Keperluan nutrisi perlu diambil secara
sederhana elak kesan negatif
Pengambilan makanan yang sihat satu keperluan utama manusia dalam meneruskan
kehidupan dan melakukan aktiviti seharian. Agama Islam sangat menitik berat
pola pemakanan kerana aspek pemakanan berkait rapat dengan amalan keagamaan
serta amal ibadah umat Islam.
Bagi memastikan ibadah diterima Allah, kita
perlu memastikan hati berada dalam keadaan suci.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di
bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana
sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah
al-Baqarah, ayat 168)
Penyucian hati bermula daripada sumber makanan yang halal dan bersih, jika
bersih makanan dipilih maka bersihlah hati.
Larangan makan daripada sumber
haram
Sesuatu yang haram apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan manusia akan membawa
kepada kemudaratan yang nyata.
Baginda telah memberitahu jika hamba Allah mengambil sesuatu daripada yang
haram sebagai hidangan, maka hatinya akan menjadi gelap, jiwa resah, amalan
tidak diterima Tuhan, doa tidak dimakbulkan, cintakan kemaksiatan, benci
perkara kebaikan serta menjadi calon penghuni neraka.
Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu
menjadi orang yang dimakbulkan doanya. Demi yang jiwa Muhammad dalam
genggaman-Nya, sesungguhnya seseorang hamba yang melontarkan sesuap makanan
haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebaikannya selama 40
hari. Sesiapapun yang dagingnya tumbuh daripada yang haram, maka api neraka
lebih layak membakarnya.” (Riwayat Muslim)
Pengambilan makanan yang baik juga memberikan kesihatan optimum kepada tubuh
badan manusia sama ada dari segi rohani juga jasmani. Islam mengajak umatnya
mengamalkan gaya hidup sihat kerana kesihatan yang baik adalah nikmat terbaik
dianugerahkan Allah SWT.
Baginda bersabda: “Tiada nikmat yang lebih agung setelah iman selain nikmat
kesihatan.” (Riwayat Ibnu Majah)
Kesan negatif jika makan
berlebihan
Makanan dan minuman adalah keperluan nutrisi yang sangat diperlukan tubuh
manusia. Walau bagaimanapun, jika diambil secara berlebihan, ia boleh
mengundang kesan negatif.
Baginda SAW menegaskan pengambilan makanan hanyalah untuk keperluan tubuh dan
menegah mengambilnya dalam kuantiti berlebihan. Baginda juga mengajar tip
bersederhana ketika menikmati makanan iaitu makan sebelum lapar serta berhenti
sebelum kenyang.
Sabda baginda: “Kami adalah kaum yang tidak makan kecuali lapar dan apabila
kami makan, kami berhenti sebelum kenyang.” (Riwayat Ahmad)
Segelintir masyarakat di Malaysia terlalu boros dalam pemilihan pemakanan serta
mengambil enteng mengenai pengambilan makanan sihat. Akibatnya, mereka terdedah
kepada pelbagai penyakit berbahaya seperti diabetes, darah tinggi, serangan
jantung dan angin ahmar.
Lebih merunsingkan, sebahagian daripada mereka juga terdedah kepada penyakit
hati seperti sombong, bongkak, kedekut, keras hati, serta terjerumus dalam
maksiat disebabkan makanan diperoleh melalui sumber yang diragui soal halalnya.
Janganlah kita bermewah-mewah dalam pemilihan makanan kerana matlamat kehidupan
bukan untuk makan semata-mata tetapi meneruskan hidup sebagai seorang khalifah
dan mengabdikan diri kepada Allah.
No comments:
Post a Comment