Khutbah Jumaat: Tak hargai khazanah alam punca jerebu
Allah SWT bersifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah
menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-Nya dan antara kurniaan nikmat
tiada ternilai itu ialah nikmat kesihatan. Kesihatan membolehkan manusia
menjalani kehidupan aman sentosa dan lancar melakukan kerja harian.
Kesihatan juga membolehkan kita melakukan ibadah kepada Allah SWT dengan
sempurna. Menyedari tingginya nilai kesihatan, maka menjadi kewajipan umat
Islam untuk menjaganya kerana kesihatan manusia berkait rapat dengan
keharmonian alam serta kehidupan.
Sabda Rasulullah SAW: Ada dua jenis nikmat
yang banyak melekakan manusia iaitu nikmat sihat dan masa lapang. (Riwayat al-Bukhari)
Justeru, agama Islam melarang umatnya melakukan perkara yang boleh merosakkan
kesihatan termasuklah kerosakan alam sekitar. Umat Islam wajib mencontohi
akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam memastikan hubungan dengan alam
terus terpelihara.
Maka apa saja kehidupan di alam ini wajib diberikan hak kehidupannya mengikut
sunatullah. Manusia yang bijak mengguna akal fikiran akan bertambah mulia
martabat mereka jika dapat memanfaatkan khazanah alam dengan baik.
Larangan lakukan kemusnahan alam
Bagi memastikan hubungan baik dengan Allah terpelihara, menjadi tanggungjawab
manusia memelihara dan memperkasa hubungan yang baik sesama manusia dan makhluk
Allah. Islam melarang umatnya melakukan kemusnahan alam kerana perbuatan ini
akan memberi kesan sampingan kepada keharmonian hidup manusia.
Kesejahteraan hidup yang baik, sihat, ceria dan maju adalah nikmat tidak
terhingga indahnya. Allah akan memberi ganjaran tinggi kepada hambanya yang
sentiasa mensyukuri nikmat ini. Allah SWT menyatakan sifat kufur nikmat akan
dibalas dengan azab seksa yang amat pedih.
Firman Allah SWT: Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika
kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya,
jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. (Surah Ibrahim, ayat 7)
Amalan bersyukur juga hendaklah dijelmakan dan direalisasikan dalam kehidupan
seharian. Dinasihatkan umat Islam mengambil iktibar daripada kesilapan manusia
di masa lalu yang banyak melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini, sama ada
melalui perbuatan mahupun perkataan.
Malapetaka hasil kerakusan manusia
Kita mengakui bencana alam boleh berlaku disebabkan kesilapan dan kerakusan
manusia mengeksploitasi alam secara berlebihan sehingga keseimbangan mula
terganggu dan tidak dapat dikekalkan.
Walaupun sememangnya alam ini perlu terus dibangunkan, keselesaan hidup perlu
ditingkatkan, teknologi perlu selaras keperluan manusia, namun apabila
keseimbangan alam tidak dikekalkan, kita sebenarnya mengundang malapetaka hasil
perbuatan sendiri.
Hari
ini kebanyakan kawasan di negara kita dilanda jerebu. Pada dasarnya jerebu
adalah ujian Allah SWT yang disebabkan oleh zarah terampai dalam atmosfera pada
kepekatan tinggi sehingga menyebabkan daya penglihatan berkurangan.
Penyebab berlakunya jerebu ialah aktiviti manusia yang mengetepikan sunnah
alam antaranya pembakaran terbuka, pembukaan tanah, penggunaan kenderaan
bermotor dan pembakaran bahan api industri.
Yakinlah bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka
kesedaran peranan dan tanggungjawab semua pihak mengurus serta mengurangkan
kesan bencana alam perlu dilaksanakan.
Udara yang bersih menyihatkan tubuh badan manusia manakala udara tercemar sudah
pasti akan mengancam kesihatan. Justeru, semua pihak perlu mengambil langkah
sewajarnya bagi menjaga kualiti udara di negara kita.
Ingatlah, perlakuan kita yang menyakitkan dan memudaratkan orang lain atau
kehidupan lain, sudah pasti mendedahkan kita kepada kemurkaan Allah SWT.
Sebarang usaha menghindarkan kerosakan dan kemudaratan sebagai tanda wujudnya
kesempurnaan iman.
Marilah
berdoa kepada Allah SWT semoga jerebu akan berkurangan dan menunaikan solat
sunat Istisqa secara berterusan dengan memohon rahmat Allah SWT menurunkan
hujan hingga cuaca pulih seperti sedia kala
No comments:
Post a Comment