Berbasikal
untuk melindungi alam
SM Mohamed
Idris - CAP
Berbasikal merupakan salah
satu kaedah pengangkutan yang dapat membantu mengurangkan masalah pencemaran
dan melindungi alam sekitar.
Sehubungan itu, sempena Bulan Kepenggunaan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang
(CAP), Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan, Jabatan
Alam Sekitar Pulau Pinang akan menganjurkan Kempen Berbasikal Kali Ke-15.
Sejak 2006, CAP dengan
kerjasama pelbagai agensi dan jabatan kerajaan telah menganjurkan 14 Kempen
Berbasikal di Pulau Pinang, Butterworth, Alor Setar, Ipoh, Universiti Utara
Malaysia (UUM), Kangar, Jawi, Balik Pulau.
Dan pada 26 Mei 2013 ini, kami akan mengadakan kempen di Butterworth. Setiap
kali kempen diadakan, ia mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada
orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Kami berasa amat gembira
apabila melihat kempen yang dianjurkan oleh pihak kami berjaya menarik minat
pelbagai NGO di Pulau Pinang , Kedah, Perak dan
Perlis.
Kami menggalakkan mereka menganjurkan acara berbasikal atas inisiatif mereka
sendiri di bandar mereka sendiri. Malah bilangan mereka yang menggunakan
basikal turut meningkat. Saya ingin mengambil
kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan mereka dan semoga
dapat menganjurkan lebih banyak acara untuk menggalakkan lagi orang ramai
berbasikal.
Aktiviti berbasikal telah dipraktikkan sebagai satu bentuk senaman dan rekreasi
tetapi CAP ingin melihat berbasikal ini sebagai satu bentuk pengangkutan di
bandar.
Kempen Berbasikal ini akan
diadakan pada hari Ahad, 26 Mei 2013, jam 8.00 pagi, bermula di tepi Dewan Dato
Haji Ahmad Badawi, Pulau Pinang.
Tujuan kami mengadakan kempen
tersebut adalah kerana sebab-sebab yang berikut:
· Rakyat Malaysia
dikatakan kurang mengamalkan senaman dan melalui kempen ini secara tidak
langsung membolehkan mereka berbasikal untuk ke sekolah dan ke tempat kerja
serta untuk bergerak dalam jarak yang dekat.
· Dengan berbasikal juga akan meningkatkan kesihatan kerana
berbasikal secara tetap menjadikan kita kurang menghidap penyakit jantung
koronari, tekanan darah tinggi dan penyakit lain (Sumber: British Heart
Foundation).
· Basikal adalah murah, mudah, boleh dipercayai dan bentuk
pengangkutan yang sesuai serta tidak memerlukan cukai jalan, insurans dan bil
minyak serta murah untuk diselenggara.
· Apabila rakyat sihat, kerajaan juga dapat berjimat dari segi
belanjawan kesihatan kerana rakyat yang sihat tidak perlu lagi berjumpa doktor
serta dapat menjimatkan wang dan meningkatkan produktiviti.
· Basikal tidak mencemar (dan juga lebih senyap), tidak seperti
kereta, yang menghasilkan berjuta tan asap beracun dan merupakan punca utama
pencemaran udara di Malaysia .
Oleh itu berbasikal membantu mengekalkan udara yang lebih bersih bagi
pernafasan, dan mengurangkan pencemaran bunyi.
· Basikal menggunakan sedikit ruang di jalan raya, tidak seperti
kereta, yang menelan berbilion ringgit wang orang awam untuk membina lebuh
raya, jejambat dan tempat meletak kereta bertingkat. Oleh itu, berbasikal
menjimatkan tenaga dan ruang, serta melindungi seseorang daripada kesan
penggunaan automobil yang merosakkan kesihatan.
· Kami mendapati bahawa kempen ini telah menjadi satu platform bagi
rakyat daripada semua kumpulan etnik dan lapisan masyarakat untuk bergaul dan
beramah mesra sebelum dan selepas berbasikal yang secara tidak langsung
mewujudkan semangat muhibah serta semangat kesukanan untuk semua.
Berdasarkan kepada perkara di
atas, kami bercadang untuk menganjurkan Kempen Berbasikal di pelbagai bandar,
luar bandar dan kawasan perumahan di seluruh negara dalam usaha untuk
mempopularkan basikal sebagai satu bentuk sukan rekreasi dan satu bentuk
pengangkutan.
Banyak kebaikan yang dapat
diperoleh daripada berbasikal yang bukan hanya untuk tubuh yang sihat sahaja
tetapi juga dapat melindungi alam sekitar, menjimatkan minyak dan wang.
Apa yang kerajaan boleh
lakukan:
· Menyediakan lorong untuk basikal yang selamat di semua jalan raya
dan lebuh raya baru.
· Mengubah suai bebendul jalan untuk memudahkan laluan basikal dan
pejalan kaki.
· Mengadakan papan tanda basikal yang
jelas pada laluan basikal.
· Memperkenalkan reka bentuk jalan raya
yang menggalakkan keselamatan dan persekitaran yang sempurna bagi berbasikal. Ini
perlu dimasukkan langkah-langkah meredakan lalu lintas untuk mengurangkan
kelajuan kereta.
· Melindungi keselamatan penunggang
basikal. Ini boleh dijalankan, misalnya, dengan mengehadkan penggunaan kenderaan
bermotor di jalan raya pada waktu sibuk.
· Menyediakan ruang meletak basikal
yang selamat, mudah dan percuma bagi penunggang basikal.
· Memperkenalkan program perkongsian
basikal awam dengan membina tempat meletak basikal secara layan diri di kawasan
bandar untuk kemudahan pelancong dan penduduk tempatan untuk bergerak di
sekitar bandar dengan lebih cepat. Program perkongsian basikal telah berjalan
dengan baik di Eropah, Amerika Syarikat dan terbaharu di HangZhou, China.
Kempen ini juga adalah percuma dan setiap peserta akan menerima sehelai baju T.
Peserta Kempen Berbasikal juga diminta berada di tempat permulaan pada jam 7.00
pagi dengan membawa basikal sendiri.
SM MOHAMED
IDRIS presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Artikel ini pandangan peribadi
penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment