Gastrik
Soalan : ASSALAMUALAIKUM Tuan Haji Lokman. Saya menghadapi masalah gastrik kronik. Perut saya sering merasa sakit, rasa loya di tekak, muntah-muntah dan berat badan menurun sebanyak 10 kg dalam masa dua bulan. Saya sudah banyak kali berulang alik ke hospital untuk rawatan gastrik, tetapi belum reda.
Bolehkah Haji
Lokman memberi ayat-ayat Al-Quran untuk menyembuhkan atau membantu meringankan
penyakit saya ini? Haji Iskandar, Kulai.
Jawapan:
Penyakit Gastrik atau Gastritis merujuk kepada keradangan pada lapisan
dinding perut. Di dalam perut, terdapat satu lapisan mukus semulajadi yang
melindungi dinding perut daripada bahan kimia berasid semulajadi yang sangat
diperlukan untuk proses penghadaman makanan di dalam perut. Keradangan dinding
perut berlaku apabila terdapat bahan asing yang menghakis lapisan mukus
pelindung di permukaan perut.
Penyakit gastrik merupakan penyakit yang kian berleluasa. Alhamdulillah
dengan izin Allah, penyakit gastrik boleh dirawat dan tidak seharusnya
menyebabkan anda risau. Sebelum rawatan dimulakan, punca penyakit gastrik harus
disiasat supaya kita dapat mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan
kehilangan lapisan mukus pelindung perut.
Punca gastrik
Gastrik selalunya disebabkan oleh mengambil ubat-ubatan yang tertentu
secara berlebihan. Ubat-ubatan tersebut adalah seperti ubat aspirin atau NSAID
(non-steroidal anti-inflammatory). Selain itu, penyalahgunaan alkohol dan
jangkitan bakteria Helicobacter pylori di dalam perut boleh menyebabkan proses
keradangan dinding perut. Gastrik turut boleh disebabkan oleh anaemia, refluks
hempedu, penyalahgunaan dadah, meminum racun, stres ekstrem dan jangkitan virus
tertentu.
Simptom gastrik
Ramai pesakit gastrik tidak mengalami sebarang simptom. Namun, kewujudan
penyakit gastrik akan tetap menyebabkan kerosakan kepada dinding perut dan
seterusnya menyebabkan kesan-kesan buruk yang lebih serius seperti pendarahan
di dinding perut.
Selalunya, pesakit gastrik akan mengalami simptom seperti sakit perut,
hilang selera makan, rasa loya dan muntah-muntah.
Jika penyakit gastrik bertambah sehingga berlakunya ulser perut dan
pendarahan di dinding perut, pesakit boleh mengalami masalah najis berdarah
yang berwarna hitam atau muntah darah.
Simptom tersebut menandakan penyakit gastrik itu sudah menjadi tahap yang
sangat serius dan pesakit tersebut harus dibawa ke klinik atau hospital secepat
mungkin.
Rawatan moden
Sebelum rawatan gastrik dapat dimulakan, siasatan dan diagnosis harus
dilakukan terlebih dahulu.
Ujian darah lengkap dilakukan untuk mengetahui sama ada pesakit kehilangan
darah yang banyak atau anaemik.
Najis turut diperiksa untuk mengesan jika mempunyai sebarang kesan darah. Dalam
sesetengah kes, kamera kecil perlu dimasukkan ke perut (endoscopy) untuk
diagnosis yang tepat.
Malah, ujian kultur bakteria di dinding perut dilakukan untuk mengesan
kehadiran bakteria H. pylori yang boleh menyebabkan keradangan dinding perut.
Rawatan moden gastrik memerlukan pesakit untuk mengelak daripada
punca-punca sakit gastrik.
Sebagai contoh, jika penyakit gastrik berpunca daripada pengambilan
ubat-ubatan tertentu, maka pesakit harus berhenti mengambil ubat tersebut.
Kemudian, ubat anti-asid seperti Omeprazole dan Famotidine akan diberi
kepada pesakit untuk bertindak terhadap kandungan asid yang berlebihan.
Jika didapati bahawa kuman H.pylori adalah punca utama gastrik, rawatan
akan melibatkan pemberian ubat antibiotik untuk melawan jangkitan kuman
tersebut.
Komplikasi
Komplikasi penyakit gastrik timbul daripada kemusnahan sel dinding perut
berterusan.
Tanpa perlindungan daripada mukus semulajadi di permukaan dinding perut,
asid perut semulajadi dihasilkan oleh perut akan menyerang sel-sel dinding
perut dan menyebabkan kemusnahan dinding perut tersebut.
Kemusnahan yang berterusan akan menyebabkan ulser perut dan pendarahan di
dinding perut.
Pendarahan yang tidak terkawal di dinding perut akan menyebabkan anaemia,
pening kepala dan pengsan akibat daripada kekurangan darah.
Apa yang merisaukan ialah selalunya pesakit gastrik tidak sedar masalah
pendarahan dalaman tersebut sehingga masalah tersebut sudah mencapai ke tahap
sangat serius.
Maka, adalah sangat penting bagi pesakit untuk sentiasa berjaga-jaga dengan
tanda awal pendarahan dalaman tersebut.
Malah, terdapat bukti klinikal terbaru menunjukkan gastrik kronik boleh
menyebabkan penyakit kanser perut.
Rawatan Al-quran
Daripada pengalaman saya, ramai pesakit gastrik yang berubat di Pusat
Rawatan Islam Al-Hidayah mengalami perubahan positif ketara selepas
mempraktikkan rawatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran.
Amalan pembacaan al-Quran secara konsisten setiap hari memberi banyak
manfaat dan ketenteraman hati kepada pesakit.
Ramai pesakit Al-Hidayah berjaya membentuk banyak sifat terpuji seperti
sabar, tekun dan sangka baik setelah membaca al-Quran setiap hari.
Rasulullah saw ada menyentuh tentang pembentukan sifat sabar dalam diri
manusia. Rasulullah saw bersabda: "
barangsiapa
yang berusaha untuk sabar, maka Allah akan menjadikannya seorang yang sabar
"
(HR. Bukhari).
Setiap pesakit gastrik yang datang berubat, akan diperiksa terlebih dahulu
jika ada sebarang gangguan makhluk halus.
Perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah akan mengeluarkan gangguan jika ada
dan seterusnya memberikan ayat berikut untuk diamalkan seterusnya disertai dengan
doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.
Ayat-ayat tersebut adalah:
Surah al-Buruuj ayat 1 hingga 22
Surah Ghafir ayat 41 hingga 55
Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca
surah pertama iaitu surah Al-Buruuj tiga kali pada waktu malam dan surah kedua
iaitu surah Ghafir tiga kali pada waktu siang.
Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas
membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.
Pesakit harus ingat bahawa apa-apa penyembuhan hanya dengan izin Allah. Oleh
itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah.
Seperti di dalam surah al-Mukminun ayat 111, Allah swt berfirman; Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini
disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang yang
berjaya.
Penutup
Kesimpulannya, jangan memandang remeh penyakit gastrik. Jika dibiarkan
tanpa rawatan, dikhuatiri pesakit akan menghidapi gastrik kronik dengan simptom
berbahaya.
Jika merasa anda mempunyai simptom gastrik saya nasihatkan agar tuan atau
puan cepat berjumpa pegawai perubatan atau perawat Al-Hidayah untuk pemeriksaan
lanjut.
Jangan tunggu hingga gastrik menjadi kronik dan pendarahan dalaman berlaku.
Jika anda adalah pesakit gastrik, tidak kira sama ada tahap awal atau
kronik, jangan berputus asa berikhtiar dan berdoa sepenuh hati untuk
penyembuhan penyakit gastrik.
Sesungguhnya, setiap penyakit merupakan satu ujian Allah dan turunnya
sesuatu penyakit atau musibah bukannya bermakna Allah kejam atau membenci kita.
Musibah merupakan ujian untuk hamba-hambaNya yang beriman. Jangan ingat
bahawa kita sudah cukup beriman selagi kita belum diuji Allah dengan musibah
atau ujian yang pasti mencabar iman dan kesabaran kita sebagai hambaNya yang
hina.
Allah berfirman di dalam surah al-Furqan ayat 75 yang bermaksud; Mereka itu akan dibalas dengan tempat yang tinggi di
Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima di dalam
syurga itu ucapan selamat di dalamnya."
http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130623/ba_01/Gastrik#ixzz2XTcvNq9k
© Utusan Melayu (M) Bhd
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment