Beza Ilmu Dengan Maklumat
Hari ini saya makan tengah hari di kedai Mak
Cik Kuala Ibai, depan kedai runcit selepas sahaja traffic Light Masjid
Terapung. Di sinilah
selalunya saya makan tengah hari sekiranya isteri tak sempat nak masak.
Kebetulan ada seorang pelanggan yang turut makan bersama saya, walaupun tak
kenal tetapi orangnya ramah. Jika tak silap dia ni kontraktor (kerja sendiri).
Tapi ideanya bernas juga, walaupun orangnya simple sahaja.
Sambil menikmati nasi lauk ikan goreng, beliau memulakan perbualan
bertanyakan saya masih mengajar ke? Saya jawab dah setahun setengah bersara. Beliau
buat kesimpulan kerja cikgu mudah je, tapi sakit kepala, katanya. Saya senyum
sahaja, dalam hati bersetuju juga.
Katanya, sekarang ramai orang pandai, buktinya setiap kali keluar keputusan
periksa PMR,SPM, STPM ramai yang dapat keputusan cemerlang. Pada zaman dia, juga
sezaman dengan saya waktu belia dahulu tahun 60an, nak dengar seorang atau dua
orang dalam kampung dapat pangkat 1 jarang-jarang sekali. Yang banyaknya
pangkat 3 atau gagal (pangkat 4). Tapi katanya walaupun mereka dapat keputusan
kurang baik, mereka pandai pula cari kerja dan reka kerja. Maksudnya ada saja
idea untuk cari kerja atau cipta kerja yang mampu untuk membiayai kehidupan
mereka.
Berbeza sungguh sekarang, ramai yang berkelulusan tinggi, lulus universiti,
tapi tak ada kerja. Ini kerana mereka mengharapkan kerja makan gaji. Begitu
juga sekarang katanya kerja kontrak pula dikecilkan jumlah peruntukan untuk
membolehkan kontraktor kecil dapat kerja. Di Terengganu katanya ada lebih 700
kontraktor berdaftar, kerja yang ada tak sampai 20 kerja. Itupun nilai dalam 20
hingga 30 ribu ringgit.
Katanya lagi, sekarang nak dapat kerja kerajaan dan swasra memang sukar,
tambahan pula umur bersara dinaikkan sehingga 60 rahun. Maka sukarlah bagi
mereka yang dibawah nak naik pangkat, kerana yang diatas masih bertugas. Pandai
sungguh katanya idea orang-orang atasan mereka / membuat peraturan dengan
melanjutkan usia bersara. Akhirnya gigit jarilah yang dibawah untuk naik
pangkat. Sekali imbas ada kebenarannya juga kata-katanya.
Saya terfikir ada kebenaran kata-katanya. Seorang kontraktor, yang pernah
membaiki rumah saya, tidak pandai membaca dan menulis tetapi pandai bertukang,
dan punyai ramai pekerja binaan dibawah seliaannya. Dia mampu beli kereta honda
crv akhir tahun 70an dengan bayaran tunai, Kerja baiki rumah, sentiasa ada, ini
terbukkti beberapa kali saya menempah beliau untuk baiki rumah, terpaksa
ditolak kerana ada banyak lagi yang sedang menunggu. Inilah buktinya, tiada
pelajaran, tetapi ada kemahiran dan rajin serta jujur dan amanah dalam
kerjanya, rezeki Allah kurnia kepadanya lebih banyak berbanding gtaduan atau
lepasan universiti yang sudah tamat pengajian 4 atau 5 tahun tetapi masih
terkial-kial untuk mendapat kerja yang tetap dan terjamin.
Terfikir juga, mungkin inilah akibatnya sikap menuntut ilmu kerana nak cari
kerja, bukan tuntut ilmu untuk dekatkan diri kepada Pencipta. Dan sekarang
ramai yang berniaga ilmu. Buktinya, banyak IPTS (nstitut Pendidikan Swasta) macam
cendawan tumbuh. Satu-satu program diploma berharga 40 hingga 50 ribu ringgit,
bagi program biasa, jika bidang kedoktoran mencecah 80 hingga 100 ribu ringgit
setahun. Lengkap satu ijazah kedoktoran berharga lebih RM500,000.00.
MasyaAllah??? Berapa tahun agaknya nak kumpul duit sebanyak itu?
Inilah bala yang menimpa kita, apabila ilmu diperniagakan, hilang
keberkatannya. Celik mata pergi sekolah, cari ilmu, kerana bila ada ilmu boleh
cari makan. Sebenarnya bukan ilmu yang dicari tetapi lebih kepada mengumpul
seberapa banyak maklumat. Kerana konsep ilmu itu ialah menunjukkan mana yang
benar, mana yang tidak benar (batil). Sepatutnya semakin ramai yang berilmu, maka
semakin baiklah akhlak manusia, tetapi, tidak begitu yang berlaku. Semakin ramai
orang pandai dan berijazah, semakin banyak penyelewengan dan pecah amanah berlaku.
Munasabahlah orang yang berpangkat menteri boleh dapat projek bernilai ratusan
juta, tetapi tiada kaitan dengan rasuah. Begitu juga beruntungnya seorang
korporat yang pinjam ratusan juta, boleh dihapus kira oleh pemerintah.
Mengikut Prof Syed Mohd Naquib Al Attas, ilmu melahirkan tingkah laku yang betul berasaskan
ilmu yang benar. Orang berilmu mesti tahu kedudukan (letak sesuatu). Contohnya orang
berilmu jika diberi songkok, dia tahu kedudukannya di kepala. Jika diberi selendang
untuk menutup kepala, bukan tutup tengkok. Kalau diberi stokin dia tahu,
letaknya di kaki, bukan buat tutup kepala. Jika dia beli kambing, tentulah
harga kambing lebih mahal daripada harga tali. Bukan harga tali jauh lebih
mahal daripada harga kambing. Tapi zaman sekarang orang beli tali kasut jauh
lebih mahal daripada harga kasut.
Begitu juga, sepatutnya orang berilmu dia tahu bahawa kedudukan Tuhan mesti
mengatasi yang lain. Jika dia belajar tinggi langitpun, ijazahnya berjela-jela,
tetapi dia tidak tahu kedudukan Pencipta, maka rosaklah ilmu yang dipelajari. Ini
menandakan ilmu itu bukan daripada sumber yang benar. Wallah hualam. Ada akal fikir-fikirlah.
No comments:
Post a Comment