Friday, January 18, 2013

Solat berjemaah sunnah tak wajar diabaikan



Abdullah bin Mas’ud berkata: “Sesiapa yang mahu menemui Allah dengan status Muslim pada hari kiamat nanti hendaklah mematuhi waktu solat yang diwajibkan kepadanya. Laksanakanlah sebaik saja selepas mendengar azan. Sebenarnya Allah sudah menunjukkan kepada Nabi saudara sekalian jalan petunjuk. Dan menjaga waktu solat itu adalah antara petunjuk yang dibawa oleh Nabi. Sekiranya saudara masih bersembahyang sendirian di rumah, bermakna saudara sengaja meninggalkan sunnah Nabi saudara.

Sekiranya saudara meninggalkan sunnah Nabi, saudara semua sesat. Orang yang tidak bersolat secara berkumpulan adalah golongan munafik yang jelas. Terdapat juga seseorang yang datang menyelitkan diri dalam solat berkumpulan hingga beliau berada dalam barisan orang bersolat itu kerana mengetahui betapa besarnya pahala bersolat berkumpulan itu.” (Direkodkan oleh Muslim)



Dalam catatan lain yang direkodkan oleh Muslim dinyatakan sebenarnya Rasulullah SAW mengajarkan jalan terbaik untuk kita satu daripada jalan itu adalah solat berjemaah di masjid yang dilaungkan azan padanya.


Abu Darda’ melaporkan: “Saya mendengar Rasulullah menerangkan sekiranya dalam sebuah kampung ada tiga orang dan mereka tidak mendirikan solat berkumpulan sebenarnya mereka sudah dikalahkan oleh syaitan. Hendaklah saudara semua menunaikan solat secara berkumpulan. Ini kerana kambing yang mengasingkan diri daripada kumpulannya, lebih mudah dibaham oleh serigala.” (Direkodkan oleh Abu Daud dan ia adalah hadis hasan)

Abu Hurairah melaporkan Rasulullah menerangkan: “Demi Allah yang menguasai seluruh jiwa raga saya. Ingin saja saya minta diambilkan kayu api lalu ia dikumpulkan. Kemudian saya menyuruh melaungkan azan sebelum menunaikan solat dan menyuruh seorang lelaki menjadi imam. Kemudian saya pergi sendiri ke rumah-rumah orang lelaki yang tidak pergi menunaikan solat berkumpulan. Terasa seperti ingin membakar saja rumah-rumah mereka itu.” (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Sumber: Kitab Riyadus Solihin Taman Orang Soleh

No comments:

Post a Comment