Friday, February 3, 2012

Sirah nabi jadi iktibar hidup


Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

MEMPELAJARI serta menghayati sejarah adalah perkara yang cukup penting bagi kita tidak kira sama ada sejarah peribadi individu ulung, bangsa, kelompok masyarakat serta peradaban manusia.

Pengajaran yang diambil bukan hanya sekadar mengetahui mengenai perjalanan atau riwayat hidup manusia namun paling penting ialah mengambil panduan, iktibar dan pengajaran daripada perjalanan hidup generasi terdahulu.

Menyelidiki sejarah boleh membuatkan seseorang itu berubah menjadi lebih cemerlang dan positif. Malah ia dapat mendidik manusia supaya tidak sombong sekiranya dapat mengecapi nikmat kejayaan kerana mereka tahu ada yang lebih baik daripadanya.

Begitu juga jika ditimpa derita atau musibah mereka dapat menghadapinya kerana memikirkan pasti ada golongan manusia yang lebih malang daripada mereka sebelum ini.

Dalam kisah Nabi Ismail a.s, ketika bapanya Nabi Ibrahim a.s menerima perintah Allah supaya menyembelihnya, baginda Nabi Ismail menjawab, Insya-Allah dirinya akan termasuk dalam golongan orang yang sabar dengan perintah itu kerana baginda tahu ada orang terdahulu yang lebih lagi kesabarannya dengan ujian Allah sebelum ini.

Maka sekiranya kita mahu menjadi manusia baik, positif dan cemerlang seperti nabi junjungan besar kita Muhammad SAW caranya tentulah dengan mempelajari sirah serta sejarah baginda iaitu dari lahirnya hingga hari kewafatannya.

Banyak manfaatnya mempelajari sirah nabi antaranya kita akan lebih banyak memahami peribadi Rasulullah. Semakin banyak kita mengenal peribadi Rasulullah, semakin kita menyedari kekurangan diri, juga semakin banyak teladan yang dapat diambil daripadanya.


Bagi yang mengambil iktibar, mereka akan berusaha mendekatkan jurang perbezaan itu. Siapalah kita jika dibandingkan dengan peribadi Rasulullah. Mari kita renungi contoh ini: Satu hari isteri baginda Aisyah menunggu kepulangan baginda untuk membukakan pintu sehinggalah lewat malam.

Kerana lama menunggu, Aisyah tertidur. Rasulullah pulang lalu memberi salam serta mengetuk pintu hingga tiga kali tetapi Aisyah tidak tersedar, lalu Rasulullah tidur di luar rumahnya.

Menjelang fajar Aisyah, terbangun daripada tidurnya lalu merasa hairan kerana Rasulullah masih belum pulang. Tetapi apabila membawa pintu, alangkah terkejutnya Aisyah apabila melihat Rasulullah tidur di luar rumah.

Aisyah terus meminta maaf tetapi Rasulullah ternyata tidak marah dan tidak menyalahkan Aisyah atas kejadian itu. Begitulah perihal kehidupan Rasulullah. Bayangkan, jika ada antara kita yang sampai sanggup memukul isteri semata-mata kerana perkara kecil malah mendabik dada kerana merasakan diri mereka ‘berkuasa’.

Mempelajari sirah nabi memudahkan kita memahami hadis Rasulullah atau ayat suci al-Quran kerana ada sesetengah hadis dan ayat Quran menjadi jawapan kepada perkara yang berlaku pada zaman Rasulullah.

Dengan sirah nabi juga kita dapat memahami prinsip hidup dan hukum-hakam.
Antaranya prinsip ketaatan kepada Allah. Meskipun sesuatu perintah Allah itu berasa sukar dan berat untuk dilaksanakan tetapi ia perlu ditaati dan dilaksanakan tanpa alasan atau ditangguh-tangguh.

Hiburan positif tenangkan jiwa

RAMAI daripada kita gemarkan hiburan dan sesetengah mereka menganggap hiburan menjadi keperluan bagi mengurangkan tekanan dan menyegarkan emosi.

Ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan seseorang itu jadi pemarah, tertekan dan keresahan. Menyuburkan emosi memang penting kerana dari situ akan timbul sikap kasih sayang, prihatin dan peka pada keadaan sekeliling.

Namun, apabila disebut hiburan bukanlah semata-mata berkenaan nyanyian, konsert, berpesta, berkaraoke, pergi kelab malam atau berpeleseran. Malah melihat keindahan alam, melancong, berkelah, beriadah, ekspedisi juga termasuk sebahagian daripada hiburan. Terdapat tiga kategori hiburan.

Pertamanya, bagi seorang Mukmin, iman, ibadat, wirid dan zikir atau apa saja perbuatan yang membawa pahala daripada Allah adalah hiburan. Ini kerana hasil daripada itu ialah ketenangan dan ketenteraman. Jiwa akan sentiasa hidup, segar dan emosi pula terkawal. Itulah yang dimaksudkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang.”

Hiburan kategori kedua pula, iaitu apa saja cara yang dapat menghilangkan keresahan dan kerunsingan yang tidak bertentangan dengan syariat dan akidah.  Malah, jika dihayati hiburan jenis ini dapat dijadikan cara bagi mendekatkan diri kepada Allah. Ia seperti kita pergi berkelah untuk menghilangkan rasa bosan selain dapat merasai kehebatan ciptaan Allah sehingga meresap ke dalam jiwa sehingga timbul rasa gerun kepada-Nya.


Hakikatnya ramai yang tidak menyedari hikmah di sebalik berhibur. Jadi, hiburan hanya sekadar hiburan, terhenti setakat itu saja. Hiburan kategori itu selagi tidak bercanggah dan tidak memberi kesan negatif, ia ibarat penawar yang dapat menghilangkan keresahan buat seketika, tapi tidak dapat menghapuskan punca keresahan itu.


Kategori dan paling popular di kalangan orang ramai terutama muda-mudi ialah konsert nyanyian yang melalaikan, berpesta, kelab malam dan keluar berpasangan.


Ia terus menjadi hambatan hidup remaja kini. Hiburan jenis itu bukan saja tidak bersifat menyembuhkan, malah umpama penagihan dadah.
Memang seronok, ibarat gula-gula, manis dan sedap tapi tidak mengenyangkan.  Tapi keseronokan itu tidak memberi kebahagiaan atau ketenangan malah ia beransur-ansur membawa kesan buruk dan negatif untuk jangka panjang.

Hiburan kategori itu mendatangkan kesan buruk pada hati yang tidak dapat dikesan. Hati akan menjadi keras, gelap, kemudian terdinding daripada mendapat kelazatan mengingati Allah, malah sukar menerima kebenaran.

Justeru, orang yang dapat hiburan hakiki umpama mendapat hidangan makanan yang lazat lagi enak dan tidak perlu lagi pada gula-gula yang tidak berkhasiat
.


No comments:

Post a Comment