Harian Metro 24/2/2012
JOHOR BAHRU: “Anak yang sanggup menjaga ibu bapanya akan memperoleh ‘bonus’ daripada Allah dengan syarat ikhlas melakukannya,” kata Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsuddin, semalam.
Beliau mengulas tindakan lima beradik yang didakwa enggan memelihara bapa mereka, sebaliknya harta pusaka peninggalan warga emas berkenaan yang lebih dikejar. Menurutnya, ujian menjaga ibu bapa pada penghujung usia mereka begitu besar dan menuntut banyak kesabaran.
“Mereka yang diuji Allah ketika memelihara orang tuanya perlu sedar dugaan itu didatangkan hanya bagi memberi peluang merasai kenikmatan yang tidak diperoleh berbanding mereka yang tidak diuji.
“Rugi jika ada anak tidak mengambil peluang berkhidmat pada saat akhir kehidupan ibu bapanya. Ini kerana menjaga golongan itu bukan perkara mudah dan banyak dugaan.
“Oleh itu, sesiapa yang bersabar ketika menjaga orang tuanya pasti menerima pahala besar,” katanya.
Menurutnya, hingga kini, tiada peruntukan undang-undang bagi menghukum anak yang tidak mahu menjaga ibu bapa masing-masing, tetapi dari segi syariat perlakuan seperti itu perlu dihindari.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, perlakuan mengabaikan ibu bapa tidak seharusnya berlaku terutama dalam kalangan umat Islam. “Dalam Islam, walaupun sibuk dengan rutin harian, tanggungjawab menjaga ibu bapa terletak di bahu anak tidak kira sama ada warga emas itu berharta atau sebaliknya,” katanya.
Dahsyatnya Doa Ibu
Author: azah 18 May
Dipetik dari: Syamsuddin Noor, (2011). Dahsyatnya Doa Ibu. Selangor: PTS Millenia Sdn Bhd.Juraij Difitnah Akibat Menderhaka Pada Ibu
JuraiJ adalah seorang rahib yang terkenal dengan ketekunannya beribadah. Juraij memiliki sebuah biara di mana dia menghabiskan waktunya beribadah. Biaranya itu berdekatan dengan tempat para penggembala membawa haiwan ternakan mereka. Jadi ramai penggembala yang berteduh di biaranya.
Setiap hari Juraij berada dalam biaranya bagi beribadah kepada Allah. Wajahnya memancarkan cahaya imannya. Kemasyhuran Juraij sebagai ahli ibadah sampai ke istana. Sudah menjadi sunnah Allah, Allah menciptakan manusia berpasangan. Ada langit dan bumi. Ada orang baik dan ada orang jahat. Ada ahli ibadah dan ada ahli maksiat.
Pada Suatu hari, ibu Juraij datang ke biaranya kerana hendak, bertemu dengannya. Apabila ibunya sampai di hadapan biaranya, dia pun memanggil-manggil anaknya. Pada waktu itu, Juraij sedang solat dengan khusyuk. Dia menjadi bingung dan berkata dalam hatinya, “Ya Tuhanku, adakah aku perlu menjawab panggilan ibuku ataupun meneruskan solatku?” Akhirnya, Juraij meneruskan solatnya dan tidak menjawab panggillan ibunya walaupun solat yang sedang dikerjakannya itu adalah solat sunat. Selepas menunggu beberapa lama dan Juraij tetap tidak menyahut panggilannya, ibu Juraij pun pulang.
Tidak lama selepas itu, ibu Juraij datang semula dan memanggil-manggilnya lagi, “Wahai Juraij, di manakah engkau anakku?” Pada waktu itu, Juraij masih bersolat dan dia tetap meneruskan solatnya. Apabila anaknya tidak menjawab panggilannya yang berkali-kali, ibu Juraij pulang semula,
Namun tidak lama selepas itu, ibu Juraij datang sekali lagi dan memanggil-manggilnya dengan suara yang keras, ‘Juraij! Juraij! Di mana engkau? Ini ibumu, datanglah ke sini sebentar!’ Juraij masih lagi bersolat dan dia kebingungan sama ada hendak menjawab panggilan ibunya ataupun meneruskan solat. Oleh kerana solatnya hampir selesai, Juraij meneruskan solatnya.
Selepas tiga kali ibunya datang dan memanggilnya, Juraij tetap tidak menjawab panggilannya. Ibunya marah dan terlanjur mengutuk Juraij dengan berkata, “Wahai Juraij, semoga Allah tidak mencabut nyawamu sebelum engkau melihat wajah seorang pelacur!” Demikianlah kata-kata ibu Juraij yang pulang dengan perasaan marah dan sedih.
Peristiwa itu membawa malapetaka kepada Juraij. Kutukan ibunya membuka pintu langit. Lohmahfuz bergetar dan kalam Allah mencatat kutukan ibunya itu. Allah pun murka kepada Juraij. Para malaikat yang berada di biara Juraij meninggalkan biaranya kerana kemurkaan Allah.
Selepas beberapa ketika, Juraij lupa pada peristiwa itu. Begitu juga ibunya yang tidak lagi marah kepada Juraij. Juraij meneruskan kehidupannya seperti biasa dengan beribadah di biaranya.
Pada suatu hari, datang seorang wanita cantik dari sebuah rumah pelacuran ke biara Juraij. Niatnya hendak menggoda Juraij kerana dia mendengar kehebatan Juraij sebagai ahli ibadah. Dia berjalan mundar-mandir di sekeliling biara Juraij. Tidak jauh dari situ, ada seorang penggembala sedang berteduh.
Wanita itu masuk ke dalam biara dan melihat Juraij sedang asyik berzikir menyebut nama Tuhannya. Wanita itu duduk bersimpuh di hadapan Juraij dan berkata, “Wahai Juraij, berhentilah berzikir sebentar. Marilah berbual-bual denganku”, Juraij tidak mempedulikannya dan terus berzikir.
Wanita itu tidak berputus asa malah bertekad hendak menggoncang iman Juraij. Dia membuka bajunya di hadapan Juraij dan memujuk rayu Juraij supaya berseronok dengannya. Juraij tetap tidak menghiraukannya malah dia lebih kuat berrzikir. Wanita itu dengan perasaan marah meninggalkan Juraij sambil mencari jalan bagaimana hendak mengaibkan Juraij. Di luar biara, dia terlihat penggembala yang sedang berehat dan dia mendapat akal. Dia menggoda lelaki itu sama seperti dia menggoda Juraij dan akhirnya berlakulah perbuatan terkutuk antara mereka. Wanita itu sengaja melakukannya kerana dia mempunyai rancangan jahat bagi membinasakan Juraij.
Lebih kurang setahun selepas kejadian itu, wanita itu pergi ke istana sambil mendukung bayinya. Dia mengadu kepada raja, “Wahai raja junjunganku, aku diperkosa hingga melahirkan seorang anak”.
Rajapun bertanya, “Siapakah bapa anak ini?”
Wanita itu menjawab, “Juraij adalah bapanya”.
Raja bertanya lagi, “Maksudmu, Juraij yang memiliki biara itu?”
” Benar wahai raja”. Wanita itu menjawab.
Mendengarkan kata-kata wanita itu, raja menjadi murka dan memerintahkan tenteranya menangkap Juraij yang terkenal sebagai orang soleh di negeri itu. Juraij ditangkap, diikat dan dibawa mengadap raja. Ramai pelacur yang datang ke istana kerana mahu melihat Juraij ditangkap. Namun Juraij kelihatan tenang dan tersenyum hingga semua orang yang melihatnya kehairanan. Raja kemudian memerintahkan biara milik Juraij dimusnahkan.
Kemudian raja berkata kepadanya, “Wahai Juraij, engkau adalah ahli ibadah tetapi perbuatanmu sungguh keji. Wanita ini datang menghadapku dan mengaku melahirkan anakmu. Adakah kata-katanya itu benar?”
Dengan tenang, Juraij menoleh ke arah wanita itu dan bertanya, “Adakah benar aku pernah menggaulimu?”
“Ya, benar”, jawab pelacur itu dengan tegas.
Juraij bertanya lagi, “Di manakah anak itu sekarang?”
Wanita itu berkata, “Dia ada di dalam buaian itu”.
Juraij menghampiri bayi yang tidak berdosa itu dan bertanya, “Siapakah ayahmu?”
Tiba-tiba bayi itu menjawab, “Dia penggembala lembu”. “Tuanku dan sekalian yang hadir, wanita ini berbohong!” kata Juraij.
Semua orang yang hadir terperanjat dan kagum menyaksikan kejadian yang aneh itu. Mereka juga berasa bersalah kerana menuduh Juraij tanpa usul periksa, terutamanya raja. Dengan rasa malu dan menyesal, raja berkata, “Wahai Juraij, aku bina semula biaramu dengan emas:’
Juraij menjawab, “Tidak perlu”.
Raja berkata lagi, “Bagaimana sekiranya aku membinanya dengan perak?”
Sekali lagi Juraij menjawab, “Tidak perlu”.
Jadi, apakah yang perlu aku lakukan?” tanya raja. Juraij menjawab, “Binalah ia seperti sediakala”.
Dengan demikian, raja pun memerintahkan orang ramai membina semula biara Juraij seperti asal. Kemudian raja bertanya kepada Juraij, “Mengapa kamu menerima semua tuduhan itu dengan tenang, bahkan kamu tersenyum menghadapi pelacur itu?”
Juraij menjawab, “Pada waktu itu aku menyedari, Allah mengabulkan doa ibuku”. Lantas, Juraij menceritakan kepada raja apa yang berlaku.
Kisah ini terkandung dalam satu hadis pada muka surat 511 di dalam Kitab Sahih Muslim terbitan Beirut, Lebanon. Hadis itu sahih dan kisah Juraij benar-benar terjadi. Kisah ini menjadi renungan dan pengajaran bagi semua orang kerana ia membuktikan betapa mustajabnya doa ibu.
Antara pengajaran daripada kisah Juraij adalah:
1. Menjawab panggilan ibu adalah wajib dan lebih penting daripada mengerjakan solat sunat.
2. Ibu perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata yang tidak baik kepada anaknya.
3. Apabila timbul sesuatu masalah, kita perlu memeriksa ataupun menyiasatnya terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman
No comments:
Post a Comment