Friday, February 3, 2012

Tamatkan politik fitnah

SAIFUDDIN ABDULLAH
23 Januari 2012
Satu daripada asam garam politik, malangnya, ialah fitnah. Lebih malang lagi, semakin dekat dengan pilihan raya umum, maka semakin ligat dan dahsyat fitnah yang diketengahkan.

Fitnah memporak-perandakan parti, politik dan masyarakat. Pemfitnah lazimnya tidak mempunyai apa-apa kekuatan diri terutamanya apabila dibandingkan dengan orang yang difitnah. Pemfitnah kurang ilmu, kepemimpinan dan ketokohan berbanding dengan orang yang difitnah. Maka, cara yang paling mudah – dan murahan – ialah menjatuhkan orang lain dengan memfitnahnya.


Fitnah adalah perbuatan tidak berintegriti, malahan kotor. Justeru, kita perlu bersama-sama menamatkannya. Caranya, ialah dengan kita bangun bersuara dan menganjurkan politik hikmah (bijaksana) sebagai alternatif yang positif dan konstruktif kepada politik fitnah yang negatif dan destruktif.


Politik hikmah adalah politik di mana kearifan ilmu dan kebijaksanaan digunakan dalam berpolitik. Maknanya, hikmah menjadi panduan dalam urusan politik. Seseorang ahli politik harus menggunakan pendekatan yang berhikmah lagi berhemah supaya tidak terlalu gelojoh dalam pergelutan menaiki hierarki parti atau memenangi pilihan raya.


Antara keadaan yang menyuburkan politik fitnah ialah apabila politik bersifat terlalu partisan. Politik terlalu partisan ialah di mana dalam apa jua keadaan, sesuatu pihak akan menyatakan dirinya betul dan lawannya salah, walaupun fakta atau realiti menyatakan sebaliknya. Ia memungkinkan timbul keadaan di mana sesuatu yang betul dikatakan salah, manakala sesuatu yang salah dikatakan betul, semata-mata dek kerana terlalu partisan.


Politik terlalu partisan mungkin menguntungkan sesuatu pihak. Ia akan disanjung pengikutnya yang menganggapnya wira kerana sentiasa mempertahankan pihaknya.


Tetapi, sekiranya pegangan ini terbawa-bawa, sehingga ada keputusan yang bakal menguntungkan rakyat, tetapi tidak dapat diputuskan semata-mata kerana masing-masing asyik bertegang urat memikirkan keuntungan pihaknya sahaja, maka, ia akan merugikan rakyat.

Politik hikmah menolak politik yang terlalu partisan. Ia akan mencari persefahaman. Apabila kepentingan rakyat menjadi lebih penting daripada kepentingan politik, maka, ia bersedia menjadi non-partisan.

Politik hikmah juga melibatkan pendekatan dalam menyeru orang untuk menyokong gagasan sesuatu pihak. Pendekatan yang paling mudah ialah dengan memburukkan gagasan orang lain.


Pendekatan begini sudah lama bertapak, contohnya, ialah sejak zaman Rasulullah, iaitu seperti yang digunakan oleh musuh-musuh baginda. Gagasan tauhid yang didakwahnya didakyah oleh musuh sebagai ajaran sesat.


Tetapi, Rasulullah tidak menggunakan pendekatan yang sama, iaitu fitnah, untuk membalas serangan musuh. Sebaliknya, baginda menggunakan pendekatan hikmah, iaitu menyeru semua, termasuk musuh, dengan kebijaksanaan, dengan pengajaran dan contoh yang baik, dan dengan perdebatan dan hujah-hujah yang lebih baik.


Kesannya, iaitu sebagaimana yang tercatat dalam Sirah Rasulullah dan sejarah semasa, ialah Islam, iaitu gagasan yang didakwahnya, telah diakui, dianuti dan dihayati hingga ke hari ini.


Rasulullah panglima perang yang hebat. Tetapi, selepas memenangi sebuah peperangan, baginda pernah menangis kerana menginsafi bahawa umatnya berhadapan dengan peperangan yang lebih besar, iaitu peperangan melawan hawa nafsu. Antara bahana hawa nafsu ialah politik fitnah.


Sayugia diingat, bahawa kini, ramai sinis dan sinikal terhadap politik. Mujurnya mereka masih yakin pada demokrasi. Tetapi, mereka mahu demokrasi diperbaiki. Justeru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengetuai transformasi politik ke arah demokrasi yang lebih progresif dan budaya politik baru yang lebih sihat dan segar.


Untuk menjayakannya, kita perlu menggunakan pendekatan politik hikmah, bukannya politik fitnah
.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

No comments:

Post a Comment