Wednesday, June 6, 2012


PELIK TAPI BENAR

Sungguh pelik manusia, harta milik orang lain yang disayangi, manakala harta milik sendiri tidak begitu dihiraukan. Jarang kita jumpa orang yang mencintai harta orang lain. Harta sendiri tak dipedulikan. Maksudnya kita sibuk mengumpulkan barta benda, rumah besar, kereta besar, isteri besar,  wang simpanan di bank, barang kemas, emas dan permata, tetapi hakikatnya semua itu adalah hak milik orang lain, bukan milik kita sebenarnya.

Pelik kan ? Tapi itulah yang berlaku, sejak dulu hingga sekarang. Kenapa jadi begitu, sebab yang kita lihat dan nampak dengan mata kita itulah yang kita yakin dan percaya, tetapi yang kita tidak nampak dengan mata kita, kita kurang yakin dan kurang percaya, walaupun telah diperingatkan oleh Rasulullah saw dalam satu hadis yang bermaksud;

”Daripada kalangan umatku ini, siapa yang sayangkan harta sudaranya lebih daripada hartanya sendiri? Sahabat bertanya, ”Wahai Rasulullah, siapa yang lebih menyangi harta orang lain melebihi hartanya sendiri? Baginda bersabda lagi, ”Harta sendiri adalah harta yang disedekahkan kepada orang lain. Harta orang lain adalah harta yang disimpan yang tidak disedekahkan kepada sesiapa.”

Pernahkah kita lihat umat Islam yang meninggal dunia, samaada dia jutawan, atau orang kaya, ataupun orang biasa, apabila mati, membawa bersama harta peninggalannya ke dalam kubur. Ada ke yang bawa kereta mercedes, rumah batu, barang kemas, emas dan permata, bersama dikebumikan ke dalam kubur. Setahu kita belum pernah berlaku lagi.

Islam tidak melarang kita mencari harta, dan mengumpulkan harta asalkan cara mendapatkannya mengikut cara yang halal. Dan harta tersebut diinfakkan kepada yang memerlukannya. Anak yatim, fakir miskin, musafir, dan sesiapa sahaja yang memerlukan perlu diberi bantuan. Semua bentuk sedekah inilah sebenarnya yang akan menjadi tabungan kita di akhirat. Inilah yang sebenarnya akan menjadi harta milik kita yang akan membantu kita di akhirat kelak.
”Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahnya ke timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya disayanginya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; serta mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat; serta menunaikan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa peperangan dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang Yang bertaqwa.”(Al Baqarah:177)

Harta yang ditinggalkan belum pasti kemana akan dibelanjakan oleh waris, samaada anak atau sesiapa sahaja yang berhak menerimanya. Jika nasib tak baik, dibelanjakan untuk perkara yang dimurkai Allah.

Oleh itu marilah kita kumpul harta yang kekal abadi yang mampu menjadi tukaran kita apabila di akhirat kelak

No comments:

Post a Comment