Berpuasa Ramadhan di Bandar suci Madinah dan Mekah memang sukar dilupakan. Saya bersyukur kerana dipilih oleh Allah swt untuk melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan di bumi yang Allah gandakan pahala solatnya sehingga 100,000 kali ganda? (Mekah)
Bukan mudah untuk menggerakkan hati kita kalau Allah tidak gerakkan. Jika nak difikir ramai lagi orang yang berkemampuan dan mempunyai wang yang banyak mampu ke Mekah. Tetapi itulah salah satu hasrat saya apabila bersara ialah sebahagian wang ganjaran perlu disalurkan untuk menunaikan umrah di bulan Ramadhan. Alhamdulillah Allah makbulkan keinginan saya.
Budaya orang Arab yang bersikap pemurah paling ketara berlaku di musim Ramadhan. Ada sahaja yang akan menghulurkan makanan seperti kurma, roti, air mineral kepada sesiapa sahaja yang menuju ke masjid untuk berbuka. Hatta tisu pun ada yang ingin menghulurkannya.
Setiap petang bila hampir maghrib saya bersama Zulhaidi (rakan seblik) tanpa sebarang bekalan menuju ke masjid Nabi. Kami lewat masuk masjid. Hari pertama kami berbuka dalam keadaan berdiri, kerana tiada ruang langsung untuk duduk. Ahli jemaah terlalu padat. Saya tidak begitu penting bahan untuk berbuka yang penting ialah dapat solat Maghrib berjemaah dalam Masjid Nabi saw. Jika di luar masjid banyak ruang yang mampu kita tumpang untuk berbuka puasa. Tetapi saya terfikir setelah sekian jauh kita datang, tiba-tiba hanya solat di luar masjid sahaja. Saya rasa itu tidak wajar. Jadi kami bertekad untuk masuk ke dalam masjid. Biarpun hanya di belakang sahaja, yang penting dapat solat dalam Masjid. Begitu juga hari kedua kami hanya mampu duduk di tepi tong air zam-zam di bahagian belakang, tetapi dapat solat Maghrib dalam masjid. Kurma dan air zam-zam jadi bahan berbuka puasa. Seperti biasa selepas solat Maghrib kami bergegas balik ke hotel untuk makan berat sebelum solat Isyak dan Terawih. Waktunya dilewatkan sedikit.
Istemewanya hotel kami menginap tidak jauh dari Masjid Nabi saw tak sampai 5 minit kita dah boleh sampai ke perkarangan masjid. Alhamdulillah. Terima kasih kepada Travel agen Andulusia.
Suatu kawasan yang sering menjadi tumpuan ahli jemaah ialah kawasan Raudah. Biasanya ahli jemaah akan berebut-rebut malahan bergaduh untuk masuk ke kawasan Raudah. Alhamdulillah saya sering dapat duduk dan solat Dhuha di Raudah. Ada kaedah dan caranya. Apabila solat subuh saya sering ke bahagian hadapan berhampiran dengan kawasan Raudah. Perlu masuk awal waktu sebaiknya 1 jam sebelum subuh. Selepas solat subuh ahli jemaah akan berpusu-pusu, berebut-rebut untuk masuk ke kawasan Raudah. Apa yang saya lakukan ialah duduk mengaji di kawasan lantai yang berhampiran dengan Raudah, semakin cerah semakin kurang ahli jemaah. Manakala kawasan tersebut sudah di sekat oleh petugas (kakitangan) masjid sebaik sahaja selesai solat subuh. Semakin lama semakin kuranglah ahli jemaah, dan akhirnya saya mampu masuk ke kawasan Raudah dengan mudah. Alhamdulillah tiga hari berada di Madinah, 3 hari saya dapat duduk dan bersolat sunat dalam kawasan Raudah. Syukur Alhamdulillah.
Pada hari ketiga kami akan ke Mekah. Terasa sayu meninggalkan bumi Madinah yang terdapat jasad Rasululullah saw. Setelah melakukan ziarah wida Makam Nabi saw (selamat tinggal) selepas solat jamak taqdim zohor dan asar, bas kami akan berangkat jam 2.00 petang. Tetapi apa yang berlaku sehingga jam 5.00 petang barulah bas muncul. Skrip wakil pengurusan Andulusia sama seperti mana-mana agensi yang pernah saya ikuti iaitu ”Sabar” kita hanya merancang Allah yang menentukannya. Tanah suci ini banyak cubaan, banyakkan berdoa”
Pada saya skrip yang standard ini lebih merupakan helah bela diri daripada kelemahan pengurusan travel agent. Walaupun kita akur, tetapi kadang-kadang terfikir juga dibenak saya kenapa setiap kali berlaku sesuatu halangan atau rancangan yang tidak menepati waktu yang dijanjikan kita sering menyerahkan kepada Allah? Dan selepas ini banyak lagi skrip seumpama ini akan diguna pakai oleh pihak pengurusan Andulusia untuk menutup kelemahan pengurusan mereka.
Begitu jugalah yang berlaku di Lapangan Terbang Madinah sewaktu mula kami sampai, ada petugas yang boleh bersembang, merokok, minum air dan macam-macam lagi kelakuan yang kita fikir tidak wajar dilakukan dalam keadaan orang ramai sedang beratur menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan imigresen. Adakah Islam mengajar umatnya kerja leceh, tidak menepati waktu, tidak ada sisitem? Saya kira Islam tidak demikian rupa. Roh solat dan siyam (puasa) tidak mengalir kepada kerja buat mereka. Sebabnya saya fikir hikmah solat mengajar kita mesti fokus kepada kerja buat, tidak buang masa, berdisiplin, amanah, cekap dan menepati masa. Ini tidak berlaku di kalangan kakitangan aiport yang kebanyakannya berketurunan Arab.
Saya teringat kata seorang teman saya. roh Islam ada di Jepun dan Korea di mana umat Islam minoriti di sana. ..................... (sambung lagi)
No comments:
Post a Comment