Pagi ini saya hampir menitiskan airmata mendengar luahan hati seorang ibu tunggal mengenai kejayaan dua orang anaknya yang sedang menuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam. Anaknya yang pertama mendapat tawaran daripada MAS (Syarikat Penerbangan Mas) sebagai juruteknik kapal terbang. Baru tamat pengajian teknikalnya di sebuah Politeknik.
Pagi ini beliau mengelek sampul surat berisi surat tawaran untuk anaknya bagi tujuan untuk pengesahan perjanjian. (Mati stamp?). Manakala anaknya yang kedua sedang menuntut dalam bidang mekatronik (mechanical and eletronik) di sebuah politeknik di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Pernah memenangi beberapa anugerah inovasi dalam bidang eletronik dalam beberapa pertandingan dan memperolehi kepujian (deenlist). Sehingga ada seorang usahawan menawarkan anaknya yang kedua untuk menjalani latihan kerja di syarikatnya.
Itulah sedikit peristiwa perkongsian daripada seorang ibu tunggal yang kebetulan pagi ini sewaktu saya hendak ke kedai buku terserempak dengan beliau lalu berhenti dan menceritakan peristiwa gembira tersebut kepada saya, bekas guru besar kepada anaknya yang kedua.
Pernah satu ketika dahulu sewaktu beliau berjumpa dengan saya, waktu itu saya sebagai guru besar, menceritakan kesusahan beliau untuk membesarkan anak-anaknya tanpa suami. Saya masih ingat lagi, saya pernah berkongsi pengalaman saya sendiri seorang anak yang dibesarkan oleh ibu tunggal, tapi mampu meraih kejayaan. Itulah keberkatan seorang ibu. Perkongsian pengalaman ini meredakan perasaannya serta membangkitkan semangatnya untuk mendidik dan membesarkan anaknya.
Nampaknya kepayahan dan kesungguhannya menampakkan hasil. Walaupun masih dalam proses belajar, tetapi dari riak air muka beliau, saya dapat merasakan bahawa ibu tunggal ini, terasa amat puas dan berbesar hati dengan kejayaan anak-anaknya yang dua orang ini. Alhamdulillah, Allah mengasihani hambanya yang sentiasa berusaha, bertawakal, dan redha dengan takdirnya.
Pertemuan saya dengan ibu tunggal ini tak sampai 5 minit, bercakap di tepi jalan besar, kemudian kami berpisah ke arah tujuan masing-masing. Sayapun tak ingat namanya, tetapi masih kenal rupa wajahnya.
Apa yang menyeronokkan saya ialah, beliau akui bahawa pandangan dan nasihat saya pada satu ketika dahulu nampaknya berlaku sebagaimana yang diharapkan. Alhamdulillah.
Inilah di antara kenangan manis yang membuatkan satu kepuasan pada diri saya yang pernah menjadi cikgu satu ketika dahulu dan banyak lagi kenangan manis yang saya rasai selepas bersara dari alam perguruan. Ingatan saya kepada rakan pendidik, berilah harapan kepada sesiapa sahaja anak murid kita walaupun mereka berada dalam kelas yang akhir (corot) sekalipun. Kerana nasib masa depan seseorang kita tidak dapat meramalkannya. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment