Monday, January 7, 2013


Meneruskan diskusi baru tempatan
SAIFUDDIN ABDULLAH
SAIFUDDIN ABDULLAH 
Seperti saya nyatakan dalam ucapan dan penulisan-penulisan mutakhir ini, kita perlu menjadikan 2013 sebagai tahun memulakan “diskusi baru” tentang keadaan negara untuk kebaikan berganda buat semua.

Sebagai Ahli Parlimen Temerloh, pada 5 Januari lalu, saya mempengerusikan persidangan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT) ke-7. Dari sudut diskusi baru ini, MPPT signifikan dari beberapa segi.

Pertama, MPPT ialah satu-satunya mini Parlimen tempatan (akar umbi) di negara ini. Ia dianggotai perwakilan sektor-sektor kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil. Objektifnya: membincangkan dasar, program dan sistem penyampaian kerajaan; dan mendapatkan idea serta pendapat rakyat untuk membentuk dasar dan program pembangunan tempatan khususnya, serta kerajaan amnya.

Pelaksanaan MPPT ialah penghayatan “kerangka governans baru”, iaitu sebahagian daripada perbincangan buku saya, Politik Baru (2008), yang dilancarkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri pada masa itu.

Kedua, dalam konteks Program Transformasi Nasional, MPPT adalah platform tempatan melaksanakan “inovasi demokrasi”.

Dalam demokrasi hari ini, partisipasi rakyat tidak terhad kepada memilih dalam pilihan raya semata-mata. Pada masa sama, terdapat sebahagian rakyat yang skeptikal terhadap politik, namun masih percaya kepada demokrasi, dengan syarat dilakukan transformasi terhadap demokrasi. Justeru, perlunya inovasi demokrasi.

Matlamatnya meluaskan partisipasi rakyat dalam proses membuat keputusan. Contohnya perhimpunan rakyat, mini Parlimen, legislatif langsung dan e-demokrasi. MPPT ialah inovasi demokrasi kerana ia mini Parlimen bersifat partisipatif dan deliberatif.

Ketiga, MPPT sebagai wahana pemikiran politik progresif. Ia bermaksud mencerna idea masyarakat baik yang berteraskan ciri-ciri seperti budaya ilmu, pembinaan tamadun, partisipasi demokratik, perkongsian ekonomi, keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Dalam konteks ini, MPPT meliputi Enam Bidang Pembangunan Tumpuan (6BPT), iaitu: pendidikan dan latihan, kecerdasan dan kebajikan, pekerjaan dan ekonomi, jati diri dan sosiobudaya, partisipasi dan masyarakat sivil, serta frasarana dan kemudahan awam.

Jika di peringkat kebangsaan terdapat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), maka, MPPT melahirkan Bidang Keberhasilan Utama Temerloh (TKRA), iaitu terjemahan NKRA peringkat tempatan. TKRA meliputi: mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, meningkatkan kualiti pendidikan, meningkatkan pendapatan isi rumah dan kemudahan awam luar bandar, serta memperbaiki pengangkutan awam bandar.

Temerloh satu-satunya kawasan Parlimen yang punya pendekatan ini. Keempat, banyak isu dan idea dibahaskan ahli-ahli MPPT telah dilaksanakan, sama ada di peringkat tempatan atau dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk tindakan selanjutnya.

Kelima, MPPT meraikan kajian-kajian oleh universiti-universiti dalam beberapa bidang menjurus untuk menambah baik perjalanan MPPT dan program-program pembangunan tempatan. Contohnya, pada MPPT ke-7, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin membentangkan kajiannya, “Maklum balas daripada Sistem Pemantauan Hubungan Etnik Berteraskan Kualiti Hidup”.

Keenam, melalui MPPT, rakyat menilai prestasi Ahli Parlimennya, agensi-agensi pelaksana TKRA dan agensi-agensi pelaksana pertanian, koperasi dan pembangunan luar bandar yang membentangkan laporan masing-masing.

Dan ketujuh, MPPT sentiasa melakukan penambahbaikan. Contohnya, keanggotaannya ditambah; bidang pertanian, pembangunan luar bandar dan koperasi dijadikan agenda tetap; dan media sosial digunakan untuk meluaskan partisipasi rakyat.

Pada Mac 2012, pasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai Prof Madya Dr Sarjit Singh membuat kajian terhadap MPPT, iaitu dengan ahli-ahlinya sebagai responden. Menurut dapatannya, persepsi terhadap MPPT adalah amat baik (88.4 peratus); penilaian terhadap Ahli Parlimen Temerloh adalah baik (80.2 peratus); dan penilaian terhadap 6BPT dan TKRA adalah sederhana, iaitu 52.3 peratus dan 55.5 peratus.

Kesimpulannya, MPPT adalah sebahagian daripada proses yang ampuh untuk diskusi baru ini.

No comments:

Post a Comment