Peka cara pemakaian semasa bersolat
7 Jun 2013
SOLAT adalah tiang
agama, dalam rukun Islam bersolat menduduki tangga kedua selepas melafazkan
syahadah. Seseorang itu wajib menutup aurat dengan sempurna semasa dia
mengerjakan ibadah solat. Seperti mana hadis ini, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Tidak diterima solat wanita dewasa kecuali yang memakai khimar (tudung)”.
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Peka pemakaian semasa solat
Persoalan mengenai pemakaian semasa bersolat perlu dipandang serius, saat itu
kita berhadapan dengan ALLAH SWT, pastilah perlu dalam keadaan bersih, suci dan
tertutup segala aurat yang ada.
Ummu Salamah berkata, dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: Bolehkah
wanita mengerjakan solat dengan memakai pakaian panjang (dar’u) dan tutup
kepala tanpa memakai kain sarung (Izar)? Beliau bersabda: Boleh, apabila
pakaian panjangnya itu (Dar’u) dapat menutupi kedua telapak kakinya.”
Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Taufik Ismail berkata, pakaian wanita dalam
solat terbahagi kepada dua bahagian, yang pertama menutup kepala sehingga leher
dan melabuhkan ke dada manakala kedua pula menutup badan bermula dari kepala
hingga labuh ke dua kaki.
“Dalam Sunan Abu Daud menerangkan bahawa pakaian seorang wanita itu, selain
dari tudung kepalanya, hendaklah sesuatu yang panjang sehingga dapat menutup
dari leher sehinggalah ke kedua belah tapak kakinya.
“Dar’u ialah pakaian Arab yang seumpama gaun atau jubah yang dipakai melalui
leher dan ia memanjang sehingga ke betis atau lebih, maka melalui hadis ini
Nabi SAW mensyariatkan bahawa gaun atau jubah itu haruslah memanjang sehingga
menutup kedua tapak kaki wanita,” katanya kepada Rehal.
Menurutnya, terdapat banyak pandangan ulama mengenai pemakaian telekung
sembahyang, kerana itu kita perlu melihat kepada situasi yang berlaku dan tidak
boleh berpaksikan pada satu pandangan sahaja.
Sebagai contoh, seperti yang diketahui dalam mazhab Shafie, bersentuhan antara
lelaki dan perempuan semasa berwuduk maka terbatal air sembahyangnya, tetapi
berdasarkan Imam Shafie dalam keadaan darurat ia dibolehkan. Dalam situasi
darurat kita tidak boleh bersifat rigid.
Longgar dan labuh
Pendakwah dan juga penulis buku-buku Islam, Kapten Firdaus Hafiz Abdullah
mengulas isu ini dalam laman blognya hafizfirdaus.com dengan berkata, jenis
pakaian yang dipakai hendaklah longgar dan labuh (tidak nampak bentuk badan
wanita tersebut, sekalipun dia merasakan badannya tidak mempunyai bentuk.
“Ini dapat difahami juga melalui ayat di atas yang melarang kaum wanita
memperlihatkan perhiasan tubuh badan mereka. Perhiasan ini ada dua jenis, iaitu
perhiasan asli tubuhnya dan kedua ialah perhiasan tambahan seperti rantai,
gelang dan sebagainya. Kedua-dua ini tidak boleh diperlihatkan kepada khalayak
umum kecuali kepada suaminya dan beberapa ahli keluarga terdekat.
“Cara terbaik untuk melindungi perhiasan asli tubuh badan ialah dengan
mengenakan pakaian longgar dan labuh dan ini adalah sesuatu yang disepakati
tanpa keraguan. Antara tuntutan yang senada ialah memakai pakaian yang tidak
nipis sehingga menampakkan warna kulit atau bayangan tubuh badan di sebaliknya.
Ini juga termasuk tuntutan menutup aurat wanita,” jelasnya.
Menurut Hafiz Firdaus, dapatlah kita ketahui bahawa pakaian yang semestinya
dipakai oleh seorang wanita apabila sedang solat atau di luar solat adalah
sesuatu yang dapat menutup dirinya dari kepala sehingga ke kaki kecuali muka
dan tangan dari pergelangan ke jari-jari.
Selain itu pakaian tersebut hendaklah longgar dan labuh, tidak menampakkan
bentuk badan ataupun bayangan ataupun warna kulit di sebaliknya. Oleh itu apa
sahaja pakaian yang dapat menepati syarat ini boleh digunakan bagi tujuan
mendirikan solat dan urusan harian di luar rumah.
Telekung yang selalu dipakai oleh Muslimah di Nusantara ini sangatlah baik
kerana ia menepati segala syarat-syarat tersebut tetapi perlu diketahui bahawa
telekung bukanlah satu-satunya sahaja yang boleh digunakan untuk bersolat.
Dalam erti kata lain, telekung bukanlah syarat wajib solat.
Wajib menutupnya walaupun berseorangan
Walaupun muka dan tangan tidak dikategorikan sebagai aurat yang wajib ditutup,
kedua bahagian ini amat dituntut agar tidak dihiasi dengan sesuatu yang boleh
membawa perhatian atau rangsangan kepada orang lain. Sebagai tambahan, walaupun
muka itu tidak wajib ditutup, ia digalakkan supaya diselubungi di sebalik kain
nipis atau yang seumpama bagi mengelak niat buruk lelaki yang rakus sifatnya.
Perkara kedua yang dinyatakan di sini ialah syarat pakaian solat sepertimana
yang diterangkan di atas adalah wajib dipatuhi oleh seseorang itu sama ada
berada dalam suasana orang ramai atau bersendirian. Dalam erti kata lain,
sekalipun seorang wanita itu berada berseorangan dalam biliknya, dia tetap
wajib menepati syarat-syarat ini sekalipun tiada orang yang melihat.
Ini adalah kerana syarat pakaian solat adalah bagi memenuhi hak dan adab
seorang hamba yang sedang beribadah kepada ALLAH dan ia tidak berhubung-kait
dengan adab sesama manusia. Berbeza pula dalam suasana di luar etika solat, di
mana seseorang wanita itu dibolehkan membuka kain tudung atau sebagainya
apabila berhadapan dengan suami, ayah sendiri, keluarga terdekat dan
seterusnya.
Syarat pakaian solat diwajibkan bagi wanita ialah kain tudung yang menutupi
dari kepala sehingga ke bawah kawasan dada dan pakaian yang dapat menutupi
sehingga ke kedua tapak kakinya. Selain itu pakaiannya hendaklah longgar dan
tidak menampakkan bentuk badan atau bayangannya dan tidak nipis sehingga
melihatkan warna kulit di sebaliknya.
Apabila gagal menepati syarat pakaian solat yang diwajibkan dan dia berusaha
sedaya mampu, hendaklah tetap mendirikan solat
No comments:
Post a Comment