Sunday, June 30, 2013

Sifat malu benteng elak kemungkaran

Siti Norasyikin Ab Ghani

Maksiat dan  kejahatan semakin menjadi-jadi, malah pelakunya tiada perasaan malu melakukan perbuatan itu terang-terangan. Apabila hilang perasaan malu, maka berleluasalah kemungkaran. Oleh itu, perasaan malu menjadi perisai mengelak daripada melakukan dosa.
Malu mempunyai pengertian besar dalam Islam kerana ia sebahagian daripada iman. Mereka yang hilang sifat malu, tipis imannya. Malu dan iman berjalan seiringan, maka jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang. 

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu ada lebih 60 cabang dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.” 
Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu ada lebih 60 cabang dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.”

Malu akhlak yang mendorong seseorang meninggalkan perbuatan buruk dan tercela, sehingga mampu menghalang seseorang daripada melakukan dosa, maksiat serta mencegah sikap melalaikan hak orang lain. 
Dalam Islam, sifat malu ditekankan tidak kira kepada wanita atau lelaki. Namun, wanita Muslimah ditekankan aspek menjaga maruah dan memiliki sifat malu memandangkan wanita dikatakan paling ramai menghuni neraka. 

Rasulullah SAW bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya wanita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Selain iman yang lemah, membuang sifat malu untuk mengejar apa diimpikan dalam hidup juga satu kesilapan besar yang menjerumuskan wanita ke kancah kehinaan. Disebabkan hilangnya sifat malu, semakin hari semakin banyak timbulnya pelbagai gejala sosial membabitkan wanita. 

Sifat malu yang tinggi 
Pembuangan bayi tidak akan berlaku jika wanita itu malu untuk bersama lelaki yang bukan mahramnya, lari dari rumah dalam kalangan wanita tidak timbul jika wanita ada rasa malu dengan Allah SWT, pendedahan aurat tidak mungkin dapat dilihat jika wanita mempunyai sifat malu yang tinggi.

Wanita Muslimah atau wanita bertamadun tidak akan menggadaikan maruah dan membuang sifat malu semata-mata mahu kelihatan moden. Mementingkan pandangan Allah SWT lebih bermakna daripada pandangan masyarakat. 

Sifat malu yang menebal dalam diri tidak menjadikan wanita itu terperap di rumah. Kita boleh mengambil iktibar daripada Saidatina Siti Khadijah, peniaga yang kaya-raya. Mana mungkin Saidatina Khadijah menjadi kaya tanpa keluar untuk berdagang. 

Saidatina Aishah satu-satunya wanita paling banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW dan sangat terkenal dengan kecerdikannya sehinggakan satu perempat perundangan Islam dikeluarkan beliau. 

Beliau turut menjadi sumber rujukan sahabat sehingga kini. Mana mungkin Saidatina Aishah menjadi wanita yang sebegitu bijak tanpa beliau keluar untuk menuntut ilmu.

Ingatlah kecantikan itu anugerah kurniaan Allah SWT kepada wanita untuk diperlihatkan hanya kepada yang hak. Sebaik-baik hiasan adalah wanita solehah. Jadikanlah malu sebagai perisai dan tidak rugi membela sifat malu kerana ia sebahagian iman dan iman itu balasannya adalah syurga

No comments:

Post a Comment