawaan bergantung kepada bilangan benih lelaki yang mencukupi dan
mampu bergerak.
Keduanya, saluran peranakan wanita mempunyai bentuk normal dan tidak
ada sekatan atau rintangan yang menghalang perjalanan benih lelaki. Ovum
biasa boleh hidup selama 24 ke 28 jam selepas keluar dari ovari.
Persetubuhan mesti dilakukan dengan jaya pada waktu kesuburan isteri,
kerana ketika itu ovum dikeluarkan.
Masalah kesuburan wanita
1. Endometriosis
Keadaan ini luar biasa di mana tisu dari selaput dalam rahim iaitu
endometrium tumbuh di bahagian yang tidak sepatutnya iaitu di luar rahim
seperti di sekeliling ovari, tiub fallopian, permukaan luar rahim, usus
dan pelvik.
Biasanya apabila kedatangan haid tisu endometrium di dinding rahim
menebal untuk membantu proses persenyawaan. Apabila tiada proses
persenyawaan, dinding uterus luruh dan berlakunya haid.
Sekiranya ada tisu endometrium di luar rahim seperti di ovari atau
usus, ketika haid, tisu endometrium akan mengeluarkan darah tetapi tidak
dapat mengalir keluar melalui faraj seperti biasa, akibatnya darah
berkumpul menjadi gumpalan darah kotor yang menyebabkan kerosakan kepada
organ peranakan wanita.
Endometriosis juga boleh mengeluarkan beberapa jenis racun dan
bakteria yang boleh mematikan benih sperma, telur atau janin. Ini
menyebabkan kemandulan dan keguguran.
2. Kerosakan tiub Fallopian
Saluran Fallopian adalah penting dalam sistem reproduktif wanita.
Melaluinya benih lelaki bergerak menemui dan bercantum dengan ovum
wanita untuk persenyawaan. Kadang kala tiub Fallopian tersumbat disebabkan jangkitan kuman atau ketumbuhan seperti fibroid dan endometriosis.
3. Hormon dan haid
Satu keseimbangan hormon seks (estrogen, progesteron, hormon
luteinizing, hormon merangsang folikel) diperlukan untuk pertumbuhan dan
tepat pada masanya pembebasan telur dari ovari (ovulasi).
Ketidakseimbangan hormon menyebabkan gangguan ovulasi wanita dan punca paling biasa ketidaksuburan dalam kalangan wanita.
4. Fibroid
Fibroid adalah ketumbuhan daripada tisu pada dinding rahim, khususnya
lapisan otot. Apabila membesar, fibroid memberi pelbagai masalah
seperti mengalami haid yang banyak atau sakit semasa haid.
Fibroid boleh mengakibatkan masalah kesuburan namun ramai wanita
mengalami masalah fibroid tetapi masih boleh mengandung dan melahirkan
anak.
5. Sindrom Ovari Polisistik (Polycystic Ovarian Syndrome- PCOS)
Antara tanda utama PCOS, tiada ovulasi, ovari bengkak dan mengandungi
sist kecil di dalamnya yang menyebabkan kitaran haid tidak menentu dan
menyumbang kepada masalah kesuburan.
Masalah kesuburan lelaki
- kekurangan sperma
Ia berlaku apabila bilangan sperma rendah atau oligosperma semasa ejakulasi.
Jumlah sperma dianggap lebih rendah daripada biasa jika semasa
ejakulasi bilangannya kurang daripada 15 juta setiap mililiter air mani.
Keadaan tiada langsung sperma di dalam air mani dipanggil
azoospermia. Punca kekurangan atau ketiadaan sperma dalam air mani boleh
disebabkan oleh jangkitan kuman seperti penyakit kelamin atau bengkak
buah zakar disebabkan masalah benguk (mumps).
Selain itu, saluran air mani yang mengalir daripada kilang testis
boleh rosak atau tersumbat. Ketidakseimbangan hormon juga mampu
menyebabkan tiada pengeluaran air mani. Terdapat banyak lagi punca lain
bagi masalah kekurangan sperma.
Rawatan masalah kesuburan
Terdapat pelbagai rawatan moden bagi mengatasi masalah kesuburan
seperti intrauterine insemination (IUI), invitro fertilization (IVF) dan
Intracytoplasmic sperm injection (ICSI) dan gamete intrafallopian
transfer (GIFT).
Semua kaedah ini antara usaha yang perlu dilakukan oleh pasangan suami isteri yang mengalami kesukaran mendapatkan zuriat.
Ia mengikut hukum syarak dan diluluskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada 16 dan 17 November
1982 membincangkan isu Bayi Tabung Uji. Ia memutuskan bahawa bayi tabung
uji daripada benih suami isteri yang dicantumkan secara terhormat"
adalah sah di sisi Islam. Sebaliknya benih yang diambil bukan daripada
suami isteri yang sah, bayi itu adalah tidak sah.
Bayi yang dilahirkan melalui kaedah tabung uji boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pesaka.
Berdasarkan pengalaman mengubati kes kesuburan, ada melibatkan
gangguan jin dan sihir. Salah satunya sihir pemisah yang dilakukan bagi
memisahkan pasangan suami isteri atas sebab tertentu. Perpisahan suami
dan isteri menjadi tumpuan iblis dan syaitan.
Di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 102, Allah SWT menyatakan ilmu sihir
boleh menceraikan seorang suami dengan isterinya. Di dalam Tafsir Ibnu
Kathir diceritakan dengan jelas bahawa syaitan amat menghargai
golongannya yang mampu memisahkan sepasang suami isteri.
Selain sihir, gangguan saka juga boleh mengakibatkan masalah kesuburan dan keguguran.
Dalam kes Puan Halimah, walaupun telah disahkan oleh pihak hospital
yang anda dan suami tiada masalah kesuburan tetapi masih gagal untuk
mendapatkan zuriat.
Walaupun berlaku pensenyawaan tetapi jin dan iblis dalam badan isteri
akan merosakkan janin dalam rahim dan berlakunya keguguran.
Saya ingin menasihati agar pasangan suami isteri dapat memastikan
mereka tidak ada gangguan jin dan sihir di dalam badan mereka sebelum
melakukan rawatan IUI atau IVF.
Kos rawatan IUI dianggarkan antara RM500 hingga RM3,000 bergantung
kepada rawatan dilakukan di hospital kerajaan atau swasta. Manakala,
rawatan IVF pula dianggarkan antara RM10,000 hingga RM 20,000.
Memandangkan kos nya tinggi, lebih baik sekiranya dapat memastikan tiada
gangguan jin dan sihir di dalam badan terlebih dahulu sebelum
melakukannya.
Proses rawatan adalah mudah dan tidak memakan masa lama. Ayat-ayat
Al-Quran yang boleh diamalkan untuk mengeluarkan jin-jin dan sihir
adalah seperti berikut:
1. Surah Al-Mukminun, ayat 105 hingga 118
2. Surah Fussilat, ayat 25 hingga 44
3. Surah Al-Baqarah, ayat 165 hingga 186
4. Surah An Nahli ayat 40 hingga 62.
Manakala, untuk pasangan yang mengalami masalah kesuburan yang
bersifat perubatan yang tidak ada kena mengena dengan masalah gangguan
seperti penyakit endometriosis, PCOS, dan lain-lain, ayat Al-Quran yang
selalu diamalkan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah adalah seperti
berikut:
1. Surah Maryam, ayat 31 hingga 48
2. Surah An-Nahli, ayat 81 hingga 89
3. Surah Ibrahim, ayat 32 hingga 43
4. Surah Maryam, ayat 75 hingga 98
5. Surah An Nahli, ayat 66 hingga 74
6. Surah An Nisaa, ayat 127 hingga 140
Akhir sekali, nasihat saya, usahlah berputus asa dengan rezeki Allah.
Berikhtiar dan pastikan segala ikhtiar kita tidak bertentangan dengan
syarak.
Allah Maha Mendengar, berdoalah kepada-Nya. Tiada yang mustahil bagi
Allah untuk menunaikannya seperti mana Allah telah menunaikannya untuk
Nabi Zakaria,
"Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu akan
(beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum
pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia." - Maryam, 7
Ingat, biar apa jua masalah kesuburan yang sedang dialami, malah
meskipun mengalami masalah mandul, Allah masih mampu mengurniakan
zuriat, seandainya kita terus berdoa dan berikhtiar.
Zakaria berkata: Ya Tuhanku, bagaimana akan ada anak bagiku,
padahal isteriku adalah seorang yang mandul dan aku (sendiri)
sesungguhnya sudah mencapai umur yang sangat tua." - Maryam, 8
Mengapa saya berkata begini? Kerana telah banyak masalah kesuburan
yang saya temui, dan Alhamdulillah, Allah memperkenankan usaha kami dan
doa pasangan, sesungguhnya kita sebagai manusia hanya mampu berusaha dan
berdoa.
Bukanlah mustahil untuk Allah memakbulkan doa kerana firman
Allah..Demikianlah." Tuhan berfirman: Hal itu adalah mudah bagi-Ku;
dan sesunguhnya telah Aku ciptakan kamu sebelum itu, padahal kamu (di
waktu itu) belum ada sama sekali." - Maryam, 9
No comments:
Post a Comment