Kadang-kadang kita bertemu dengan orang yang ada mata tetapi tidak boleh melihat, ada telinga tetapi tidak boleh mendengar, ada mulut tetapi tidak boleh berkata-kata. Ada tangan tetapi tidak ada keupayaan. Pernah satu ketika saya terserempak dengan seorang anak muda yang kacak dan wanita yang jelita, tetapi apabila disapa dia senyum, rupa-rupanya dia bisu.
Ini menandakan Allah bukan sekadar mencipta mata, telinga, mulut atau tangan. Tetapi Allah juga menyediakan penglihatan, pendengaran, suara dan keupayaan. Allah sebagai tuan punya dan penyedia ke atas segala keperluan makhluknya. Kita dan seluruh makhluk memerlukan Allah dan bergantung kepadanya.
Allah bukan sahaja menyediakan keperluan manusia, bahkan segala keperluan makhluknya. Segala rezeki ataupun nikmat adalah daripada Allah. Manusia ataupun mahkluk lain adalah ayat atau alatnya bagi menyampaikan rezeki berkenaan. Inilah yang sering kita akui dan sebut setiap pagi dan petang; ”Ya Tuhan, nikmat apa pun yang aku peroleh dan diperolehi adalah daripada mu, Yang Esa Tidak Bersekutu, maka bagimu segala puji dan penghargaan”
”Kemudian ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.” (As Sajadah: 9)
Mana lebih penting, yang membolehkan kita makan ataupun makanan ? Ya, yang membolehkan kita makan minum lebih penting daripada makanan dan minuman, kita tidak perlu makan dan minum setiap masa, tetapi tidak ada masa dan saat yang kita tidak perlukan Allah. Kita perlukan Allah setiap saat. Bukan sekadar membolehkan kita makan dan minum, mendengar, melihat, bekerja, malah membolehkan kita hidup dan seluruh alam ini wujud. Allah penting dalam kehidupan kita. Sesuatu yang penting tidak wujud tanpa Yang Maha Penting iaitu Allah.
"Dia lah Yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. Matahari dan bulan beredar Dengan peraturan dan hitungan Yang tertentu; dan tumbuh-tumbuhan Yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya." (Ar Rahman : 4- 6)
”Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)? Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar, dan ia telah menciptakan jin dari lidah api Yang menjulang-julang; (Ar Rahman : 13-15)
Setiap bulan bermacam-macam bil tuntutan yang kita terima. Bil letrik, bil air, bil telepon, bil celcom, bil tmnet, bil astro dan macam-macam lagi. Belum lagi bil tuntutan incometax, atau saman trafic, bil pinjaman PTPTPN. Tetapi pernah kita terfikir, jika Allah kemukakan bil tuntutan setiap bulan, agaknya berapakah kos atau jumlah tuntutan yang akan kita bayar.
Bayangkanlah, berapa tong agaknya gas oksigen yang kita sedut setiap hari, berapa banyak air minuman yang kita telan dan minum serta buat mandi dan membasuh. Belum lagi kira berapa harga mata, hidung, telinga dan nyawa yang kita pakai untuk hidup. Wallah hualam. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Tetapi begitulah hakikatnya manusia ini, apabila dia dapat sesuatu secara percuma, dia tak pernah berfikir siapa agaknya yang memberi itu semua.
Satu ketika ada seorang warga emas yang sudah berusia lebih 70 tahun, tiba-tiba dimasukkan ke hospital swasta untuk pembedahan batu karang di pundi-pundi kencingnya. Setelah pembedahan selesai, maka orang tua itu rasa lega dan tersenyum. Sehari kemudian, setelah sihat, dia didatangi jururawat membawa sekeping bil tuntutan pembedahan itu. Orang tua itu menangis kesedihan. Jururawat itu memujuk orang tua itu supaya tidak perlu runsing, kerana pihak hospital boleh bertolak ansur dengan kaedah pembayaran secara ansuran. Apa yang yang dijawab oleh orang tua itu.
”Saya bukan susah hati kerana bil tuntutan ini, saya mampu menjelaskannya, tetapi yang saya sedih setelah hampir 70 tahun saya boleh buang air kecil dengan mudah, tetapi Allah tak pernah kenakan apa-apa tuntutan, inilah yang menyentuh perasaan saya.”
Inilah secebis kisah yang boleh kita renung fikir. Terlalu banyak nikmat yang kita perolehi dan gunakan di atas bumi milik Allah ini, tetapi adakah kita tahu bersyukur dan berterima kasih dengan sifat Maha Pengasih Lagi Maha Penyayangnya Allah.
Suatu ketika seorang budak menangis melihat unggun api dibakar. Lalu Khalifah Harun Ar Rasyid bertanya budak itu mengapa dia menangis. Katanya dia takut melihat api yang menyala itu kerana yang menyalakan api itu ialah ranting atau dahan kayu yang kecil dahulu barulah kayu yang besar dibakar kemudian. Dia bimbang di akhirat kelak, anak-anak kecil yang akan menjadi bahan bakaran terlebih dahulu, sebelum orang dewasa. Mendengar jawapan itu Khalifah Harun Ar Rashid turut menangis.
Bukan soal apa yang kita lihat, tetapi bagaimana kita melihatnya!!!
No comments:
Post a Comment