MULAKAN DENGAN CERIA
Oleh USTAZ PAHROL
MOHAMAD JUOI
Percayalah,
orang yang cemerlang ialah orang yang ceria. Dia melaksaanakan apa jua aktiviti
hidupnya dengan rasa gembira. Sama ada aktiviti yang berkait dengan Allah
(habluminallah), mahupun aktiviti yang berkait dengan manusia (habluminannas),
semuanya dibuat dengan gembira .
Ceria
yang dimaksudkan di sini bukanlah terkinja-kinja atau tertawa terbahak-bahak,
tetapi rasa senang, tenang, rasa bebas dan lapang di dalam hati.
Tidak
percaya? Cuba imbau kembali hasil kerja kita yang dirasakan paling berkualiti,
sama ada tulisan, masakan, lukisan, persembahan atau apa sahaja… Ingat
semula bagaimana hati kita sewaktu menghasilkannya. Insya-Allah, pada waktu itu
mesti hati kita dalam keadaan ceria. Mustahil kita dapat menghasilkan satu
kerja yang baik sewaktu dilanda perasaan sedih, benci ataupun marah.
Aliran
kegembiraan akan mengukir mutu yang tinggi pada hasil pekerjaan kita. Itulah
yang dimaksudkan ‘air tangan’ dalam pekerjaan kita. Air tangan itu hakikatnya adalah
aliran keceriaan yang mengalir daripada diri kepada pekerjaan kita. Bukan
sahaja kerja malah wajah kita juga diukir oleh kegembiraan itu. Kata bijak
pandai, “jika hati baik, wajah akan sentiasa cantik.” Salah satu ciri hati yang
baik, adalah ceria!
Kata
pakar-pakar psikologi dan motivasi, sepuluh minit terawal sebaik sahaja bangun
daripada tidur akan menentukan kecemerlangan kita pada hari tersebut. Jangan
hendaknya fikiran, perasaan dan hati kita dicemari oleh sesuatu yang buruk,
jahat dan kotor. Saranan mereka, senyum, cakap yang baik-baik, rasa yang
indah-indah, sebaik sahaja bangun daripada tidur.
Sebagai
seorang Islam, kita seharusnya tidak ada masalah untuk merasa ceria sebaik
sahaja bangun daripada tidur. Caranya? Hitung kesyukuran, jangan hitung
kesukaran. Islam hakikatnya sudah lama mendidik umatnya agar melihat sisi yang
baik-baik, indah-indah dan cantik-cantik sebaik sahaja bangun daripada tidur. Justeru,
kita dianjurkan untuk melafazkan doa kesyukuran ini sebaik sahaja bangun
daripada tidur: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami
selepas kematian kami dan kepadaNyalah kami akan dihimpunkan.”
Ya,
pertama dan utama, kita mesti bersyukur atas nikmat hidup yang masih
dikurniakan Allah. Cuba kenangkan betapa ramai orang yang pada malam
sebelumnya tidur, kemudian tidak bangun-bangun lagi pada hari esoknya kerana
telah ‘dijemput’ kematian. Tidur disifatkan oleh para hukama sebagai separuh
daripada kematian. Jadi apabila kita diizinkan untuk hidup pada pagi hari,
ertinya ‘separuh daripada kematian’ telah diangkat kembali oleh Allah daripada
diri kita… Lalu bersyukurlah kerana kita telah hidup semula dengan sepenuhnya!
Ukirlah
senyuman dan berilah salam kepada orang yang pertama anda temui pada awal
setiap pagi. Mungkin orang itu ialah ibu, bapa, suami, isteri atau anak-anak
kita. Juga fikirkan yang baik-baik dan bayangkan yang cantik-cantik. Mintalah
perlindungan daripada rasa dukacita, takut, malas dan pengecut seperti doa yang
diajarkan oleh Rasulullah SAW ini: “Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya
aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung
kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada
sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan
kezaliman manusia
Untuk
itu lihat apa yang ada, jangan dikenang apa yang tiada. Hitung satu persatu
‘kelebihan’ yang sedang kita miliki dan nikmati, insya-Allah kita akan
tersentak kerana pasti tidak dapat menghitungnya. Firman Allah: “Jika kamu
menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan terhitungnya.”
Ya, tidak dinafikan kita punya masalah,
kesedihan, kesakitan, kegagalan… namun itu tidak menghalang kita untuk terus
bersyukur. Kelebihan pastinya mengatasi kekurangan. Kesenangan tentunya
melebihi kesukaran. Malah di dalam kesukaran itu pun masih ada kesenangan. Itu
sudah sunahtullah (peraturan Allah). Itulah yang dijanjikan Allah. Firman Allah:”Sesungguhnya
pada kesukaran itu ada kelapangan.”
Namun,
mengapa dalam realitinya, dirasakan berbeza? Semua ini gara-gara tersalah
memandang hidup. Ingat selalu, yang penting bukan apa yang kita pandang tetapi
bagaimana cara kita memandangnya. Apa yang berlaku di dalam diri kita
lebih penting daripada apa yang berlaku di luar diri kita. Pemikiran
dan perasaan kita yang negatif menyebabkan kita hanya fokus kepada negatif
sekalipun yang negatif itu cuma sekelumit.
Jangan
jadi lalat yang mencari dan hinggap hanya pada tempat-tempat yang kotor dan
busuk walaupun masih banyak tempat yang bersih dan wangi. Tetapi jadilah lebah
yang mencari dan hinggap di tempat yang cantik dan harum. Jadi pandanglah hidup
dengan penuh rahmat, nikmat dan indah sejak awal pagi lagi… Insya-Allah, apa
yang kita lihat, itulah yang akan kita dapat.
No comments:
Post a Comment