Friday, June 7, 2013

Usah runtuhkan warisan kita
ABD JALIL ALI 6 Jun 2013


SEHINGGA hari ini, laman sesawang rasmi Pelancongan Terengganu masih menyenaraikan Pasar Payang sebagai tarikan utama pelancong ke Negeri Penyu: “Sesuatu yang mesti dilawati, untuk membeli-belah dan menikmati keindahan pemandangan...”

Sebuah portal pelancongan siber pula menyebut pasar lama di tebing Sungai Terengganu itu sebagai satu keunikan, dengan beraneka produk mencerminkan kegigihan dan kemahiran tangan penduduk tempatan. Portal itu bertanya: “Apalah Kuala Terengganu tanpa Pasar Payang?”

Tetapi, kerajaan negeri berpendapat, bangunan dua tingkat dengan bumbung berbentuk tradisional atas tapak berusia lebih 80 tahun itu sudah tidak relevan. Sepatah kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said: “Pasar Payang kotor, tidak sesuai dengan imej Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Pantai.”

Konon untuk menjaga imej, satu projek pembangunan bersepadu akan dilaksanakan, dengan kos keseluruhan bernilai lebih RM400 juta. Maka, pasar warisan turun-temurun itu perlu diranapkan. Bukan runtuh, tetapi sengaja dirobohkan!

Sebagai ganti, pada tapak tersebut akan dibangunkan sebuah hotel bertaraf lima bintang, 23 tingkat  dengan 550 bilik. Apartmen 30 tingkat akan turut dibina, sementara ruang perniagaan yang lebih canggih akan disediakan, dengan mengekalkan nama Pasar Payang.

Memang kedengaran gah, dan satu cita-cita yang besar. Tetapi bukan semua warga ‘Ganu Kite’ bersetuju benda-benda gah seperti itu. Almaklumlah, bangunan pencakar langit yang segalanya serba canggih, tentu tidak sesuai bagi Pak Wan beca atau Ayah Ngah keropok lekor.

Sebenarnya pasar tua itu bukan melibatkan hanya Pak Wan atau Ayah Ngah. Bangunan bersejarah dua tingkat yang hendak diruntuhkan itu melibatkan maruah Melayu. Itulah warisan bangsa yang sepatutnya dipertahankan.

Memang, di mana-mana pun pembangunan sentiasa dialu-alukan. Malah negeri minyak itu sepatutnya sudah lama dulu mengalami perubahan pembangunan.

Tetapi janganlah mudah sangat memadamkan warisan kita atas nama pembangunan. Janganlah asyik membuang yang tradisional hanya untuk melihatkan kemodenan.

Apa ertinya Kuala Terengganu dijadikan Bandaraya Warisan Pesisir Pantai, sekiranya nilai-nilai warisan habis dibuang? Percayalah, pelancong asing berkunjung ke bandar ini untuk menyaksikan sendiri nilai-nilai seni warisan silam. Mereka tidak pelik dengan bangunan pencakar langit.

Hanya sesetengah orang kita yang taksub pembangunan, dan selalu berfikir bahawa yang tinggi-tinggi lagi canggih itulah lambang kejayaan bangsa. Sebab itu satu demi satu imej warisan tradisional dipadamkan.

Semua sudah lihat apa yang terjadi kepada Kampung Ladang. Perkampungan tradisional di kawasan perbandaran itu dulu menjadi salah satu tarikan orang luar ke Kuala Terengganu. Banyak produk kraf tangan dihasilkan di kampung Melayu tersebut. Tetapi pihak berkuasa membeli tanah di situ untuk pembangunan.

Penduduk asal diberi pampasan – walaupun ramai menentang – dan kawasan tersebut kini berdiri apartmen bertingkat. Penduduk asal yang tidak mampu menyewa, jauh sekali membeli apartmen mahal itu akhirnya membawa diri ke kawasan lain. Hilang sudah sebuah penempatan Melayu di tengah bandar. Apa yang hendak kita megahkan?

Usaha sepatutnya dilakukan sungguh-sungguh untuk memelihara warisan Terengganu. Contoh, semua pihak berlapang dada apabila Kampung Cina di tengah bandar dikekalkan sebagai warisan. ‘Cina Town’ dengan keunikan tersendiri itu kini menjadi salah satu tarikan pelancong. Sayang sekali Pasar Payang yang hanya beberapa langkah dari Kampung Cina, hendak dirobohkan!

Memang benar seperti yang dinyatakan MB bahawa pasar tersebut kotor. Tetapi itu bukan alasan munasabah untuk merobohnya. Sepatutnya perbaiki apa yang tidak betul. Lagi pun apa yang baharu dan cantik tidak semestinya dijamin bersih. Pantai Batu Buruk cantik, tetapi kotor.

Muzium Tamadun Islam adalah satu projek amat indah, tetapi tandasnya kotor, sampah merata-rata, paip tidak berfungsi. Sampah bukan masalah tempat atau bangunan, tetapi masalah sikap dan penguatkuasaan undang-undang.

Kata MB: “Peniaga yang tidak suka Pasar Payang baharu, boleh keluar.” Tetapi kena timbang juga sentimen mereka yang telah lama di situ, lebih-lebih lagi dalam kedudukan kerajaan negeri yang nyawa-nyawa ikan – hanya lebih dua kerusi Dun. Jangan dilihat sebagai ‘gong’, sebab kita kini ‘dok rok cetong’



No comments:

Post a Comment