Ketagihan menjadi-jadi di Baitullah
SIKAP ego Nasir (bukan nama sebenar) yang tidak pernah mengendahkan
teguran orang ramai terhadap tabiat kuat merokok akhirnya dizahirkan
oleh Allah SWT ketika berada di Baitullah al-Haram.
Walaupun sudah memasuki golongan warga emas dan keadaan fizikal yang
kurang berkemampuan, namun ketagihan dirinya terhadap rokok tidak dapat
dibendung sehingga dianggap perbuatan itu tidak bersalah.
Ibarat mencurah air di daun keladi, tidak kira di mana atau siapa
sahaja yang datang menegur dan cuba menghalang lelaki berusia 70 tahun
itu daripada merokok, namun semua usaha tersebut hanyalah sia-sia.
Sehinggalah tiba giliran Nasir diundang oleh Allah SWT untuk
mengunjungi rumah-Nya ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah fardu
Haji.
Dinasihati
Nasir yang hanya berkerusi roda itu turut dinasihati oleh doktor
supaya berhenti merokok ketika membuat pemeriksaan kesihatan kerana
dikhuatiri mengganggu kesihatan Nasir sewaktu menunaikan ibadat dalam
rukun Islam kelima itu.
Tidak mengendahkan semua teguran itu, Nasir meneruskan tabiatnya
sebagai perokok tegar apabila tiba di Mekah walaupun ketika sedang
menunaikan ibadah Haji.
Malangnya, sikap keras kepala tersebut bertukar padah apabila
ketagihannya menghisap rokok semakin menjadi-jadi sehingga menjejaskan
kesihatan dan mengganggu Nasir untuk melaksanakan ibadah haji.
"Dikatakan sebanyak empat kotak rokok berisi 20 batang dibawa oleh
Nasir sebagai bekalan untuk menghilangkan ketagihannya sepanjang berada
di Mekah sebelum berangkat ke tanah suci itu.
"Apabila berada di sana pantang ada waktu terluang, Nasir pasti akan
mengeluarkan simpanan rokok yang dibawanya setibanya di Madinah.
Malangnya menghisap rokok telah difatwakan haram oleh kerajaan Arab
Saudi, justeru kebanyakan ruang legar di sekitar penginapan meletakkan
tanda dilarang merokok.
"Tidak menghiraukan tegahan itu, Nasir tetap bernekad untuk
mengurangkan ketagihan dengan menghisap rokok di pesisir jalan raya
walaupun berada jauh daripada hotel.
"Larangan itu juga sebenarnya bagi menyuruh jemaah yang mengunjungi
Mekah dan Madinah agar menghormati junjungan mulia Rasulullah SAW," ujar
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Mohd.
Daud Che Ngah ketika menceritakan kisah tersebut.
Berdebu
Mohd. Daud berkata, selain itu keadaan persekitaran yang berbeza di
Malaysia dengan tanah Mekah yang kering dan berdebu boleh mendatangkan
penyakit dan melemahkan tubuh seperti batuk dan selesema sekiranya
jemaah tidak menjaga kesihatan dengan baik.
"Merokok adalah antara amaran yang dinasihatkan kepada jemaah umrah
atau Haji supaya ditinggalkan sepanjang berada di Baitullah itu kerana
boleh menyebabkan penyakit serta memudaratkan diri sendiri.
"Bukan itu sahaja, malah tabiat merokok juga boleh menjejaskan
ganjaran ibadah umrah dan Haji kerana melakukan perbuatan yang tidak
disukai oleh Allah SWT," jelasnya.
Namun siapa sangka, Mohd. Daud menceritakan takdir oleh Allah SWT,
semakin lama berada di Mekah ketagihan Nasir terhadap rokok semakin
menjadi-jadi.
Cacing kepanasan
KEADAANNYA sehinggakan seperti cacing kepanasan yang tidak senang
tidak senang duduk dan juga melaksanakan beribadat kerana keinginannya
hanya untuk mendapatkan rokok walaupun sedikit.
Jemaah lain hanya mampu terus menasihati Nasir untuk bertaubat dan
berhenti daripada merokok dengan alasan bimbangkan keselamatan Nasir
yang sudah bergelar warga emas itu.
Sehinggalah ditakdirkan, semasa bermalam di Mina, Nasir sekali lagi
melepaskan giannya dengan menghisap rokok di sekitar khemah tempat dia
bermalam.
"Lalu datang seorang lelaki berbangsa Arab dengan tidak semena-mena
menjerkah ke arah Nasir dengan mengatakan,
"Haram merokok! ini
berkemungkinan menyebab khemah terbakar".
"Terkejut dan gerun dengan suara teguran tersebut, Nasir terus
mematikan baki puntung rokok yang dihisap sebelum membuangnya serta
merta," katanya.
Namun, tidak berakhir di situ, beberapa hari kemudian ketagihan Nasir
terhadap rokok kembali lagi. Nasir akan mengambil kesempatan melepaskan
giannya walau dengan apa cara sekalipun.
Sehingga kini, ketagihan Nasir terhadap merokok masih tidak dapat
dibendung dan kekal berterusan walaupun sudah pulang ke tanah air seusai
menunaikan fardu haji
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130122/ba_01/Ketagihan-menjadi-jadi-di-Baitullah#ixzz2IlgOAuCf
No comments:
Post a Comment