Saturday, June 2, 2012

Klinik berkonsep dakwah berteraskan agama Islam
Wartawan Sinar Harian
1 Jun 2012
Klinik berkonsep dakwah berteraskan agama Islam
Kakitangan yang sedia memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa terdapat klinik di negara ini menggunakan sebahagian daripada keuntungan klinik disalurkan untuk usaha dakwah kepada masyarakat.

Begitulah yang dilakukan Hanidah Omar sebagai Pengurus Klinik Dr Yusri Yahya di Kuala Perlis yang merancang membahagikan separuh daripada keuntungan untuk usaha dakwah.


Beliau yang juga pemilik Al-Shofa Management & Consultancy yang mengurus dan mentadbir klinik itu berkata, keputusan membuka klinik berteraskan Islamik di bawah naungannya itu dilakukan setelah mendapat idea untuk memberikan satu dakwah berterusan dan dapat dikembangkan kepada masyarakat sekitar.


Menurutnya, walaupun usia klinik baru masuk empat bulan beroperasi iaitu bermula 6 Februari lalu, tetapi dengan usaha dan kerjasama semua pihak untuk melihat usaha dakwah ini berjalan lancar, kini ia boleh menguruskan sendiri urusan klinik.


“Setakat ini, memang keuntungan belum diperoleh dan usaha dakwah masih belum dimulakan sehinggalah hujung tahun ini. Jika ada keuntungan, barulah dibahagikan seterusnya boleh dilakukan usaha dakwah ini.


“Apa yang penting perkhidmatan yang kami tawarkan lebih murah berbanding klinik lain kerana usaha kami bukan mengejar keuntungan semata-mata, tetapi mahu membantu masyarakat sekitar agar kesihatan mereka berada dalam keadaan baik,” katanya kepada penulis.


Kembangkan lagi klinik


HANIDAH berkata, pada asalnya, pihaknya melaburkan RM300,000 untuk membuka klinik berkenaan dan menyerahkan klinik kepada doktor yang terpilih. Namun keuntungan yang diperoleh, tidak akan diambil pihaknya kerana ia salah satu usaha dakwah mereka.


“Apa yang kami lakukan adalah mengambil separuh keuntungan klinik untuk usaha dakwah. Jika terus berkembang, kami bercadang untuk  membuka beberapa klinik di negeri lain

untuk mengembangkan aktiviti dakwah ini.

“Klinik kami akan dibina di kawasan bandar. Bagaimanapun usaha dakwah bakal kami jalankan di luar bandar yang kelihatan terpinggir, melalui pendakwah muda terpilih,” katanya.


Istimewanya kata Hanidah, kepada pelanggan klinik itu nanti, selain mendapat rawatan daripada klinik yang mengikut lunas agama secara langsung mereka juga menyumbang kepada usaha dakwah.


“Bagaimana pelanggan turut menyumbang kepada dakwah ialah melalui duit yang digunakan untuk bayar perkhidmatan klinik itu, akhirnya separuh daripadanya akan digunakan untuk usaha dakwah.


“Usaha dakwah yang dilakukan sekumpulan ilmuwan muda ini akan melakukan dakwah di masjid dan surau sekitar luar bandar dengan menyampaikan ceramah agama,” katanya.


Apa yang pasti, usaha menyebarkan dakwah adalah mengikut al- Quran dan sunah ditetapkan dan dalam masa sama turut akan diadakan pemeriksaan kesihatan percuma kerjasama

jabatan berkaitan.

Bantu doktor


HANIDAH yang berasal dari Terengganu berkata, lagi satu kenapa pihaknya ingin mengembangkan perniagaan seperti itu kerana dapat membantu doktor memiliki klinik sendiri serta beramal jariah dalam masa sama.


“Diharapkan apabila ada konsep begini, klinik akan tumbuh paling tidak satu atau dua klinik setahun seterusnya menjana pendapatan dengan tujuan dakwah dan membantu doktor Melayu buka klinik.


“Fenomena kini tidak ramai yang mampu membuka klinik sendiri kerana kos sangat tinggi. Justeru usaha kami ini dapat menguntungkan kedua pihak dan beri banyak kebaikan kepada masyarakat Islam terutamanya,” katanya.


Buat masa ini kata Hanidah, perkhidmatan dikenakan antara paling murah berbanding klinik lain. Yang penting nak buat duit sebanyak mungkin, dan apabila ramai orang datang klinik,
keuntungan akan banyak dan boleh mencapai hasrat dakwah kepada masyarakat.

“Untuk memastikan sebahagian keuntungan seratus peratus digunakan untuk dakwah, kami telah menubuhkan unit khas mengurus dan mentadbir urusan dakwah agar tidak disalah guna.


“Bagi yang ingin turut sama berkongsi melabur dalam program ini, boleh e-mel sebarang pertanyaan dan maklumat ke alamat e-mail alshofa.management@gmail.com agar dana RM300,000 jika dibahagikan akan meringankan bebanan masing masing,” katanya
.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

No comments:

Post a Comment