Monday, January 9, 2012

Kalau dunia nak kiamat pun, janganlah kita jadi pembawa dalilnya


 
Dalam kegawatan politik yang sedang dihadapi rakyat kini, banyak perkara yang dapat kita pelajari dan ianya melambangkan sikap dan nilai pemikiran masing-masing yang bermain dalam politik ini. Berbahas dalam politik tidak ada etikanya di sini. Kalau di negara maju mereka berbincang dan berbahas menggunakan isu yang sedang hangat diperkatakan ramai.

Tetapi di sini mereka berbincang tentang budi dan membalas budi walaupun yang berbudi itu sekarang sedang melencong jauh dari apa yang sepatutnya mereka lakukan dan perjuangkan. Kalau telah mendapat subsidi gigi palsu dari jabatan kesihatan mereka tidak boleh lagi menegur kerajaan yang korap itu dan wajib menyokong pimpinan yang melakukan korapsi itu.


Jika kita telah mendapat pinjaman untuk anak kita belajar ke luar negara, kita di minta jangan mempersoalkan apa-apa yang tidak baik yang dilakukan oleh kerajaan dan pimpinan. Rakyat di kurung pemikiran mereka semata-mata telah mendapat gigi palsu percuma dan pinjaman dan pembiayaan pelajaran anak-anak kita. Apabila termakan sedikit wang rakyat yang bukan pun wang BN atau pun UMNO, rakyat mesti duduk diam dan memerhatikan sahaja segala kerja rasuah dan salahguna kuasa oleh pihak yang memimpin.


Budaya ini telah dibentuk oleh UMNO sejak bertahun-tahun dahulu dan ini membuatkan orang Melayu tidak boleh berfikir jauh sedikit dari pemikiran mereka yang melakukan tekanan ini.


Telah banyak kali diperkatakan yang wang diberikan kepada rakyat itu adalah wang mereka sendiri. Kos gigi palsu itu dibiayai oleh pembayar cukai yang terdiri dari rakyat berbilang kaum dan agama serta rakyat yang menjadi ahli kepada parti kerajaan dan parti-parti pembangkang. Kos membiayai gigi palsu itu bukannya wang UMNO, malahan pemimpin-pemimpin UMNO yang mengeluarkan bantuan itu pun dibiayai oleh rakyat termasuk ahli PAS, DAP dan PKR.


Saya menulis ini kerana ramai yang menyuruh saya menulisnya kerana UMNO sedang berkempen yang segala bantuan itu adalah keperihatinan pemimpin kerajaan yang ada sekarang. Justru rakyat mesti mengundi parti kerajaan. Jika ini dilakukan terus-terusan maka elok cari formula supaya ahli-ahli kepada parti pembangkang itu tidak payah membayar cukai pendapatan kepada kerajaan dan membayar cukai jualan ke atas rokok yang di hisap oleh mereka yang telah menjadi ahli parti pembangkang.


Kalau ini dapat dilakukan maka barulah UMNO dan BN boleh mengaku yang wang pemberian untuk membiayai gigi palsu atau pinjaman pelajaran itu adalah hak UMNO untuk menagih sokongan melalui pemberian itu.


Oleh yang demikian maka kita tidak akan dapat melakukan perubahan walaupun wang negara kita telah di bawa keluar sebanyak RM1trillion sejak sepuluh tahun dahulu. Jika kita tidak melawan, segala kemungkaran ekonomi dan politik yang dilakukan oleh pimpinan kita, maka sampai bila-bila pun negara kita akan diperlakukan sekehendak hati pimpinan yang tidak jujur dan kita akan hanya menunggu kehancuran yang mungkin datang tidak berapa ketika sahaja lagi. Kemungkinan negara akan menghadapi pengalaman negara-negara kaya yang akhirnya tersungkur di hadapan mata masyarakat antarabangsa akan berlaku kepada negara kita.


Kalau kita tidak lakukan sesuatu maka cerita pemimpin menggunakan hampir RM2 billion untuk menyelesaikan perniagaan anaknya yang gagal, akan berlaku lagi. Negara perlu membeli kelengkapan senjata terus menerus untuk keselamatan negara. Jika tidak ada perubahan maka kita akan menanggung pembiayaan pembelian peralatan yang telah dinaikkan harga berlipat kali ganda untuk membayar ‘kick back’ kepada pihak yang bertanggungjawab dalam jumlah yang berbillion. Semuanya ini ditanggung oleh kita rakyat negara ini.


Itulah persepsi rakyat terhadap pemimpin-pemimpin parti yang memerintah kita. Baru-baru ini terbongkar isu NFC yang melibatkan Sharizat dan keluarganya. Sharizat telah diminta berhenti oleh banyak pihak kerana permasalahan yang beliau sedang hadapi. Sharizat membuat kenyataan, ‘siapa dalam UMNO yang tidak bermasalah?’ Kata-kata Sharizat itu selari dengan persepsi rakyat terhadap barisan kepimpinan hari ini.


Saya menyertai orang ramai yang telah merasakan keletihan mengikut perangai dan budaya UMNO ini. Kita disuruh menjadi rakyat yang setia tetapi mereka (pemimpin-pemimpin) tidak pernah menunjukkan sikap dan perasaan kesetiaan kepada negara tercinta ini.


Merekalah (pemimpin) yang telah menjadikan UMNO dan ahli-ahlinya serta rakyat yang telah di kelirukan itu untuk menjadi modal perniagaan peribadi mereka. Apabila ada rakyat yang berdegil tidak mahu menjadi modal kepada perniagaan peribadi mereka, rakyat gulungan ini dianggap sebagai pengkhianat pula sedangkan pengkhianat sebenar adalah di kalangan pimpinan yang mencuri wang rakyat dalam jumlah yang beratus billion ringgit nilainya.


Budaya dan pemikiran mereka (pemimpin-pemimpin) sudah terbalik. Yang benar dikatakan salah dan yang salah mereka katakan betul. Saya dan mereka yang sama pemikiran, tidak mahu menjadi gulungan yang menjadi pembawa dalil kedatangan kiamat.


Pembawa dalil kiamat selalunya bertindak dan mempunyai budaya serta pemikiran yang terbalik….yang baik nampak jahat dan yang jahat nampak baik. Yang hak terhimpit dan yang bathil bermaharajalela. Menuju ke jalan yang lurus tidak di gemari oleh mereka yang sedang berkuasa secara rakus.


Lagi pun Tuhan memberikan kita ingatan, ‘selagi masih ada umat ku yang masih berzikir kepada ku, walaupun seorang, dunia belum lagi akan kiamat’

No comments:

Post a Comment