FARUSH KHAN $entry.content.caption.value






ISLAM adalah agama yang berkembang paling pantas di muka bumi. Dengan kata-kata lain, bilangan mereka yang memeluk Islam di akhir-akhir ini paling ramai, dibandingkan dengan agama lain.

Hari ini, daripada kira-kira 7 bilion penduduk dunia, 2.1 bilion beragama Islam, dengan pertumbuhan 6.4 peratus setahun.

Menurut statistik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, seorang daripada lima orang di muka bumi beragama Islam sekarang, berdasarkan rujukan kelahiran dan geografi.

Sekiranya trend ini berterusan, menurut laporan dalam Cable News Network pula, pada tahun 2030, akan terdapat seorang daripada tiga orang di muka bumi ini beragama Islam.

Ini adalah antara fakta menarik yang patut membuatkan kita umat Islam memberi perhatian serius kerana ia memainkan peranan penting dalam kehidupan kita.

Menurut kajian Pusat Penyelidikan Pew, yang berpusat di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) umat Islam adalah masyarakat majoriti di 49 negara, 62 peratus daripada mereka dari Asia Selatan dan Tenggara Asia. (Presiden Pusat Penyelidikan Pew, mulai Januari 2013 adalah Alan Murray, bekas timbalan pengarang urusan The Wall Street Journal,\. Beliau menggantikan tempat Andrew Kohut).

Indonesia mempunyai 12.7 peratus, diikuti Pakistan (11 peratus), India (10 peratus) dan Bangladesh (9.2 peratus).

Arab Saudi, yang mempunyai dua kota suci - Makkah dan Madinah - mempunyai 20 peratus daripada seluruh umat Islam di dunia.

Pusat Penyelidikan Pew, dalam statistik tahun 2010, menyatakan lebih ramai Islam terdapat di United Kingdom daripada  di Lubnan dan di China daripada di Syria.

"Ramai umat Islam mahu agama main peranan dalam politik," kata seorang pakar sains politik dari AS.

Masyarakat Barat, katanya, patut menerima dunia Islam dengan caranya yang tersendiri.

Membuat andaian bahawa semua orang di dunia mahu cara Barat semata-mata adalah suatu idea yang mengarut.

Mengapa jadi demikian? Kenapa manusia berbondong-bondong memeluk Islam?

Jawapannya tentulah hanya melalui hidayah daripada ALLAH Yang Maha Kuasa; yang apabila berfirman 'jadi', maka 'jadilah' apa dikehendakiNYA.

Tiada turun mereka yang ALLAH mahu naikkan, tiada naik mereka yang ALLAH mahu turunkan, walaupun seluruh makhluk manusia dan jin berkumpul untuk menggagalkannya.

Jika ALLAH tidak mahu memberi hidayah (atas sebab-sebab ALLAH sahaja yang tahu), tiada berubah seseorang itu walaupun usaha dibuat untuk mencapainya.

Jika ALLAH mahu beri hidayah, seseorang itu boleh berubah dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Wallahualam!

Namun, pada asasnya, ALLAH tetap suka melihat hambaNYA melakukan usaha untuk agama ALLAH, walaupun yang untung bukan ALLAH, tetapi makhluk itu sendiri.

Amalan, usaha, contoh dan tauladan adalah antara ciri-ciri penting bagi umat Islam yang menarik manusia ke agama ALLAH yang Maha suci ini.

Contoh tauladan Rasulullah SAW, sahabat-sahabat Baginda, alim ulama dan umat Islam turut menjadi besi berani ke arah Islam.

Kewarakan, amalan baik, kezuhudan, ketertiban, budaya murni; mengasihi seseorang atau sesuatu sema-mata kerana ALLAH, membenci sesuatu semata-mata kerana ALLAH adalah sebahagian daripada kualiti ke arah perkembangan Islam.

Terdapat kisah-kisah silam bagaimana perhubungan baik, kasih sayang, di samping kebenaran Islam dalam kalangan umat telah menarik hati orang memeluk agama itu.

Di zaman ini juga terdapat umat Islam yang menarik orang menuju kepada Islam bukan atas kekuatan hujah, tetapi kerana ketulusan, amalan dan tutur kata.

Atas ketulusan hati dan keyakinan tentang kekuasaan ALLAH jugalah Nabi Muhammad SAW memeterai Perjanjian Hudaibiyah dengan pihak Khuraisy.

Perjanjian itu dianggap berat sebelah, iaitu memihak kepada pihak Khuraisy. Di bawah perjanjian itu, orang kafir yang menyerah diri kepada Muslimin mesti dikembalikan kepada pihak Khuraisy, sementara orang-orang Islam yang ditawan pihak Khuraisy, tidak dikembalikan kepada kaum Muslimin.

Ada cerita bagaimana orang kafir meminta perjanjian dimansuhkan kerana, walaupun di atas kertas ia memihak kepada mereka, pada hakikatnya, ia merugikan mereka, sebab contoh yang baik oleh mereka yang ditawan Khuraisy menjadi asbab orang lain memeluk Islam, sementara kafir Khuraisy yang ditawan pihak Islam enggan kembali kepada kaum Khuraisy, kerana terpikat dengan contoh yang baik pihak Islam.